AIDC BLOG: Anwar Ibrahim pendokong Islam Liberal di Malaysia?

Monday, September 22, 2008

Anwar Ibrahim pendokong Islam Liberal di Malaysia?


Anwar Ibrahim pendokong Islam Liberal di Malaysia ?


Anwar Ibrahim berpendapat bahawa program pendemokrasian yang mengiktiraf serta memfokuskan gerakannya kepada prinsip-prinsip sejagat (universal principles) yang diterima oleh keseluruhan manusia adalah merupakan satu-satunya jalan kepada lahirnya kebebasan yang benar-benar hakiki yang kemudiannya menyelamatkan Dunia Islam dari kekacauan.

Di antara prinsip-prinsip sejagat yang dapat dikutip melalui idea-idea Wacana Kebebasan yang sering diutarakan oleh Anwar Ibrahim adalah penglibatan secara aktif dalam masyarakat dalam menyuarakan pendapat (engagement), kewujudan institusi-institusi madani yang bersifat demokratik (civil society), sifat kebebasan pluralistik (majmuk) dan kepelbagaian (diversity) perlu wujud.

Prinsip-prinsip seperti yang digariskan ini pada kebiasaannya dapat dilihat melalui satu Dokumen Liberal yang bertulis yang dipanggil sebagai Perlembagaan Persekutuan yang muncul sebagai pengganti kepada raja yang zalim yang memerintah.

Berhubung hak individu pula, ada ruang yang tidak boleh disentuh oleh pemerintah seperti ruang peribadi, ada yang terdapat dalam minda seseorang dan apa yang dipercayai oleh seseorang. Ini bermakna bahawa prinsip kewujudan serta kehidupan bersama dan kehormatan secara mutual perlu ditegakkan. Idea asas kepada perlembagaan adalah konstitunalisma atau keperlembagaan, iaitu dengan membataskan kuasa pemerintah maka kebebasan rakyat akan terjamin, dan rakyat terpelihara dari kezaliman yang datangnya dari pemerintah.

Kebebasan beragama, kebebasan bersuara, bergerak dan berhimpun adalah idea-idea yang terhasil dari perjuangan liberal, dan semua unsur-unsur ini terdapat dalam perlembagaan kesemua negara-negara moden.

Khalid Jaafar, Ketua Institut Kajian Dasar; salah seorang pendukung dan pengembang pendapat Anwar Ibrahim ada menyatakan berhubung peranan Islam dalam negara seperti Malaysia.

Beliau berkata bahawa, "Dalam mengurus sebuah negara majmuk dan kosmopolitan dimana Islam adalah agama persekutuan maka kita memerlukan tafsiran Islam yang tinggi dan mendalam, tafsiran yang merujuk kepada sejarah dan pengalaman kerohanian yang kaya dan intelektual yang segar, Islam yang majmuk, luas, kosmopolitan, rasional dan toleran. Tafsiran ahli-ahli falsafah seperti Ibn Rushd yang menegaskan keharmonian antara wahyu dengan akal dan tafsiran mistik seperti Jalaluddin Rumi dan Muhyiddin Ibn Arabi sungguh relevan hari ini dalam berdepan dengan masyarat kepelbagaian agama dan kaum."

Dapatlah disimpulkan dari sumber di atas bahawa Anwar Ibrahim dan pendukung-pendukung beliau memiliki aspirasi serta membawa idea-idea Wacana Kebebasan yang dipelupuri oleh John Locke (1632M-1704M) yang juga digelar sebagai Bapa Falsafah Kebebasan (Liberation) dan Pencerahan (Enlightenment) Eropah Moden di akhir-akhir Zaman Pertengahan Eropah.

Ini adalah berpandu kepada rujukan-rujukan yang kerap dibuat oleh Anwar Ibrahim kepada John Locke apabila berbicara tentang kebebasan dan pandangan beliau adalah selari dengan pemikiran falsafah yang dibawa oleh Ahli Falsafah tersebut.

John Locke ini adalah dianggap sebagai di antara ahli falsafah emperisis British yang paling berpengaruh. Falsafah Emperisis menekankan kepada peranan pengalaman dan bukti, terutamanya persepsi-persepsi yang ditanggap oleh deria manusia ketika melalui pengalaman hidupnya dalam membentuk idea-idea atau pandangan hidup mereka.

Zek
Nota : Komen ini dihantar oleh Zek dalam mengulas artikel "Mana Suara Demokrasi dan Hak Asasi Amerika ? ".

-------------------------------------------


Ulasan AIDC :

Tulisan saudara Zek menyimpulkan prinsip yang dianuti oleh Anwar Ibrahim berkenaan dengan konsep kebebasan individu dan hala tuju pemikiran perjuangannya.

