AIDC BLOG: Anwar Ibrahim, IIIT & Amerika Syarikat

Thursday, September 18, 2008

Anwar Ibrahim, IIIT & Amerika Syarikat


Almarhum Ismail Al Faruqi, pengasas IIIT, di Herndon, Virginia, Amerika. Menurut laporan akhbar Philadelphia Inquirer bertarikh 11 Julai 1987, Yusuf Ali (tertuduh yang didakwa membunuh) memberi keterangan dalam mahkamah bahwa dia terpaksa membunuh Al Faruqi suami isteri kerana mereka terlibat mendorong kegiatan homoseksual di kalangan para pelajarnya.

Anwar Ibrahim, IIIT & Amerika Syarikat


Bagi mereka yang mengikuti perkembangan kepimpinan Anwar Ibrahim di dalam arena politik negara, label intelektual Islam reformis yang sering dikaitkan dengan cara kepimpinan beliau agak sukar untuk dipertikaikan. Para pemerhati dari kalangan media, masyarakat akademik serta diplomat dari dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa sekata bahawa inilah label paling cocok bagi bekas pemimpin klon kedua dalam UMNO dan kerajaan itu.


Buku Enigma Politik Anwar, Igauan atau Realiti, ditulis oleh Johari Ismail, terbitan R&S Founder Vision, 1999

Bagaimanapun pemaparan imej cendekiawan Islam moden secara agak keterlaluan ini telah menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan tentang personaliti sebenar kepimpinan politik beliau yang penuh enigma - sukar difahami dan sering mengelirukan.

Malah ekoran kemelut politik serta peribadi yang dialaminya setelah tersingkir dari kerajaan dan UMNO serta langkahnya berpaling arah dari seorang pembela kerajaan menjadi penentang yang paling vokal, timbul dakwaan yang mengatakan beliau terlibat dalam suatu komplot didalangi pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya dari Israel (Mossad).

Setakat apa yang difahami oleh pengarang melalui sumber-sumber kerajaan, beberapa aktiviti Anwar sebagai seorang pemimpin yang berlabelkan cendekiawan Islam reformasi ini disyaki telah lama diperalatkan oleh kedua-kedua agensi sulit antarabangsa ini dalam komplot untuk menimbulkan ketidakstabilan sosial, politik dan ekonomi di Malaysia.

Kebetulan pula adalah difahamkan bahawa kalangan perisikan negara memang telah sekian lama mempunyai sebab-sebab yang kukuh untuk mempercayai bahawa semenjak Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ditubuhkan pada tahun 1983 dan Anwar dilantik sebagai Presidennya, pihak CIA dan Mossad telah menjalankan beberapa operasi sulit (covert operations) bagi memperalatkan pengaruh serta kedudukan Anwar itu.

Adalah disyaki bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu ditunggangi dengan tujuan memudahkan gerakan infitrasi beberapa orang cendekiawan Islam reformis dari AS ke negara ini.

Penyelidikan yang dijalankan rata-ratanya menunjukkan bahawa kebanyakan kalangan cendekiawan yang dimaksudkan itu adalah kelahiran Arab serta benua kecil India. Mereka dipercayai sengaja dibawa masuk melalui pengaruh yang ada pada Anwar sebagai Presiden UIA dan pemimpin kerajaan dan UMNO supaya dapat bertindak , secara langsung atau tidak langsung, sebagai agen penyuluh rahsia (agent provocateur) atau agen pengaruh (agent of influence) badan-badan perisikan Barat dan Yahudi itu.

Ekoran siri penentangan jalanan yang mengakibatkan beberapa kejadian rusuhan anti-kerajaan di sekitar Kuala Lumpur yang melibatkan penyokong gerakan reformasi pro – Anwar, pihak keselamatan dan ketenteraman awam negara tidak seharusnya menolak kemungkinan bahawa perkembangan tersebut bukanlah secara spontan bahkan didalangi oleh konspirasi tertentu seperti yang melibatkan sebuah badan think – tank pergerakan kebangkitan semula Islam semasa dari AS, dikenali dengan nama Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) yang pernah bertapak di UIA itu.

Malah kemungkinan besar gerakan penentangan anti-Mahathir itu sebagai sebahagian daripada perencanaan strategik kuasa-kuasa luar bagi mencaturi urusan politik negara tidak boleh menolak begitu sahaja. Konspirasi ini dirancang dengan mengambil kesempatan daripada cita-cita politik Anwar Ibrahim dan kuncu-kuncu beliau di dalam UMNO dan kerajaan.

Adalah difahamkan juga bahawa persoalan tentang kemungkinan wujudnya komplot dari Barat dalam bentuk IIIT – yang didakwa telah sekian lama memperalatkan kepimpinan bekas Timbalan Perdana Menteri yang dipecat itu – telah pun dimaklumi oleh Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad.

Disyaki bahawa kebanyakan agen-agen yang bertopengkan golongan cendekiawan Islam antarabangsa mewakili IIIT ini telah sekian lama menjadi kenalan rapat Anwar. Badan yang beribu pejabat di Herndon, yang terletak di negeri Virginia, AS telah dikenalpasti sebagai sayap intelektual yang terpenting bagi pergerakan Al-Ikhwan Al-Muslimun – sebuah badan pergerakan Islam antarabangsa yang memang terkenal dengan sikap talam dua mukanya, yakni bersikap radikal serta militan dalam menjalankan kebanyakan aktiviti politik sulitnya dan berpandangan modernis ketika ingin mengambil hati pihak pemerintah negara-negara Islam yang hendak dipengaruhi.


DIRESAPI PENGARUH ZIONIS DAN FREEMASON?

Secara rasminya, IIIT dikenali sebagai ‘yayasan kebudayaan dan intelek Islam’ yang diasaskan oleh Allahyarham Dr. Ismail Faruqi serta beberapa orang tokoh cendekiawan bangsa Arab yang mendapat taraf kerakyatan tetap di Malaysia.

Bagaimanapun kalangan tertentu di kalangan masyarakat Islam di AS difahamkan mempunyai sebab-sebab yang kukuh untuk mempercayai bahawa badan ini pada hakikatnya didalangi CIA dan Mossad. Mereka percaya bahawa kedudukannya yang beribu pejabat di Herndon, Virginia, berhampiran pula dengan Ibu pejabat CIA di Langley – juga terletak di negeri Virginia – bukan merupakan satu kebetulan . Begitu juga dari segi kedudukannya yang terletak berhampiran dengan pusat pemerintahan AS di Washington D.C.

Bagi orang-orang yang mengikuti perkembangan kebangkitan Islam mutakhir sudah tentu sedia maklum tentang kejadian pembunuhan penuh misteri Dr. Faruqi dan isterinya Lois Faruqi di kediaman mereka di Cheltenham, Philadelphia pada 27 Mei 1986.

Walaupun dari proses menegakkan undang-undang kes ini boleh dianggap telah pun selesai dengan terhukumnya seorang lelaki kulit hitam warganegara AS beragama Islam, kes ini masih banyak menimbulkan tanda tanya yang masih belum terjawab secara memuaskan. Lagipun, ekoran pembunuhan yang kejam itu terdapat ramai dari kalangan masyarakat Islam di AS, terutama mereka yang rapat serta mengenali Dr. Faruqi, mendakwa bahawa pembunuhan kedua-dua pasangan suami isteri ini bermotif pada balas dendam oleh pergerakan kongsi gelap Zionis anti antarabangsa, Freemason yang mana si mangsa pernah didakwa pernah menjadi anggotanya.

Menurut amalan pertubuhan sulit ini, mana-mana anggota lodge atau “rumah hantu” yang didapati belot perlu dihapuskan dengan apa cara sekalipun supaya tidak meninggalkan sebarang saksi atau bukti.

Kemungkinan pembabitan cendekiawan Islam reformis yang menjadi sahabat akrab Anwar di dalam pergerakan Freemason bukanlah merupakan sesuatu yang mustahil berdasarkan latar belakang kehidupannya yang dipenuhi kontroversi serta tanda tanya. Dakwaan ini, misalnya diperkuatkan berdasarkan kedudukan beliau sebagai tenaga akademi kanan di Temple University, Philadelphia.

Pusat pengajian tinggi berprestij ini memang telah lama dikenalpasti oleh kalangan masyarakat Islam di AS sebagai pusat kegiatan lodge akademik pergerakan Freemason AS anti antarabangsa.

