Oleh Yahaya Ismail
Semua orang tahu Habibie, Presiden Indonesia yang naik atas semangat demonstrasi dan teriakan reformasi para demonstran di Jakarta, sahabat baik Anwar. Kedua mereka boleh berpeluk-pelukan ahlan wasahlan. Kedua-dua mereka terkenal kerana perjuangan Islam – Habibie melalui ICMI (Ikatan Cendiakiawan Muslim Indonesia) dan Anwar (ABIM).
Bukan saja anak sulung Anwar yang berusia 18 tahun menemui Habibie untuk meminta bantuan dan sokongan moral dan politik tetapi juga tiga orang juak-juak Anwar, Rahim Ghouse, Saifuddin Nasution dan Ezam turut sama mencerca dan mengecam Malaysia dari Jakarta.
Demi mengekalkan hubungan yang baik antara Malaysia dan Indonesia sebaik-baiknya Habibie jangan masuk campur mengenai urusan dalaman Malaysia. Hargailah perasaan orang lain dan semangat Asean. Malaysia sendiri tidak berminat mencampuri urusan dalaman Indonesia walaupun ada pihak-pihak tertentu dari Indonesia yang ingin menjadikan Malaysia sebagai pengkalan politik mereka untuk memburuk-burukkan kepimpinan Jakarta.
Acheh Merdeka mahu menjadikan Malaysia sebagai pengkalan tetapi Malaysia menolak dengan baik kerana menjaga perasaan Jakarta. Malah persidangan antarabangsa mengenai nasib Timor Timur di Kuala Lumpur beberapa tahun yang lalu dipaksa bersurai oleh kerana tidak mahu menimbulkan rasa salah faham antara kedua negara. Dalam keadaan kegawatan ekonomi Indonesia yang lebih parah dari Malaysia kerajaan Malaysia sanggup memberi pinjaman sebanyak US1 billion kerana mengenangkan hubungan persahabatan yang akrab antara kedua.
Malah kini terdapat kira-kira dua juta pendatang dari Indonesia (termasuk yang datang secara haram) mencari rezeki di bumi Malaysia. Sekurang-kurangnya rakyat Indonesia di sini turut meringankan tekanan ekonomi kaum keluarga mereka di Indonesia melalui kiriman wang saban bulan ke desa masing-masing.
Ini kenyataannya. Sebagai pembesar Indonesia yang naik atas tunjangan demonstrasi rakyat yang menggulingkan Suharto. Habibie sepatutnya menyedari bahawa kepimpinannya juga masih belum kuat lagi. Malah sudah ada teriakan gemerinsik dari penunjuk-penunjuk perasaan meminta dia turun tahkta kerana dianggap terlalu lambat membuat reformasi.
Amatlah baik dan kena pada tempatnya Habibie menjaga kepentingan rakyat Indonesia seramai 200 juta mulut untuk diberi makanan tempe, nasi jagung dan ubi sebelum kebuluran bermaharajalela. Semua orang sedar bukan senang memimpin kerajaan Republik Indonesia yang mempunyai lebih dari 3000 buah pulau dengan para penduduknya terdiri dari ratusan suku kaum dengan segala masalah dan jampi-jampi mereka yang perlu ditanggani oleh bapak Presiden di Jakarta.
Oleh itu Pak Habibie tidak perlu memikirkan nasib Anwar yang dituduh meliwat itu. Malaysia juga negara hukum dan pada tahun 1957 hingga kini tetap menerima kepimpinan UMNO/BN dan kepimpinan yang dipilih UMNO untuk menerajui kerajaan. Kalau kami menyokong kepimpinan Mahathir kerana kami menganggap dia terbaik antara para pemimpin yang ada di negara kami.
Kalau Anwar dipecat Mahathir kerana moralnya rendah dan memalukan negara tahu pemimpin kami itu tidak suka membuat tuduhan yang begitu serius kalau tidak ada bukti yang kukuh. Kalau pertuduhan terhadap Anwar itu menggegarkan jantung Pak Habibie kami minta maaf kerana bukan dasar kerajaan hendak memeranjatkan sesiapa apalagi para pemimpin dan negara-negara sahabat.
Ini urusan negara kami sendiri dan masalah ini adalah masalah dalaman Malaysia. Biarlah kami menyelesaikannya secara orang Malaysia tanpa campur tangan Pak Habibie dan orang asing yang lain. Kalau kami perlukan bantuan asing kami minta atas kerelaan kami sendiri.
Buat masa ini kami mempunyai Perdana Menteri yang berwibawa, berprihatin dan seorang reformis bangsa yang kagumi dan sanjung tinggi. Kami tidak perlu mencontohi cara kepimpinan dan amalan budaya politik negara-negara lain termasuk Indonesia. Sistem pemerintahan kami dianggap baik – pemilihan umum sekali dalam lima tahun untuk menentukan kepimpinan negara.
Alhamdulillah sejak mereka hingga sekarang rakyat tetap menyokong kepimpinan UMNO/BN dan Mahathir berkuasa selama 18 tahun adalah hasil dari dukungan terbesar dari rakyat Malaysia. Dia tidak dipilih oleh para demonstran di jalanan ataupun mereka yang kelaparan dan mahukan reformasi besar-besaran.
Masalah Anwar masalah dalaman kami. Tidak perlu campur tangan sesiapa dari luar atau pun kerajaan asing. Kalau dia tidak bersalah dia akan dibebaskan. Kalau rakyat Malaysia masih yakin tentang kepimpinannya maka boleh jadi dia akan dipilih sebagai bakal Perdana Menteri melalui parti politik yang dipimpinnya atau pun dari gabungan parti-parti pembangkang yang memuja kepimpinannya. Itu pun kalau Allah merestuinya. Menang atau kalah terletak di tangan Allah dan rakyat Malaysia.
Mereka tahu menilai kewibawaan Mahathir dan tahu juga mengukur sejauh mana kemampuan Anwar. Kami juga tahu siapa yang bercakap benar dan siapa pula yang membohongi rakyat. Maaf, Pak Habibie, kami rakyat Malaysia, tidak perlu campur tangan Bapak dan siapa saja dari luar Malaysia.
Biarlah kami mengurus sendiri negara kami menurut fahaman reformasi ala Malaysia yang sudah pun terbukti kejayaannya sejak Merdeka hingga sekarang. Selamat tinggal, Bapak Habibie. Selamat berjuang menegakkan negara hukum di Indonesia. Kami berdoa agar kepimpinan Bapak membuahkan hasil yang baik untuk rakyat Indonesia dari Sabang ke Marauke.
AIDC memetik buku tulisan Yahaya Ismail bertajuk "62 Dalil Mengapa Reformasi Anwar Gagal", Penerbitan Usaha Teguh Sdn Bhd, Petaling Jaya, 1999.
0 comments:
Post a Comment