Oleh Yahaya Ismail
Dalam keadaan negara menghadapi kegawatan ekonomi sejak Julai 1997 Anwar sepatutnya berikhtiar sedaya upaya mencari jalan untuk memulihkan ekonomi negara. Memang sukar untuk mengatasinya memandangkan negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia serta Korea Selatan yang menerima bantuan IMF berbillion-billion dolar juga masih belum dapat bangun dari kegawatan ekonomi yang sangat parah. Tetapi Malaysia tidak meminjam dari IMF untuk menangani kegawatan ekonomi.
Kata Anwar fundamentals saham-saham di BSKL masih kuat dan kita menjadi mangsa para spekulator mata wang asing dan pengurus-pengurus dana barat yang mahu ”mengajar” kita kerana sikap Perdana Menteri yang terlalu anti Barat. Sikap Mahathir yang berjiwa nasionalistik dan tidak mahu menjadi boneka Barat menyebabkan Malaysia menjadi sasaran kecaman dan tekanan barat. Memang barat tidak mahu lahirnya seorang tokoh yang berwibawa dari luar Eropah dan Amerika Syarikat, yang bukan berkulit putih, untuk menjadi jurubicara negara-negara sedang membangun di dunia.
Anwar mungkin berpendapat hanya dengan berbaik-baik dengan barat dan menurut arahan dan nasihat dari barat sahaja boleh menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negara kita. Untuk menangani kegawatan ekonomi Anwar yakin sekiranya Malaysia berpandukan arahan IMF maka nescaya Malaysia dapat kembali bernafas lega dalam pertumbuhan ekonomi. Lagi pula pengarah urusan IMF, Camdeseau sahabat baik Anwar.
Tambahan pula dia juga dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan IMF yang dikuasai Amerika. Tidaklah hairan kalau Anwar menganggap segala formula ekonomi yang diberikan IMF itu boleh memulihkan semula ekonomi kita.
Lalu dinaikkan faedah bank, lebih dari 15% setahun dengan harapan para pelabur asing akan membanjiri Malaysia dan menyimpan wang mereka dalam bank-bank tempatan. Faedah yang ditawarkan di sini pun tidak menarik orang asing melabur oleh sebab negara-negara jiran memberi faedah yang lebih tinggi dari Malaysia. Mereka lebih banyak menumpukan perhatian ke Singapura dari negara kita.
Selain dari itu dia juga mengurangkan angka waktu bayaran pinjaman yang tak berbayar (NPL) dari enam bulan kepada tiga bulan. Ini lebih menyulitkan lagi para usahawan dan peminjam-peminjam yang terpaksa merancangkan pembayaran ansuran bulanan mereka dalam jangka waktu yang amat pendek – tiga bulan dan bukan enam bulan seperti sebelum arahan Anwar tersebut.
Akibatnya banyak syarikat mengalami masalah kecairan wang tunai (cash flow problems) dan banyak tidak dapat membayar ansuran bulanan mereka. Tambahan pula bank-bank juga sukar memberi pinjaman kepada syarikat-syarikat yang mereka anggap tidak teguh kedudukan kewangan mereka untuk membayar balik pinjaman mereka itu.
Para spekulator matawang terus menerus menekan nilai ringgit supaya Malaysia menjadi bertambah gawat dan jatuh miskin. Harga-harga saham di BSKL terus menerus merudum hingga mencapai harga di bawah RM1.00 sesaham. Banyak syarikat-syarikat dalam BSKL mengalami kerugian besar dan sekiranya tidak dipulihkan semula ekonomi negara dengan cepat banyak syarikat-syarikat yang disenaraikan dalam BSKL akan jatuh bankrap.
Apakah Anwar tidak sedar bahawa dasar menaikkan faedah bank dan tiga bulan untuk menjelaskan NPL itu akan membawa kehancuran kebanyakan syarikat-syarikat dalam negara? Apakah dia tidak tahu akibat dari tindakannya itu?
Anwar tentu tahu sekiranya banyak bank tempatan dan syarikat-syarikat dalam BSKL tidak mampu menggerakkan bisnes mereka akibat kekurangan modal maka negara-negara barat, terutama sekali Amerika, akan mendesak Malaysia supaya membuka pasaran mereka kepada para pelabur asing untuk membeli equiti dan mengontrolkan setengah dari syarikat-syarikat penting tersebut.
Mereka akan mendesak dan menekan Malaysia melalui WTO (Pertubuhan Perdagangan Sedunia) untuk membuka pasaran kita supaya memudahkan mereka menjajah kita melalui tindakan dan kawalan ekonomi negara kita. Kalau syarikat-syarikat bertaraf gergasi dibenarkan melabur dan menguasai berbagai syarikat yang penting di negara kita bermakna ia mempunyai hak untuk tidak melaksanakan hak keistimewaan Bumiputera. Kalau kepentingan Bumiputera terhakis, akibat penguasaan para pelabur asing dalam berbagai sektor industri di Malaysia, maka besat kemungkinan masa depan kaum Bumiputera di tanahair mereka sendiri akan terjejas.
Mahathir ingin membela kepentingan rakyat Malaysia amnya dan kepentingan Bumiputera khasnya. Justeru itu Mahathir berusaha sedaya upaya untuk memulihkan ekonomi negara tanpa meminta bantuan asing demi menjaga maruah dan kepentingan negara, bangsa dan agama. Justeru itu Mahathir tentang IMF dan Bank Dunia yang hendak menguasai bidang ekonomi negara melalui pinjaman mereka. Tetapi Anwar nampaknya tidak sensitif terhadap menjaga kepentingan ekonomi dan negara kita oleh kerana dia mendapat nasihat dan arahan dari IMF untuk menangani kegawatan ekonomi menurut acuan badan dunia tersebut.
Ada orang berpendapat Anwar sengaja hendak membawa kehancuran kepada ekonomi negara melalui dasar IMF yang diikutinya. Ada yang berpendapat sekiranya ekonomi kita menjadi semakin parah maka kestabilan politik akan terancam. Sekiranya Malaysia terdesak untuk meminjam dari Bank Dunia atau IMF seperti mana yang berlaku di Indonesia, Thailand dan Korea Selatan besar kemungkinan pinjaman itu boleh diberikan dengan syarat Mahathir mesti berundur dari Sri Perdana dan Anwar mengambil tempatnya!
Sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri melalui bantuan asing maka janganlah hairan bin terkejut kalau Malaysia menjadi boneka Amerika.
AIDC memetik buku tulisan Yahaya Ismail bertajuk "62 Dalil Mengapa Reformasi Anwar Gagal", Penerbitan Usaha Teguh Sdn Bhd, Petaling Jaya, 1999
0 comments:
Post a Comment