Perlu disebut bahawa pergerakan Freemason telah dikenalpasti oleh para pengkaji sebagai sebuah organisasi gelap berbahaya di bawah pergerakan Zionis Yahudi sedunia. Pertubuhan sulit ini diwujudkan dengan tujuan utama mempengaruhi minda individu tertentu dari pelbagai bangsa dan agama dan seterusnya memupuk mereka kepada kedudukan yang penting dalam masyarakat supaya boleh dimanfaatkan dalam program konspirasi halus kaum Yahudi itu untuk menguasai dunia.

Perkataan Freemason itu sendiri adalah gabungan dua perkataan bahasa Inggeris. Free, bererti bebas, tidak terikat oleh apa pun dan mason, bererti pekerjaan membangun.

Justeru itu, kesimpulan bagi keseluruhan makna perkataan Freemason adalah perkumpulan para pembangun yang bebas dengan pengertian mereka tidak terikat oleh apa-apa ikatan. Organisasi yang pada asalnya bergelar ‘Kekuatan Tersembunyi’ ini diasaskan oleh pembangun Baitul Maqdis (Jeruselam) dari empayar Romawi, Harold II yang dibantu oleh dua orang bangsa Yahudi, Shiram Abiyud dan Moar Levi.

Tujuan utama di sebalik penubuhan pergerakan kongsi gelap ini adalah bagi menentang Nabi Isa Al-Masih dan menindas sesiapa sahaja yang percaya kepada nabi itu.

Disini perlu juga disebut secara sepintas lalu bahawa pada sekitar awal tahun 1980-an pihak media tempatan pernah mendakwa tentang terdapatnya Lodge pergerakan Freemason yang bergerak aktif di negara ini. Dakwaan ini dikaitkan pula dengan kewujudan sebuah ‘rumah hantu’ yang didakwa menjadi markas pergerakan sulit itu di Malaysia sehinggalah kepada dakwaan tentang terdapatnya beberapa orang tokoh pemimpin UMNO turut terlibat dengan aktivitinya.


Lois Lamya al-Faruqi (Lois Ibsen) (July 25, 1926 - May 27, 1986), isteri Ismail al-Faruqi. Mendapat BA dalam bidang muzik di University of Montana (1948) dan master dalam bidang sama Indiana University (1949)

Berbalik kepada peristiwa pembunuhan Dr. Faruqi dan isteri, ekoran peristiwa tersebut seorang lelaki kulit hitam Joseph L.Young (juga dikenali dengan nama Islam Yusuf Ali) telah pun ditangkap dan akhirnya dikenakan hukuman mati kerana di sabitkan kesalahan membunuh kedua-dua pasangan suami isteri itu oleh mahkamah daerah Montgomery, Philadelphia pada 10 Julai 1987.

Walaupun demikian, perbicaraan seminggu itu telah menimbulkan pula beberapa persoalan yang masih belum terjawab dengan memuaskan . Misalnya, yang kena tuduh ada menyatakan di mahkamah berkenaan langkahnya membunuh Dr. Faruqi dan isteri adalah demi menegakkan maruah dan martabat agama Islam. Beliau mendakwa bahawa cendekiawan Islam moden yang terkemuka itu telah sekian lama menjatuhkan imej agama tersebut dengan cara pembabitannya dengan kegiatan homoseks di universiti tempat beliau bertugas.

Menurut laporan akhbar Philadelphia Inquirer bertarikh 11 Julai 1987 yang turut dipetik oleh akhbar New Straits Times di Malaysia bertarikh 1 Ogos 1987, tertuduh mendakwa bahawa si mangsa pernah beberapa kali memaksa beberapa orang pelajar Islam dari Malaysia mengadakan kegiatan homoseks jika mereka ingin mendapatkan biasiswa bagi pengajian mereka. Young turut dipetik sebagai berkata di mahkamah bahawa tindakan pembunuhan itu dijalankan atas kesedaran tentang tanggungjawab sebagai seorang penganut agama Islam.

Walaupun peguambela Young, Stephen G.Heckman berusaha membuktikan kepada pihak juri bahawa anak guamnya itu mengalami gangguan mental yang teruk tetapi beberapa orang pakar psikiatrik yang menjadi saksi perbicaraan berpendapat sebaliknya.

Malah pada akhir perbicaraan itu pihak pendakwa telah membuat kesimpulan bahawa orang yang dituduh itu sengaja berpura-pura dan mengada-adakan cerita tentang penyakit jiwa yang kononnya dialaminya bagi melepaskan diri dari hukuman.

Walaupun ketika ditangkap pada 16 Januari 1987, Young dikatakan banyak memberikan kerjasama kepada pihak polis tetapi dalam masa yang sama beliau dikatakan telah dengan bijaknya “mengenengahkan bibit-bibit alasan psikiatrik bagi mebela dirinya”.

Dalam kenyataan bela diri kepada pihak juri, Young berkali-kali meminta maaf atas pembunuhan tersebut sambil melahirkan rasa kesal tehadap apa yang hanya disebutnya sebagai “sistem” kerana tidak tampil ke tengah muncul bagi membela diri beliau.

Young juga ada dilaporkan meluahkan perkataan berikut ketika perbicaraan dijalankan.

“I dont see the terrible tragedy as a punishment to me. I see it as an Almighty thing...You can ‘t get around what God has for you”.

(Saya tidak menganggap tragedi yang buruk ini sebagai hukuman ke atas diri saya. Ia telah menjadi ketentuan yang Maha Agong..Anda tidak boleh melarikan diri dari apa yang telah ditakdirkan oleh Tuhan)

Walau apa sekalipun motif disebalik kes pembunuhan Dr. Faruqi dan isteri, kenyataannya ialah pengasas IIIT ini telah sekian lama dianggap oleh kalangan ulamak tradisional dan sesetengah kerajaan negara Islam sebagai seorang tokoh cendekiawan Islam yang penuh kontroversi serta radikal.

Beliau pernah memberikan saranan bahawa penilaian terhadap mana-mana sistem keagamaan tidak seharusnya dilandaskan semata-mata kepada wahyu (revelation) tetapi perlu juga bertunjangkan penilaian secara sekular.

Tidak cukup bagi seseorang untuk hanya mempercayai bahawa agama Islam sebagai satu sistem agama yang agung kerana menurut Dr. Faruqi, kepercayaan tersebut perlu diasaskan kepada penyelidikan yang bersendikan faktor-faktor persejarahan dan rasionalisme dengan memperalatkan metodologi ilmiah Barat.

Pandangan ini sudah tentunya dianggap kalangan ulamak dan cendekiawan tradisional sebagai sesuatu yang keterlaluan serta amat berbahaya.


KOMPLOT ANTARABANGSA DI UIA

Salah seorang pengikut setia Dr. Faruqi adalah Dr.Ibrahim Zein, seorang rakyat Sudan yang pernah memegang jawatan Ketua Jabatan Usuluddin di UIA. Dr.Ibrahim pula dikatakan amat dikehendaki oleh pihak berkuasa keselamatan di negara asalnya kerana kegiatannya menentang pemerintahan rejim Umar Hassan Al-Bashir di Kahrtoum. Cendekiawan buangan dari Sudan ini pula tidak keseorangan di Malaysia.


Ibrahim Zein, Dean of the International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC)

Seorang lagi rakan seperjuangan beliau dalam kegiatan menentang rejim Islam di Khartoum, Prof.Hassan S.Ibrahim adalah Ketua Jabatan Sejarah di UIA. Sumber-sumber ada mendedahkan bahawa Prof. Hassan diterima di UIA setelah dipecat dari jawatan dekan di Universiti Khartoum. Beliau juga dikatakan dipecat kerana beberapa perbuatan salah laku dalam mentadbir para penuntut di universiti berkenaan.

Abdul Hamid Abu Suleyman, bekas Rector, International Islamic University Malaysia


Kedua-dua cendekiawan dari Sudan ini dikenali sebagai aktivis radikal bersayap kiri ketika sedang menuntut di negara mereka. Ketika berkhidmat di UIA pula, kedua-dua mereka dikenalpasti sebagai antara orang-orang kuat kepada Rektor pusat pengajian tinggi itu, Abdul Hamid Abu Suleyman – seorang tokoh cendekiawan Islam dari Timur Tengah yang dikenalpasti sebagai dalang di sebalik aktiviti IIIT merencanakan cita-cita politik Anwar dan mencampuri urusan politik dalaman di Malaysia.