Berkaitan dengan konsep kebebasan ini, Zek menulis, wujud dua pemisah antara kebebasan individu dengan hak pemerintah. Terdapat ruang-ruang tertentu yang tidak boleh disentuh oleh pemerintah terutamanya berkaitan dengan hak asasi manusia.

Persoalannya, adakah konsep kebebasan ini hanya anutan peribadi Anwar dan beliau tidak berhasrat mempengaruhi orang lain ? Zek menjawab sebaliknya, Anwar percaya konsep kebebasan itu benar pada dirinya dan kebenaran itu harus disampaikan kepada pihak lain dalam bentuk keluarga, masyarakat dan negara.

Hujah Zek, pegangan falsafah kebebasan Anwar turut direalisasikan dalam konsep bermasyarakat di Malaysia dengan penglibatan secara aktif dalam rundingan/dailog (engagement), madani demokratik (civil society), dan kebebasan pluralistik agama (majmuk).

Untuk menyebarluaskan lagi 'fahaman' itu, Zek mengatakan Anwar telah menggunakan badan pemikirnya iaitu Institut Kajian Dasar (IKD), yang diketuai oleh Khalid Jaffar, sebagai badan pelaksana penterjemah fikiran Anwar dalam bentuk seminar, krusus, bengkel, penulisan buku dan sebagainya.

Persoalannya adakah konsep kebebasan ini bersumberkan Islam ? Zek menyimpulkan konsep ini bukan berpaksikan daripada sumber Islam, sebaliknya bersumber kepada pemikiran John Locke (1632M-1704M), digelar sebagai Bapa Falsafah Kebebasan (Liberation) serta Pencerahan (Enlightenment) Eropah Moden di akhir-akhir Zaman Pertengahan Eropah.

Siapa John Locke ?

John Locke adalah seorang ahli Falsafah Barat, beragama Kristian dan berasal dari Wrington, Somerset, England. Beliau turut dikenali sebagai ahli falsafah moden abad ke-17.

Teori kebebasan Locke berasaskan falsafah Kristian. Lebih kepada falsafah kebebasan politik yang kemudiannya dikenali sebagai liberalisme politik.

Menurut Locke konsep liberalisime bermaksud mewujudkan Negara Liberal, iaitu pembahagian di antara hak individu dan hak pemerintah. Hak individu adalah hak kebebasan dan hak asasi. Manakala hak pemerintahan pula hak pembahagian kekuasaan antara Legislatif, Eksekutif dan Federatif. Perjanjian antara hak individu dan pemerintah ini dikenali sebagai Kontrak Sosial.

Selain Locke, tokoh-tokoh yang mendokong fahaman liberalisme ini adalah David Hume, Jean-Jacques Rousseau, Adam Smith, Thomas Paine, Benjamine Constant, James Madison, John Stuart Mill, Thomas Hobbes, Immanuel Kant, John Rawls dan lain-lain.

Konsep Liberalisme ini turut dipanjangkan kepada konsep agama iaitu Liberalisme agama yang sekarang ini lebih dikenali sebagai Pluralisme Agama (persamaan antara agama). Bacaan lanjut klik di sini

Anwar dan Liberalisme (kebebasan)

Anwar pernah ditanya mengenai konsep pegangannya oleh wartawan Barat dalam program Foreign Correspondence Club of Thailand (FCCT) pada 6 Februari 2007 di Bangkok.

Soalan pertama : "Apakah jenis Muslim yang anda (Anwar) anuti, adakah Muslim Liberal atau Muslim Progresif ?"

Soalan kedua : "Sekiranya anda menjadi PM, adakah anda memberi kebebasan kepada pengamal homoseksual atau anda juga akan mendiskriminasikan golongan homoseksual ?"

Untuk soalan pertama, Anwar menjawab beliau adalah "Muslim Liberal-Demokrat". Sebagai menghuraikan maksud "Muslim Liberal-Demokrat" itu, beliau memberi contoh, jika seseorang itu berhasrat untuk minum arak, beliau tidak menghalangnya, kerana itu adalah hak kebebasan asasinya untuk minum arak. Tetapi beliau tidak minum arak dan orang lain tidak boleh memaksanya untuk minum arak. Orang lain kena menghormati hak asasinya (tidak minum arak) sebagaimana beliau menghormati hak asasi orang lain untuk minum arak.