Dr Taha Jabir al-’Ulwani telah mengambil alih teraju pentadbiran IIIT selepas almarhum Ismail alFaruqi mati dibunuh. Anwar, Abdul Hamid Sulaiman dan Dr Taha Jabir merupakan kem sama yang menjadi pengasas utama IIIT.

Selepas peristiwa pembunuhan tragis ke atas Dr. Faruqi, teraju kepimpinan IIIT diambil alih oleh seorang cendekiawan kelahiran Kashmir, Dr. Sayyid Muhammad Syeed. Bagaimanapun pengganti Dr.Faruqi ini tersingkir kemudiannya dari IIIT kerana dikatakan tidak sehaluan dengan orang-orang kuat Rektor UIA Malaysia itu.

Bagi sesetengah cendekiawan Islam di negara ini. Abdul Hamid serta kuncu-kuncunya di dalam IIIT adalah merupakan sekumpulan ahli akademik yang penuh tanda tanya, baik dari segi tingkah laku, pergaulan, gaya hidup mahupun fahaman politik yang dianuti.

Misalnya, gaya hidup mereka yang jelas menonjol serta mewah dikatakan dibiayai oleh beberapa orang ahli perniagaan kaya-raya dari Arab Saudi dan Kuwait yang pernah dibabitkan di dalam pelbagai skandal politik antarabangsa melibatkan CIA.

Anwar Ibrahim meraikan Dr A. Hamid Abu Sulaiman dan Dr Jamal Barzinji di kediamannya, Bukit Segambut. Kedua-dua mereka hadir ke Malaysia setelah diberi anugerah oleh pihak UIA sebagai bekas tenaga pengajar di universiti itu.

Seperti juga halnya dengan Dr.Faruqi, Abdul Hamid telah menjalin perhubungan yang rapat dengan Anwar sejak awal tahun 1980-an lagi, yakni sejak zaman Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu menerajui ABIM.

Dilahirkan di Arab Saudi pada tahun 1936, Abdul Hamid dikatakan menjadi kebencian kalangan ulama di negara kelahirannya itu dan juga di Pakistan, India dan Afrika Selatan kerana ajarannya yang penuh kontroversi tentang ajaran yang boleh dianggap sebagai >‘Islam Protestan’ atau ‘Islam reformis’ yang berkiblatkan AS.

Setakat buku ini ditulis, apa yang menjadi tanda tanya di dalam memperkatakan tentang perhubungan antara Abdul Hamid dengan Anwar ialah peristiwa di sebalik ‘kehilangan ‘ rektor itu secara misteri sejurus selepas rakan penaungnya itu dilucutkan jawatan di dalam Kabinet dan dipecat sebagai ahli UMNO.

Menurut beberapa orang kakitangan akademik di UIA, Abdul Hamid telah meninggalkan Malaysia secara tergesa-gesa sejurus selepas peristiwa pemecatan tersebut dengan memberikan alasan kesihatan.

Bagaimanapun menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, kehilangannya itu adalah bagi menyelamatkan diri dari sebarang tindakan pembersihan yang dikhuatirinya akan dijalankan oleh pihak berkuasa keselamatan negara Malaysia ekoran kemelut politik yang dihadapi Anwar.

Ketika menghilangkan diri di luar negara itu Abdul Hamid didapati mengambil kesempatan untuk berkempen bagi mendapatkan sokongan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu di peringkat antarabangsa.

Kempen yang dijalankan di seberang laut ini ternyata banyak melibatkan unsur memburuk-burukkan kepimpinan negara di bawah Dr. Mahathir dan jelas mencampuri urusan politik dalaman di Malaysia.

Kegiatan ini dilakukan dengan cara memperalatkan jaringan pergerakan intelektual Islam reformis atau Islam Protestan yang telah sedia berakar umbi di AS serta beberapa buah negara Eropah dan juga Timur Tengah.

Maklumat mutakhir yang diperolehi menunjukkan bahawa usha Abdul Hamid mendapatkan sikongan bagi Anwar di luar negara turut didalangi serta dibantu oleh golongan pembangkang intelektual Arab Saudi. Golongan pembangkang Arab ini pula telah sekian lama dipercayai sebagai antara beberapa boneka CIA yang ditugaskan menjalankan operasi sulit bagi mempengaruhi politik dalaman di beberapa buah negara Islam.

Walaupun Pengarang difahamkan bahawa siasatan terhadap kegiatan golongan cendekiawan Islam reformis ini masih belum muktamad, tetapi dengan terserlahnya perkembangan yang amat membimbangkan yang melibatkan seorang rektor UIA ini, maka adalah wajar buku ini menumpukan perhatian terhadap mengesan susur-galur mainan politik Anwar yang memperalatkan imejnya sebagai seorang tokoh pemimpin intelektual moden.


ANWAR IMEJ ASING

Seperti juga kalangan rakan seperjuangannya yang terdiri dari golongan cendekiawan Islam moden yang terlalu berkiblatkan metodologi ilmiah Barat, Anwar Ibrahim bukan sahaja berjaya memaparkan imej seorang cendekiawan Islam reformis, malah terdapat usaha-usaha untuk mempertingkatkan lagi imej tersebut ke suatu tahap yang bersifat universal atau sejagat.

Dalam menjalankan usaha ini , beliau ternyata mendapat bantuan dari jaringan kenalan rapat di dalam pergerakan cendekiawan Islam moden di beberapa buah negara Islam serta juga yang berpusat di AS serta beberapa buah negara Barat.

Dalam usaha ke arah program image-boosting ini Anwar ternyata mempunyai matlamat untuk menonjolkan dirinya sebagai satu-satunya pemimpin dunia Islam yang sederhana serta dapat menyesuaikan diri dengan era ledakan teknologi maklumat dan globalisasi dengan segala kecanggihannya.

Walaupun imej cendekiawan Islam reformis ini telah dipupuk oleh Anwar sejak menjadi aktivis ABIM pada sekitar lewat tahun 1970-an dan awal 1980an lagi, tetapi imej yang dipaparkan ketika zaman di luar UMNO itu agak kasar dan lebih mirip kepada apa yang menjadi trend di kalangan cendekiawan dunia Islam semasa ketika itu, yakni sosialisme Islam.

Bagaimanapun setelah memasuki arus politik status quo UMNO beliau kelihatan semacam terkeliru atau disillusioned lantas mendapati bahawa konsep sosialisme Islam ini lebih mementingkan persoalan tentang perbezaan pencapaian material atau darjat di kalangan ummah – seperti yang kerap bermain di bibir tokoh-tokoh sosialisme Islam abad ke-20 ini, Jamaluddin Al—Afghani, Syed Qutb, Mohammed Ali Jinnah dan Zulfikar Ali Bhutto; tetapi tidak pernah dijadikan kenyataan - tidak bersesuaian dengan perkembangan penguasaan dunia kapitalisme masa kini. Apatah lagi kedudukannya sebagai Menteri Kewangan dalam sebuah negara yang giat memasuki ambang globalisasi perdagangan.

Justeru itu, setelah berjaya mendaki hampir ke puncak hiaraki pemerintahan negara dan parti, imej ini dengan tersendirinya bertukar menjadi lebih refined atau halus lagi. Ini barangkali disebabkan pendedahan yang meluas kepada suasana kehidupan kosmopolitan masa kini yang mana beliau sering berlanggar bahu dengan golongan berkuasa, kaya raya dan terkenal dari serata pelusuk dunia.

Kalau Anwar pemuda aktivis harakah Islamiyah dulu dapat digambarkan sebagai seorang tokoh lantang penuh idealisme dari desa Ceruk Tok Kun di Utara Semenanjung – kurus kering berjanggut sejemput, berbaju cekak musang dan bercapal. Kini imej tersebut bertukar menjadi imej seorang lelaki urbane jet – setter lengkap berpakaian sut jenama Girgio Armani berharga tidak kurang dari RM 17,000 ditempah khas dari Basel, Switzerland.

Perlu diberitahu juga bahawa setakat yang diketahui, Anwar adalah merupakan salah seorang di antara tiga orang tokoh politik dan korporat di dalam negara ini yang diketahui memiliki sut mewah yang diimport dari Switzerland itu.

Ternyata bahawa imej seorang intelektual sosialis Islam yang cuba dipaparkan nya ketika menjadi aktivis pelajar radikal tahun 1970an dan kemudiannya ketika menerajui ABIM pada awal 1980an – dengan segala idealismenya yang terlalu simplistic – sudah tidak begitu cocok dengan kehidupan barunya yang begitu sophisticated kerana berada di puncak kekuasaan sebuah negara yang sedang rancak membangun.

Sudah tentu kedudukan yang baru ini terpaksa dipadankan dengan imej seorang cendekiawan politik status quo yang sentiasa bergerak pada sepanjang koridor kekuasaan negara. Realiti kehidupan yang terpaksa dilaluinya sejak akhir-akhir inilah yang barangkalinya membuatkan Anwar Ibrahim terus jatuh cinta terhadap imej intelek modennya yang kian hari kian kelihatan sophisticated – suatu imej yang boleh dilihat sebagai apologis terhadap segala sifat keangkuhan dan hegemoni kuasa-kuasa neoimperialis Barat.

Lagipun, jika diamati kebanyakan tindak tanduk beliau ketika membantu Dr. Mahathir mengemudi negara seolah-olah mengiakan sahaja segala apa yang hendak dianjurkan Barat baik dari segi politik, ekonomi mahupun sosial. Rupa-rupanya berada pada kedudukan hampir kepada puncak kuasa menjanjikan suatu kenikmatan itu sengaja disogok oleh masyarakat maju Barat yang ternyata terlalu berkiblatkan keseronokan dan kebebasan individu.

Berdasarkan hipotesis mahupun kenyataan tentang kepimpinan Anwar ketika berada di dalam kerajaan tadi serta juga kemelut mutakhir dalam karier politiknya, orang sudah tentu akan bertanya persoalan berikut: Adakah kemungkinannya hancur musnahnya karier politik beliu kini gara-gara lamunan enak dibuai kehidupan syurgawi dunia yang diterima sebagai pemimpin sebuah negara?

Walau apa pun jawapannya hanya yang empunya diri sahaja yang sedia maklum. Namun bagi tujuan buku ini, rasanya tidak perlu Pengarang membuat spekulasi serta andaian yang terlalu mendalam terhadap kehidupan peribadi tokoh politik yang penuh karisma ini.

Apa yang nyata ialah kehadiran beliau selama lebih kurang 16 tahun dalam arena pemerintahan dan siasah tanahair telah menimbulkan semacam fascination atau perasaan kagum di kalangan para pemerhati politik tanahair mahupun antarabangsa . Walaupun demikian, perasaan kagum ini nampaknya lebih banyak menimbulkan persoalan daripada memberikan jawapan.


INTELEKTUAL ISLAM REFORMIS DAN FENOMENA KEBANGKITAN ISLAM

Apa yang nyata dalam memperkatakan tentang tokoh kepimpinan Anwar Ibrahim adalah beliau merupakan seorang tokoh politik yang semakin dikenali, semakin susah pula untuk difahami lagi mengelirukan.

Maka dengan kekeliruan ini terserlahlah pula imej kepimpinannya sebagai pemimpin cendekiawan Islam moden yang berpotensi untuk mengkagumkan itu. Kenyataan ini pula adalah seiring pula dengan gejala kebangkitan Islam masa kini – semakin menjadi sebutan serta ikutan ramai, semakin pula kurang difahami lagi mengelirukan.

Malah sifat kebangkitan Islam mutakhir yang dikesani bermula sejak awal tahun 1970an itu sendiri telah menimbulkan banyak persoalan daripada memberikan jawapan terhadap pelbagai gejala negatif yang dihadapi keseluruahn ummah. Misalnya, kebangkitan itu telah menimbulkan lebih banyak gejala perpecahan di kalangan umat islam.

Cara perlaksanaanya yang rata-ratanya dipelopori oleh golongan cendekiawan moden yang lebih bersifat Islam militan telah banyak menimbulkan imej negatif tentang agama itu sendiri pada kaca mata bukan Islam. Gejala perpecahan serta imej buruk yang di hadapi oleh dunia Islam sejak lebih kurang tiga dekad kebelakangan ini, jika tidak dibendung segera akan membawa kepada keadaan anarki.

Perbezaan pendapat dikhuatiri di kalangan ummah tentang cara yang terbaik untuk melaksanakan gejala kebangkitan itu telah memecah-belahkan mereka kepada dua kelompok iaitu kelompok ulama tradisional atau fundamentalis di satu pihak dengan golongan cendekiawan yang berpendidikan moden atau intelektual di satu pihak yang lain. Pertembungan di antara kedua-kedua kelompok kepimpinan ummah inilah sebenarnya yang telah menimbulkan pelbagai masalah politik di dalam dunia Islam.

Bagaimanapun, bagi tujuan buku ini, penulis tidak bercadang untuk mendalami tentang dua puak yang pertama iaitu puak fundamentalis dan pemerintah. Apa yang hendak diperbincangkan ialah kehadiran golongan intelek atau cendekiawan Islam seperti yang dilabelkan ke atas ketokohan Anwar Ibrahim.

Dan apabila menyebut tentang kategori kepimpinan Islam seperti ini, maka kalangan yang mengikuti perkembangan kebangkitan Islam sedunia semasa akan segera mengaitkannya dengan beberapa nama besar seperti Jamaluddin Al-Afghani, Hassan Al-Banna, Sayeed Qutb, Abul A’la Mawdudi, Allahyarham Dr.Ismail Faruqi, Yusof Qardhawi dan beberapa orang lagi tokoh cendekiawan awam dan ulama Islam di peringkat antarabangsa.


Jadi apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan label intelek Islam reformis ini? Secara ringkasnya label ini cocok dengan deskripsi seseorang individu atau kumpulan yang lebih cenderung untuk menyatakan pendapat atau hujah mengenai sesuatu perkara yang bersangkutan dengan agama Islam secara ilmu akal atau beberapa disiplin pengkajian secara akademik moden.

Dari segi sikap pula, golongan intelektual Islam ini lebih suka jika digelar sebagai golongan progresif serta liberal serta pragmatik dari segi pendekatan mereka terhadap isu-isu semasa yang berkaitan ummah.

Ini ternyata bercanggah dengan golongan tradisionalis yang berpegang teguh kepada nas dan sunnatullah. Golongan ulama tradisional ini rata-ratanya mengambil sikap tidak berkompromi terhadap mana-mana idea asing. Sebaliknya pula golongan intelek modenis Islam pula lebih cenderung untuk berpegang kepada kehendak zaman serta keadaan hidup moden yang perlu diakui adalah amat jauh berbeza daripada zaman permulaan Islam.

Mereka berpendapat bahawa hakikat perubahan zaman telah melahirkan keperluan bagi umat Islam untuk menilai serta mengkaji semula beberapa aspek keagamaan serta nilai-nilai yang dibawa oleh agama itu sendiri.

Pada pandangan mereka penilaian semula ini perlu dibuat berdasarkan perspektif yang cocok dengan perubahan atau perkembangan moden. Ini termasuklah pandangan yang mengatakan bahawa penafsiran semula perlu dilakukan terhadap beberapa nas di dalam kitab suci Al-Quran serta hadis yang mereka anggap sebagai sudah tidak relevan lagi dengan suasana serta realiti zaman moden kini.

Pendek kata, golongan intelek Islam yang baru lebih mengutamakan jalan ijtihad dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan agama dan ummah. Natijahnya ialah golongan ini lebih cenderung untuk menangani isu-isu yang timbul melalui pengajian secara disiplin-disiplin ilmiah yang lebih berdasarkan nilai-nilai sejagat atau universal values seperti demokrasi, liberalisme, hak asasi, kebebasan, keadilan dan sebagainya.

Sebenarnya usaha-usaha yang terbaru bagi mengkaji serta menilai semula hukum agama Islam oleh golongan cendekiawan Islam moden ini adalah kesinambungan kepada usaha yang telah dilakukan pada tahun 1925 melalui buku yang dikarangi oleh seorang cendekiawan Mesir, Ali Abdel Raziq.


Buku Islam Dan Dasar Pemerintahan ditulis oleh Ali Abdul Raziq pada 1926. Buku ini diharamkan di Timur Tengah kerana pengarang Ali Raziq merumuskan tesis bahawa Al Quran dan Al-Hadith tidak pernah menganjurkan untuk membina sebuah negara Islam (daulah Islamiah). Majlis Ulama Mesir hukum Ali Abdul Raziq dengan dilucutkan ijazah dan menanggalkan haknya sebagai warga.Tetapi pada 2004, Institut Kajian Dasar (IKD) dengan kerjasama Konrad Adenuer Foundation, institut pemikiran berkaitan dengan Anwar Ibrahim telah menterjemah dan menerbitkan semula buku ini untuk bacaan rakyat Malaysia.