Manakala untuk soalan kedua, sekiranya jadi PM, beliau tidak menjawab sama ada mengalang atau memberi kebebasan kepada golongan homoseksual tetapi berkias dengan berkata, bukan tugasnya untuk 'menceroboh' hak asasi individu. Beliau tidak berhasrat untuk menyelongkar setiap isi rumah, memukul mereka (homoseksual) dan memaksa mereka mengaku sebagai homoseks.

Untuk mengetahui pengakuan Anwar mengenai Muslim Liberal-Moderat dan falsafahnya tentang homoseksual, klik artikel ini.

Persoalannya kenapa wartawan Barat lebih gemar bertanyakan jenis Muslim dan sikapnya berkenaan homoseksual, adakah kedua-dua perkara ini masih menjadi tanda tanya dan tidak selesai hingga ke hari ini ?

Barangkali di kalangan wartawan Barat isu pegangan agama Anwar dan homoseksual merupakan dua isu yang sangat penting, kerana sebelum ini (ketika zaman muda), Anwar dikenali sebagai aktivis gerakan Islam dalam PKPIM dan ABIM yang lebih cenderung kepada PAS. Tetapi selepas Anwar dibebaskan dari penjara 2004, beliau berhijrah ke Amerika Syarikat bekerja sebagai pensyarah pelawat dan menjalankan tugas-tugas kerajaan Amerika termasuk di Foundation For The Future, Concil on Foreign Relation (CFR), panelis National Endowment For Democracy (NED), International Crisis Group (ICG) dan sebagainya.

Barangkali juga mengapa soalan homoseksual sering dikaitkan dengan Anwar kerana beliau pernah dijatuhkan hukuman bersalah di mahkamah pada 8 Ogos 2000 kerana meliwat bekas pemandunya Azizan Abu Bakar. Anwar pernah mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 18 April 2003 tetapi beliau telah kalah. Kemudian, Anwar kemuka RAYUAN KEDUA ke MAHKAMAH PERSEKUTUAN pada 10 Mei 2004 dan setelah hakim bersidang menilai semula rekod keputusan terdahulu, hakim telah membebaskannya pada 2 September 2004 berasaskan alasan teknikal.

Untuk memahami kes Anwar berkaitan homoseksual, klik artikel 1 dan artikel 2.

Badan pemikir Anwar laksana Islam Liberal

Badan pemikir Anwar yang paling utama adalah IKD. Dari awal penubuhannya, sejak 1984 (dua tahun selepas Anwar sertai UMNO) IKD dipengerusikan oleh Kamaruddin Jaafar, bekas sahabat baiknya dalam ABIM. Anwar pula merupakan Ahli Pemegang Amanah IKD seumur hidup.

Pada awal penubuhan IKD menjadi tempat rujukan dan kajian teks-teks ucapan Anwar di dalam dan luar negara. Selain itu IKD menjadi tempat latihan kader-kader pelapis penyokong Anwar, misalnya melahirkan Ezam Mohd Nor, dari UIA, dilantik Timbalan Pengarah IKD dan Setiausaha Politik Anwar.

Dengan bantuan sebuah yayasan Nasrani Jerman, Konrad Adenuaer Foundation (KAF), IKD menganjurkan pelbagai seminar dan bengkel berkaitan memartabatkan Islam Madani, dan pengkajian tokoh-tokoh pemikir Islam moderate seperti Jamaluddin Al Afghani, Iqbal dan Ismail Al Faruqi. Begitu juga IKD turut mengkaji pemikiran tokoh Kristian termasuk Jose Rizal.

Pada tahun-tahun 1990-an, IKD menumpukan kepada Projek Amerika yang dinamakan "Projek Dailog Pasifik " melalui kerjasama dengan Asia Pacific Policy Centre (APPC) yang berpengkalan di Amerika Syarikat.

Beberapa orang tokoh ternama kerajaan Amerika sering berulang alik ke Malaysia untuk mengikuti perkembangan lanjut projek itu, antaranya Wiliam Cohen (Setiausaha Pertahanan Amerika) dan Madeline AlBright (Setiausaha Negara). Kedua-duanya adalah tokoh Yahudi yang terkenal dalam pemerintahan Presiden Amerika, Bill Clinton.

Mohamad Sabu dalam pentas-pentas ceramah PAS pada tahun 1998, mengelarkan Anwar pelopor "Islam Amerika" kerana kesungguhannya menganjurkan "Projek Dailog Pasifik" dan keterlibatannya secara serius dalam The International Institute of Islamic Thought (IIIT), sebuah pertubuhan yang diasaskan oleh Anwar dan almarhum Ismail Al Faruqi di Amerika Syarikat.