Buku tersebut antara lainnya menegaskan bahawa Islam tidak pernah menganjurkan mana-mana prinsip berpolitik dan perjuangan Nabi Muhammad hanyalah sebagai utusan Allah dan bersifat keagamaan ukhrawi semata-mata dan tidak ada kena mengenanya dengan perkara-perkara duniawi yang remeh.

Pengedaran buku ini bagaimanapun telah menimbulkan kontroversi dan penentangan hebat sehinggakan dikutuk secara rasmi oleh Majlis Ulama di Universiti Al-Azhar yang membuat fatwa bahawa pengarangnya tidak layak memegang sebarang jawatan umum di Mesir.

Justeru itu, kehadiran fenomena aktivis-aktivisme kebangkitan semula Islam yang dimainkan oleh golongan intelektual Islam moden sejak akhir-akhir ini lebih banyak menimbulkan ‘fatwa-fatwa’ dari hasil ‘pemikiran semula’ atau re-thinking tentang agama Islam melalui metodologi pengkajian ilmiah Barat.

Ini termasuklah pengkajian di dalam disiplin comparative religion atau perbandingan agama mahupun melalui siri civilisational dialogue atau dialog peradaban yang dianjurkan oleh pusat-pusat pengajian tinggi sekular tempatan mahupun luar negara.

ANWAR DAN PENGARUH ORIENTALIS BARAT

Pusat-pusat pengajian tinggi tadi termasuklah yang ditaja oleh kepentingan-kepentingan bukan Islam seperti yang terdapat di beberapa buah negara Barat, terutamanya seperti yang terdapat di Amerika Syarikat.

Antara pusat pengajian tinggi di Barat yang terkenal dengan usaha kerjasamanya dengan golongan intelek Islam ini adalah George Washington University, Georgetown , Washington D.C. serta beberapa buah universiti lagi yang terdapat di negara tersebut.

George Washington University yang terletak di pinggir kota pusat pemerintahan dan siasah Amerika Syarikat ini memang dikenali dengan fakulti teologinya yang diiktiraf antara pusat pengajian tinggi agama Katolik sedunia yang terkemuka.

Malah kedudukannya yang terletak di pinggir sebuah kotaraya yang menjadi pusat tumpuan kuasa anti-Islam yang terbesar di dunia itu telah dengan sendiri menimbulkan tandatanya dan ironi.

John Esposito,sekarang Pengarah Center for Muslim-Christian Understanding di Georgetown University.

John O. Voll, sekarang professor Sejarah Islam Center for Muslim-Christian Understanding di Georgetown University.

Apa yang menarik ialah Anwar Ibrahim sendiri sering dikatakan mempunyai perhubungan yang akrab dengan beberapa orientalis Barat bukan Islam yang dikaitkan dengan fakulti teologi di University George Washington ini. Melalui universiti inilah bergerak aktifnya dua orang tokoh orientalis Barat, Dr. John L. Esposito dan Dr. John O. Voll yang dilaporkan telah siap mengarang dan menerbitkan sebuah biografi tentang Anwar. Difahamkan bahawa buku ini akan juga mengiktiraf sambil mengenengahkan beberapa orang tokoh cendekiawan Islam di Mesir, Sudan serta beberapa buah negara Islam lain di dunia.

Menurut beberapa laporan media tempatan, tokoh-tokoh yang dimaksudkan dalam buku yang dikarangi oleh kedua-dua orientalis Barat ini ialah para pemimpin Islam yang difikirkan telah memberikan sumbangan dalam dunia intelektual Islam di samping turut bergerak secara aktif dalam arena politik.

Bagaimanapun, pada hakikatnya tokoh-tokoh ini adalah rata-ratanya terdiri dari golongan pembangkang atau political dissidents yang tidak lagi diterima oleh pemerintah beberapa buah negara Islam kerana pembabitan dengan aktiviti politik yang boleh dilihat sebagai semata-mata apologis kepada perencanaan neoimperialis Barat.

Setakat buku ini ditulis penulis masih belum mendapat maklumat yang cukup mengenai buku biografi yang dikarangi oleh Dr. Esposito dan Dr. Voll itu. Namun adalah difahamkan buku tersebut dirancang untuk diedarkan apabila Anwar hampir pasti bertanding mencabar Dr. Mahathir sebagai Presiden UMNO.

Dikatakan bahawa biografi tersebut telahpun siap dan sepatutnya diterbit serta diedar menjelang Perhimpunan Agong parti Jun 1998 – atas rancangan bahawa Anwar akan bertanding mencabar kerusi Presiden ketika itu. Seperti yang diketahui umum bekas Timbalan Perdana Menteri itu terpaksa membatalkan rancangannya untuk bertanding jawatan tertinggi parti atas sebab-sebab yang hanya diketahui oleh kalangan yang rapat dengan beliau.

Apabila menyentuh tentang fenomena aktivisme golongan intelektual Islam moden angkatan Anwar Ibrahim, kita tidak boleh lari dari menyentuh perhubungan akrab yang wujud di antara bekas Timbalan Perdana Menteri itu dengan beberapa tokoh-tokoh cendekiawan Islam reformis yang berpengaruh di Indonesia.

Apa yang menarik tentang perhubungan tersebut ia lebih bermotif politik dari menunjukkan sifat sebuah pergerakan dakwah Islamiyah. Di dalam hal ini Anwar dilihat sebagai tunjang atau paksinya.


BJ Habibie dan Madeline Albright,bekas Setiausaha Negara Amerika


Pada suatu pihak ialah perhubungan akrab secara intelektual /teknokratik antara Anwar dengan Presiden Indonesia Bacharuddin Jusuf Habibie di suatu pihak. Manakala di pihak yang lain ialah perhubungan Anwar dengan seorang tokoh pergerakan Islam Indonesia yang dikaitkan dengan pergerakan pro-reformis yang menjatuhkan Suharto, Amien Rais.


Amien Rais dan Anwar Ibrahim


Walaupun tokoh pembangkang Islam Indonesia ini pernah dikatakan bersekongkolan dengan Presiden Mohamad Suharto Kertosudiro sebelum pemimpin tersebut diguling tetapi namanya turut dilibatkan sebagai teraju utama menguling ‘sahabatnya’ itu melalui kebangkitan reformasi bulan Mei 1998.

Ketika Suharto berkuasa, Amien dikatakan turut terlibat dalam di beberapa projek pembangunan mega yang dinaungi oleh bekas pemimpin Republik Indonesia itu dan ini termasuklah dalam projek perlombongan emas Busong yang penuh kontroversi.

Setakat buku ini ditulis, Amien Rais sedang giat menentang kepimpinan pelapis Presiden B. J. Habibie. Seperti juga Anwar dikaitkan dengan ABIM maka ketiga-tiga sahabatnya yang menjadi protagonis utama di dalam kancah politik bergelora di Indonesia itu terlibat pula dengan badan pergerakan Islam yang terbesar di negara jiran itu, Ikatan Cendekiawan Muslim Se-Indonesia (ICMI).

Apa yang sempat difahami oleh Pengarang belum ada sesuatu hasil kajian atau bukti-bukti yang conclusive dapat dikaitkan dengan tarif golongan intelektual muslimin seperti Anwar dan rakan-rakan pemimpinnya dari Indonesia itu malah ianya adalah lebih berdasarkan suatu generalisasi .

Ini adalah bagi memudahkan usaha mengenali tokoh-tokoh cendekiawan yang lebih berpandangan liberal dan berkiblatkan kepada idea akademik Barat mengenai agama Allah SWT yakni mengikut tradisi orientalisme Barat. Perlu juga rasanya diperjelaskan di sini bahawa istilah orientalisme adalah percantuman antara dua perkataan Inggeris yang telah di Melayukan iaitu oriental dan isme.

Oriental bererti bersifat Timur sedangkan isme adalah fahaman dan ajaran. Maka orientalisme bermakna “fahaman dan ajaran yang bersifat ketimuran” yakni sesuatu ajaran yang menumpukan perhatian kepada perkara-perkara ketimuran. Bagaimanapun dalam erti kata yang mencerminkan pelbagai pengajian ketimuran yang Islam. Perkara yang dikaji tentang Islam ini termasuklah dari segi agama, kebudayaan, tamadun, bahasa, sastera dan seninya.

Pergerakan ini telah memberikan satu pandangan yang begitu menyeluruh dalam membentuk pandangan dunia terhadap Islam dan masyarakat Islam dengan cara memaparkan kemunduran serta kelemahan dunia Islam dalam medan pertembungan antara tamadun Timur (Islam) dengan tamadun Barat.

Jadi persoalannya sekarang, apakah perlunya usaha menganalisis dan mengesan tokoh kebangkitan Islam semasa yang menunjukkan kecenderungan untuk bersekongkolan dari segi minda dan idea dengan golongan orientalis Barat ini?

Pada hemat penulis terdapat pelbagai jawapan kepada soalan ini dan jawapan yang paling utama ada kaitannya dengan pergolakan di dalam kancah geopolitik dunia masa kini yang jelas sedang menjurus ke arah semacam pertembungan peradaban antara Barat dengan Timur.

Seperti yang disarankan oleh tokoh futuris Samuel Huntington di dalam buku bestsellernya “The Clash of Civilisation”, Barat yang dikuasai oleh Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah Barat lambat launnya terpaksa bertembung dengan Islam yang melambangkan peradaban Timur dalam beberapa aspek penguasaan terhadap tamadun dunia moden.

Ini termasuklah daripada aspek ekonomi, politik dan sosial. Berdasarkan ini ternyata bahawa ancaman yang sedang dihadapi ummah masakini ialah gejala penerapan segala idea yang boleh disangsikan tentang agama Islam yang diperolehi dari sumber atau metodologi pengkajian ilmiah asing yang berpotensi untuk memesongkan akidah umat Islam.

Kebanyakan idea-idea asing tentang agama yang bersumberkan golongan orientalis Barat dapat terus menyelinap secara halus atau subtle di kalangan umat Islam melalui persekongkolan golongan orientalis ini dengan tokoh-tokoh cendekiawan Islam tempatan yang berpandangan moderate serta liberal.

Memandangkan fahaman golongan intelektual moden Islam ini lebih berdasarkan kajian ilmiah moden, agak sukar bagi golongan ulama pembuat fatwa tempatan serta pihak berkuasa hal ehwal agama Islam untuk memahami serta menjejaki kalau-kalau ada ‘fatwa’ atau ‘idea’ yang dikeluarkan melalui cara disebutkan itu boleh mengancam akidah umat Islam keseluruhannya.


PERANGKAP HALUS BARAT

Berdasarkan analisis yang dibuat tadi adalah jelas bahawa golongan intelektual Islam reformis seperti Anwar Ibrahim lebih cenderung untuk berkompromi dengan fahaman-fahaman yang dilahirkan oleh disiplin keilmuan sekular Barat. Ini dapat menjelaskan minda mereka rata-ratanya dilihat sebagai lebih berkecenderungan untuk menerima pelbagai idea tentang nilai-nilai universal atau sejagat yang disogok oleh disiplin keilmuan Barat.

Golongan intelek reformis Islam baru ini difikirkan lebih mudah untuk diperdaya oleh segala gagasan atau idea tentang Islam yang diketengahkan oleh rakan-rakan orientalis Barat mereka berdasarkan konsep kesejagatan nilai-nilai keagamaan atau lebih dikenali di kalangan para cendekiawan Islam moden sebagai universal values of religion.

Perkara yang diutarakan tadi difikirkan sudah mencukupi bagi menimbulkan keperluan di kalangan umat Islam untuk mengambil sikap penuh waspada terhadap segala apa yang hendak disampaikan oleh golongan cendekiawan Islam moden itu. Justeru itu, adalah semula jadi bagi golongan umat Islam yang lebih cenderung kepada ajaran agama yang asas dan tulen mahupun golongan yang lebih berpandukan kepada fatwa-fatwa status quo yang dibuat oleh ulama pemerintah di negara-negara Islam untuk sentiasa merasa terancam dengan kehadiran golongan intelek Islam moden ini.

Di dalam menangani pelbagai isu yang dihadapi umat Islam, pendidikan liberal separuh – separuh di antara pendidikan Barat dengan pendidikan Timur yang rata – ratanya diterima oleh golongan intelek muslim baru ini menyebabkan mereka lebih susceptible atau mudah untuk dikelirukan atau mengelirukan minda keseluruhan ummah.

Pandangan Anwar tentang bidang pengajian perbandingan agama seperti yang telah diperbincangkan tadi jelas bebas diperbincangkan dan digalakkan dalam bukunya The Asian Renaissance yang diterbitkan buat pertama kalinya pada tahun 1996.

Buku The Asian Renaissance, terbitan Singapore, Times Books International, 1996.


Idea yang diperjuangkannya tentang kesejagatan nilai-nilai keagamaan ini jelas cuba disampaikan melalui usaha menggerakkan beberapa siri dialog peradaban di antara cendekiawan pengkaji ilmu keagamaan bukan Islam dengan kalangan alim ulama Islam.

Usaha mengiktiraf nilai-nilai baik dalam lain-lain agama sesuatu usaha yang murni jika berdasarkan niat untuk mencapai perpaduan dan persefahaman di kalangan masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan, misalannya.

Bagaimanapun dalam masa yang sama jika usaha ini tidak diiringi dengan nawaitu (niat) yang betul atau jika didalangi oleh golongan orientalis anti-Islam, ia dikhuatiri boleh memesongkan akidah ummah, terutama sekali jika tidak ditangani dengan betul dalam konteks mentauhidkan agama Islam.

Bertolak dari premis yang diutarakan tadi, apa yang dikhuatiri dari segi segala usaha Anwar untuk menggalakkan siri dialog peradaban ini ialah usaha tersebut akhirnya boleh berperanan ‘melemahkan’ kemurnian nilai-nilai keIslaman demi menegaskan persamaan dengan nilai-nilai yang terdapat di dalam lain-lain sistem kepercayaan yang dianuti umat manusia.

Perlu diingat bahawa apa yang selama ini diperjuangkan oleh kuasa-kuasa Yahudi – Kristian yang anti-Islam adalah persamaan yang nilainya bersumberkan pada perkiraan manusia semata-mata. Iaitu tentang hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan material duniawi sambil mengenepikan nilai-nilai akhlak yang berteraskan wahyu ketuhanan.

Untuk tujuan ini mereka menerapkan doktrin ‘tujuan menghalalkan cara’ yang boleh menghancurkan kekuatan tauhid. Dalam hal ini ikatan akhlak berasaskan syarie mahupun norma-norma keagamaan langsung diabaikan. Malah usaha melemahkan ajaran Islam yang sebenar dijadikan lebih berkesan melalui aliran pemikiran modernisme yang mengambil kesempatan dari berleluasanya proses modernisasi yang tidak dpat dielakkan lagi oleh negara-negara dan masyarakat Islam itu sendiri.

Hakikat ini dapat diperjelaskan melalui saranan yang dibuat oleh orientalis Joseph Schacht yang mengatakan bahawa warisan keagamaan yang berasaskan hukum Islam tradisional tidak lagi berkemampuan memenuhi keperluan zaman moden.

Justeru itu, katanya sebarang pembaharuan terhadap hukum Islam merupakan salah satu manifestasi modernisme Islam yang terpenting. Hakikat yang berlaku di dalam dunia Islam masakini ialah pengaruh aliran modernisme telah mengaburkan kejernihan dan kesucian Islam dalam aspek intelektual dan manifestasi artistik.

Jika modernisme ini diperhalusi ternyata pengertiannya yang sebenar jauh berbeza dari apa yang difahami oleh masyarakat moden masa kini. Didapati bahawa fahaman permodenan ini tidak dapat bertentangan dengan norma-norma yang telah ditetapkan oleh Islam.

Terbukti bahawa faktor kelonggaran yang terdapat di dalam beberapa aspek tertentu ajaran Islam, terutamanya dari segi penerimaannya terhadap faktor peredaran zaman telah dimanipulasikan oleh arus pemikiran modernis untuk mengaburkan kejernihan dan kesucian ajaran agama Islam itu sendiri dalam aspek intelektual, kebudayaan, seni mahupun sastera.

Oleh itu, sebarang usaha memperluaskan lagi pintu kelonggaran atau fleksibiliti terhadap kepercayaan umat Islam melalui gejala penerimaan nilai-nilai sejagat yang ada di dalam sistem-sistem kepercayaan manusia lambat-launnya nescaya akan menjejaskan akidah umat Islam itu sendiri. Jelaslah setakat ini bahawa fahaman modernisme yang menular di kalangan golongan intelek Islam yang modernis dan reformis nescaya akan membawa dunia Islam menuju ke arah anarki.