Selepas Anwar dipecat UMNO 1998, Kamaruddin Jaafar telah meninggalkan IKD dan menyertai PAS. IKD kemudiannya diterajui pula oleh bekas Setiausaha Akhbar Anwar iaitu Khalid Jaafar.(bekas aktivis PKPIM)

Walaupun Anwar tidak lagi menjadi TPM, namun badan Nasrani Jerman, KAF masih lagi meneruskan penajaan kepada IKD. Bermula tahun 2001 hingga sekarang, IKD dan KAF menumpukan kepada "Projek Islam Tanwiri", iaitu satu projek mengagaskan Pluralisme Agama di Malaysia.

IKD dan KAF menerbitkan buku-buku Islam yang diharamkan antaranya buku 'Islam Dan Dasar Pemerintahan', diterbitkan semula pada tahun 2004, hasil karya Ali Abdul Raziq yang pernah diharamkan di Mesir.

Penulis buku itu Ali Abdul Raziq dilucutkan ijazah oleh Majlis Ulama Mesir dan menfatwa penulis dan bukunya sebagai sesat. Di dalam buku itu Ali Raziq merumuskan bahawa Al Quran dan Al-Hadith tidak pernah menganjurkan untuk membina sebuah Negara Islam (daulah Islamiah).

Mustaqeem Mahmood Radhi, salah seorang panel IKD dan bekas kolumnis Suara Keadilan (Akhbar tabloid Parti Keadilan) pula giat menerbitkan buku-buku pluralisme agama. Antaranya bertajuk 'Islam dan Pluralisme' yang ditulis oleh Mustaqeem sendiri. Beliau merupakan bekas pelajar lulusan Jordan dan pemilik syarikat Middle Eastern Graduate Center (MEGC).

Mustaqeem dan syarikatnya MEGC juga ditaja sepenuhnya oleh KAF. Buku ini turut diharamkan oleh KDN, atas nasihat JAKIM kerana bercanggah dengan Islam. Tetapi Anwar Ibrahim mengkritik keputusan KDN dan JAKIM mengharamkan buku-buku 'pluralisme' itu dan menuduh agensi itu sebagai bebal serta buta ilmu.

Kemudiannya IKD, KAF dan Bar Council telah menaja Interfaith Council (IFC) yang menjadi isu hangat kerana berusaha untuk mengikis kedudukan Islam di Malaysia.

Satu laman khusus yang dinamakan Jalan Telawi yang ditaja oleh IKD dan KAF untuk mempromosi buku-buku terbitannya. Antaranya buku "Islam Dan Dasar Pemerintahan" (Ali Abdul Raziq), "Pembentukan Mazhab-Mazhab Awal dan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah" (Fazlur Rahman) dan "Apa Itu Pencerahan" (Immanuel Kant).

Penulis buku Ali Abdul Raziq dan Fazlur Rahman diklasifikasikan sebagai antara pelopor Islam Liberal di dunia. Manakala Immanuel Kant adalah tokoh falsafah Liberalisme yang sama pemikirannya dengan John Locke. Bacaan lanjut klik di sini

Untuk bacaan lebih lanjut lagi, klik artikel 1, artikel 2, artikel 3, artikel 4 dan artikel 5.

Maksud Istilah-istilah popular Anwar

Anwar dalam ucapannya sering mempopularkan beberapa istilah baru antaranya, "Renaissance", "Reformasi" dan "Ketuanan Rakyat".

Istilah-istilah ini lebih dekat dengan istilah Kristian. Menurut Dr Muhammad Legenhausen, Profesor Madya Institut Pendidikan dan Penyelidikan Imam Khomeini di Qom, Iran, "sejarah Kristian telah melalui beberapa episod gelap, seperti kezaliman zaman penjajahan terhadap penganut agama lain dan perang di zaman Reformation. Akibatnya, pada abad ke–18, fahaman liberalisme politik mula muncul". Bacaan lanjut klik di sini

Dalam pidato Syaikh Asy-Syahid Abu Mus'ab Al Al-Zarqawi, beliau mengatakan salah satu ciri alat penjajah Amerika adalah melaungkan "Ketuanan Rakyat" di Iraq. Menurutnya Amerika telah membawa slogan "Demokrasi" yang berpaksikan "Ketuanan Rakyat" sebagai justifikasi untuk menakluk Iraq. Bacaan lanjut klik di sini.

AIDC
22 September 2008
http://aidc-editor.blogspot.com
email : aidceditor@yahoo.com

1 comments:

~ qisti zahra' ~ said...

Salam AIDC dan Pencinta Kebenaran,

Sila ke blog Azizi Hj Abdullah. Ada yang menarik di sana.

Salawat