Ini dapat jelas dilihat dengan sekian berleluasanya kalangan cendekiawan Islam yang mula menerima secara melulu konsep demokrasi, keadilan, liberalisme, hak asasi dan nilai sejagat dengan hanya berpandukan akal dan nafsu semata-mata. Gejala ini dikhuatiri boleh mengakibatkan kemurnian dan kemanisan iman yang dinikmati hilang sedikit demi sedikit dan diganti dengan syirik.

Ia juga dikhuatiri boleh memupuk fahaman nihilis di kalangan ummah, yakni menambah golongan muslimin yang menafikan hakikat kewujudan diri mereka sendiri semata-mata atas desakan permodenan, material dan nafsu. Kesedaran perlu ditanam di kalangan ummah bahawa transformasi budaya yang dibawa golongan cendekiawan Islam yang terlalu bebas menafsir semula ajaran agama atas desakan permodenan inilah yang telah selama ini bertanggungjawab mengukuhkan kedudukan fahaman-fahaman sekular seperti sosialisme, atheisme, kapitalisme dan sekularisme.

Tidak cukup dengan itu, media berbentuk ilmiah seperti ilmu falsafah moden juga membawa perubahan dari segi pandangan sikap hidup umat Islam terhadap persekitaran mereka.

Misalnya, Anwar dalam buku The Asian Renaissance ada mengutarakan saranan yang dibuat oleh seorang pengkaji bidang perbandingan agama Huston Smith:

In shifting the centre of one’s concern from oneself to one ‘s family, one transcends selfishness. The move from family to community transcends nepotism. The more from community to nation transcends parochialism and the move to all humanity counter chauvinistic nationalism.”Terjemahannya:

“Dengan menganjakkan kepentingan daripada diri sendiri kapada keluarga, seseorang itu telah mengatasi sikap mementingkan diri. Begitu juga seterusnya dalam menganjakan kepentingan dari keluarga kepada masyarakat, seseorang itu telah mengatasi nepotisme. Penganjakkan dari masyarakat kepada negara pula membolehkan seseorang itu mengatasi sikap kedaerahan. Dan dengan mengambil kira kepentingan kemanusiaan, seseorang itu telah mengatasi kepentingan kebangsaan yang sempit.”

Walaupun dalam kenyataannya itu Smith terhenti setakat menyatakan tentang betapa perlunya mengatasi kepentingan kebangsaan yang sempit tetapi berdasarkan analogi, jika kenyataan ini diteruskan tidak mustahil ianya akan berpenghujung seperti berikut:

“..Dengan menganuti nilai-nilai sejagat, seseorang telah mengatasi kepercayaan beragama.”

Saranan orientalis Barat seperti yang diketengahkam oleh Anwar melalui buku Asia Renaissance itu berpotensi untuk mengelirukan pemikiran seseorang Muslimin mengarah kepada falsafah pemikiran free-thinker atau atheist ini yang mana kepentingan sejagat lebih dititik berat dari kepentingan-kepentingan unit-unit masyarakat manusia yang lebih nyata serta semula jadi seperti keperluan diri, keluarga agama, bangsa dan negara ini.

Menyedari kekeliruan serius yang boleh ditimbulkan oleh golongan cendekiawan yang begitu tertarik dengan idea liberalisasi minda ala metodologi ilmiah Barat adalah lebih baik bagi umat Islam menghayati, mengambil iktibar serta berpegang teguh dari firman Allah di dalam surah Al-Imran, ayat 118 yang bermaksud;

Wahai orang yang beriman. Janganlah kamu mengambil orang-orang bukan dari kalangan kamu menjadi orang yang dipercayai. Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan itu jika kamu (mahu) memahaminya”.

Berdasarkan nas-nas tadi, adalah jelas bahawa kita perlu berhati-hati dalam pergaulan dengan orang bukan daripada kalangan kita (bukan Islam) supaya tidak terpengaruh dengan tutur kata mereka yang sering memperdayakan akidah ketauhidan kita. Apatah lagi golongan muda belai sama ada lelaki atau wanita mohonlah petunjuk kepada Allah supaya dilindungi daripada segala perbuatan, percakapan dan iktikad yang boleh menjerumuskan seseorang ke dalam neraka.

Lagipun Allah melarang seseorang itu bersekongkol sama dengan orang diketahuinya zalim dan mengejek-ngejek kebenaran (agama) Allah atau menghina orang yang menyampaikan kebaikan (berdakwah) atas jalan Allah. Jika ini tidak dipatuhi dan terus bersekongkol dengan orang yang zalim itu, seseorang itu besar kemungkinan akan terjerumus ke dalam kumpulan yang meredai apa yang dilakukan oleh mereka yang anti-Islam ini lantas menimbulkan bahaya pemesongan akidah.

Bahaya ini amat menonjol sekali dalam keadaan ummah sedang menghadapi pelbagai cabaran yang amat besar. Kuasa penentu dalam bidang intelektual, politik dan ekonomi telah lama berpindah daripada tangan orang Islam ke tangan pihak-pihak lain – penganut agama Islam hanya mempunyai keyakinan dan impian.

Malah pandangan golongan intelligentsia Islam sendiri adalah terpaksa berdasarkan kepada kaca mata pandangan – pandangan disiplin keilmuan Barat memandangkan asas keilmuan yang mereka perolehi datangnya dari pusat-pusat pengajian tinggi tajaan Barat. Kegagalan menghadapi zaman yang penuh risiko ini bererti umat Islam akan berterusan berada dalam keadaan yang didefinisikan oleh kuasa-kuasa bukan Islam, manakala intelektual Muslim dan ulama akan berpanjangan berkelakuan dan bertindak sebagai pemupuk dan pengukuh sistem-sistem sekular dan pentafsir Islam mengikut komitmen ideologi asing sepertimana ramai ulama dan intelektual di bawah rejim Kamal Atarturk yang terbabit dalam perjuangan nasionalis Anatolia – Turki dan sebagaimana banyak sarjana Muslim di Mesir yang terpesong oleh keagungan lepas pemerintahan Fir’ aun.


RUMUSAN

Perkara yang selama ini didedahkan tentang apa yang berlaku di negara-negara Islam yang lain tiba-tiba menjadi realiti bagi masyarakat Islam di Malaysia ekoran terbongkarnya komplot halus peringkat antarabangsa yang memperalatkan cendekiawan Islam reformis, hatta salah seorang pemimpin peringkat tertinggi penuh karisma negara yang selama ini dinggap pejuang agama bangsa dan negara.

Apa yang paling membimbangkan ialah kalau-kalau konsirasi tersebut telah berjaya menular dan berakar umbi dengan lebih mendalam lagi di kalangan masyarakat Islam di Malaysia dengan bertopengkan pertubuhan-pertubuhan siasah, belia, pelajar, dakwah dan intelektual Islam semasa. Kebimbangan ini ada asasnya, yakni berdasarkan beberapa perkembangan dalam pergerakan pertubuhan-pertubuhan yang dimaksudkan tadi.

Misalnya, terdapat ramai dari kalangan pelajar, profesor dan golongan profesional muda yang pernah menuntut di Britain pada sekitar lewat tahun 1970an dan awal 1980an yang terpengaruh serta terikut-ikut dengan penafsiran yang lebih radikal terhadap ajaran beberapa orang cendekiawan Islam reformis seperti Mawdudi dan Sayyid Qutb ketika menuntut di negara tersebut.

Ramai daripada golongan ini kini didapati menjadi ahli atau pemimpin PAS atau sekurang-kurangnya menyokong parti pembangkang tersebut. Ketika di Britain lagi, golongan terpelajar ini telah menubuhkan dua buah badan iaitu Suara Islam dan Majlis Perwakilan Islam atau Islamic Representative Council IRC)(.

Suara Islam lebih banyak dipengaruhi oleh Mawdudi dan Parti Jamaat –i-Islami di Pakistan yang diasaskan oleh tokoh cendekiawan penuh kontroversi itu, manakala IRC (kini didaftarkan di Malaysia sebagai Jemaah Islah Malaysia atau singkatannya JIM) ditubuhkan bagi meniru prinsip perjuangan kumpulan Muslim Brotherhood atau Al-Ikhwan Al-Muslimun Mesir.

Suara Islam berpegang kepada pendapat bahawa cita-cita menegakkan sebuah negara Islam hanya akan dapat ditegakkan melalui jalan revolusi yang dikepalai oleh sebuah parti Islam yang dianggotai serta dipimpini oleh golongan elit yang dilatih khusus dan komited terhadap agama.

Manakala IRC pula bercita-cita untuk memupuk suatu pergerakan massa yang dimodel seperti kumpulan Muslim Brotherhood lengkap dengan usaha atau sel-sel rahsianya yang bersifat pergerakan bawah tanah.

Sifat Suara Islam dan IRC yang mirip pertubuhan revolusioner bawah tanah dan ditubuhkan di tengah-tengah masyarakat sebuah negara Barat sudah tentu mendedahkannya kepada pengaruh-pengaruh halus dari kepentingan-kepentingan kuasa asing.

Memandangkan objektif jangka panjangnya yang bersifat revolusioner, yakni bagi menggantikan kerajaan Malaysia yang ada sudah tentu menjadikannya sasaran yang sesuai untuk menerima hasutan halus kuasa-kuasa neoimperialis Barat. Apabila pulang ke tanahair anggota kedua-dua kumpulan ini lebih tertarik untuk menyertai dan menyokong PAS kerana perjuangan kepimpinan barunya rata-rata dianggap lebih militan.

PAS dianggap mencerminkan penentangan golongan terpelajar ini terhadap apa yang dianggap sebuah kerajaan “kafir” yang sekular di Malaysia serta amat cocok sekali dengan retorik anti-Barat yang sering dilaung-laungkan; perjuangkan untuk menegakkan sebuah negara Islam yang berasaskan A-Quran dan Sunnah semata-mata; pemujian dan sokongan terhadap pemerintahan revolusi Islam di Iran dan kecenderungan mereka terhadap aktivisme politik.

Walaupun ketika Anwar Ibrahim berada di dalam kerajaan, beliau di anggap oleh kumpulan IRC sebagai “pengkhianat” kepada perjuangan Islam militan tetapi tanda-tanda mutakhir sejak dilucutkan jawatannya menunjukkan bahawa beliau telah mendapatkan semula sokongan kumpulan intelektual radikal ini.

Ini mendapatkan semula sokongan yang diberikan oleh beberapa orang anggota serta tokoh di dalam JIM (IRC) terhadap laungan reformasi yang dibuatnya sejurus sebelum ditahan di bawah ISA pada bulan September 1998. Perlu juga disebut di sini bahawa perjuangan IRC yang militan serta struktur organisasinya yang bersifat bawah tanah dan mesej-mesejnya yang berterus terang yang cuba disampaikan didapati mempunyai daya tarikannya yang tersendiri terutama sekali di kalangan para penuntut yang penuh idealisme.

Pendekatan pertubuhan ini terhadap perjuangan Islam bersifat hitam putih – jika seseorang itu tidak menghayati Islam sebagai satu cara hidup yang menyeluruh maka kafirlah dia sama ada anda berjuang untuk Islam atau anda dianggap tidak beragama, sertailah kumpulan agama atau tersisih darinya – amat menarik perhatian terutama di kalangan penuntut jurusan sains.

Sementara itu, pihak keselamatan negara dan ketenteraman awam negara telah pun mempunyai sebab-sebab yang kukuh untuk mempercayai bahawa seperti juga pergerakan reformasi, kumpulan intelektual militan ini turut didalangi secara langsung atau tidak langsung oleh anasir-anasir yang berkaitan dengan kepentingan hegemoni Barat. Malah tanda-tanda yang dapat dibaca dari perkembangan pergerakan Islam sedunia menunjukkan bahawa pihak perisikan sulit antarabangsa seperti CIA dan Mossad telah mula menumpukan perhatian mereka dalam mempengaruhi dan memanipulasi mana –mana pergerakan, institusi atau tokoh Islam yang difikirkan boleh diperalatkan untuk mencapai objektif grand design hegemoni global mereka.

Sebagai contoh, menurut laporan perisikan yang layak dipercayai, 60 peratus daripada agen talibarut serta sekutu yang ‘direkrut’ oleh CIA diambil dari kalangan rakyat atau penduduk tetap negara yang menjadi sasaran .

Agensi perisikan yang terulung di dunia ini memperalatkan bermacam-macam cara serta teknik bagi merekrut agen-agen. Ini termasuklah dari tawaran untuk mendapatkan kerakyatan AS kepada golongan penentang kerajaan sehinggalah kepada pembayaran lumayan bagi “kerja-kerja penyelidikan” melibatkan subjek-subjek tertentu.

Bagaimanapun, menurut laporan itu lagi, pihak Mossad Israel menggunakan cara-cara yang lebih kasar serta kotor lagi seperti peras ugut, fitnah, skandal seks dan sebagainya.

Berdasarkan fakta-fakta yang disebutkan tadi, ternyata bahawa golongan cendekiawan atau intelligentsia Islam merupakan kumpulan sasaran yang paling susceptible dalam kerangka perencanaan Barat dan Zionis untuk mempengaruhi percaturan kehidupan di negara-negara Islam. Justeru itu, timbul keperluan yang lebih menekan untuk memperhebatkan proses pengislaman intelektual.

Setakat ini bukanlah tidak terdapat langsung intelektual yang mempunyai jiwa dan fahaman yang kukuh mengenai Islam daripada kaca mata keperluan semasa tetapi jumlah mereka terlalu kecil bagi mengahadapi cabaran-cabaran dunia ke arah globalisasi dengan segala halangan dan rintangan yang hebat-hebat belaka.

Lagipun seperti yang terbongkar ekoran dilema yang dihadapi Anwar Ibrahim kebanyakan golongan intelektual seperti ini kelihatan lebih banyak “terhutang minda” kepada metodologi dan disiplin keilmuan Barat untuk mempunyai keperihatinan yang sejati terhadap nasib dan survival masa depan agama, bangsa dan negara mereka.

Seperti juga yang telah diperbincangkan pada peringkat awal Bab ini antara sebabnya berlakunya kemelut intelektual ini ialah kerana persekongkolan mereka dengan golongan intelektual moden antarabangsa yang bergiat di bawah naungan institusi-institusi budaya dan intelektual Islam tajaan kepentingan Barat seperti IIIT yang berpusat di AS.

Bagi golongan ulama tradisional pula, keperluannya adalah bagi mengelakkan diri mengalami keadaan minda yang jumud pengetahuan. Mereka seboleh-bolehnya hendaklah mengenepikan segala tekanan egotisme atau false pride dan berusaha mengembangkan pengetahuan bersesuaian dengan perkembangan masa.

Lagipun hampir kesemua disiplin keilmuan yang didatangkan dari Barat itu adalah diasaskan daripada falsafah Barat dan mereka tidak pernah membenarkan asas tersebut dinodai oleh lain-lain unsur peradaban walaupun para cendekiawan Barat tidak berhenti-henti menimba pelbagai ilmu pengetahuan dari Timur. Kesemua saranan yang dibuat tadi mengenai betapa pentingnya pengislaman intelektual moden dan pengintelektualan ulama tradisional dalam mengekang pengaruh hegemoni dan neokolonisme Barat dan kaum Zionis adalah semata-mata berasaskan keperluan menegakkan tauhid.

Di sini penulis bukan bertujuan untuk menafikan hakikat bahawa lain-lain agama turut mempunyai nilai murni yang elok untuk diamalkan oleh umat manusia sejagat tetapi, seperti keterangan nas-nas di atas, umat Islam dilarang daripada mengikuti sahaja apa-apa pengajaran yang dibawa oleh agama yang selain agama yang dibawa oleh Rasulullah.

Berdasarkan kepada perkembangan serta hujah yang telah diketengahkan setakat ini, adalah jelas bahaya yang dibawa oleh golongan intelek Islam modernis yang rata-ratanya cenderung untuk berpandangan liberal ala Barat, malah nampaknya lebih banyak berkiblatkan kepada sumber-sumber dari kuasa Barat yang terulung masakini, yakni Amerika Syarikat dalam mencari ‘ilham keintelektualan’ mereka.

Oleh sebab itulah, dalam sebarang penilaian antara apa yang dikatakan aliran kepimpinan Dr. Mahathir dengan aliran kepimpinan yang ditunjukkan oleh Anwar, Mahathir dianggap sebagai anti-Amerika sedangkan Anwar dipandang sebagai pro-Amerika dan sering dipuji oleh para pemimpin kuasa Barat yang terulung itu.

Nota : Artikel ini petikan daripada buku, Enigma Politik Anwar, Igauan atau Realiti, ditulis oleh Johari Ismail, terbitan R&S Founder Vision, 1999.

0 comments: