AIDC BLOG: Rombakan pimpinan negeri : Kenapa Anwar Ibrahim dan Wan Azizah dikrtik ?

Wednesday, January 7, 2009

Rombakan pimpinan negeri : Kenapa Anwar Ibrahim dan Wan Azizah dikrtik ?



Rombakan pimpinan negeri : Kenapa Anwar Ibrahim dan Wan Azizah dikritik ?


Oleh AIDC

Ada sesuatu yang tidak kena dengan rombakan pimpinan negeri hingga memaksa pemimpin de facto menulis memberi penjelasan bertajuk "Rombakan Pimpinan Negeri", pada 25 Disember. Tulisan beliau seperti berikut;


Pimpinan negeri silih berganti. Semua negeri menyaksikan perubahan barisan pimpinan setiap dua atau tiga tahun sekali. Dalam struktur pimpinan parti, pimpinan negeri lebih bersifat penyelaras. Tokoh berpengalaman akan dipindahkan ka Biro Pusat atau bertindak sebagai penasihat. Pimpinan baru berpeluang mendapat pendedahan, memperkenalkan pendakatan baru atau menarik minat kelompok baru.

Kegiatan parti masih tertumpu diperingkat Bahagian dan Pusat dengan barisan pimpinan yang dipilih secara langsung olih anggota parti.

Kita tidak bermaksud meremehkan kritikan dan dengan nada sama tidak sekali-kali melekehkan pengurbanan dan sumbangan rakan-rakan pimpinan yang berjasa di peringkat negeri atau Pusat. Perhatikan bekas Setiausah Agung, Datuk Kamarul Bahrin, kini mengetuai Negeri Sembilan; YB Johari Abdul bekas Pengerusi Perhubungan Negeri Kedah dan kini merupakan ahli MPT; Dr. Mansor Othman dulunya Pengerusi Perhubungan Negeri Pulau Pinang; saudara Nik Mahmud (Kelantan); Abdul Rahman Yusuf dan Muhd M. Amin (kedua-duanya pernah memimpin Terengganu). Malah Selangor pernah dipimpin oleh Azmin Ali, saudara Abdul Rahim dan Dato’ Dr. Zainal.

Ternyata sebahagian teguran yang diluahkan samada secara terbuka atau yang ditujukan kepada saya atau Azizah selaku Presiden telah mengalihkan fakta, samada isu rundingan dengan sebahagian pimpinan negeri, biro politik atau MPT. Umpamanya ada yang menelah bahawa Pengerusi Perhubungan Negeri Perak, saudara Ismail dipecat, walhal beliau kekal sebagai pengarah pilihanraya negeri. Saudara Zakaria (Pahang) pula diserap ka jentera pilihanraya Pusat.

Usaha pimpinan Johor dihargai namun pretasi dari sudut keanggotaan, program dan pilihanraya perlu ditingkatkan. Dr. Zaleha merupakan satu-satunya tokoh wanita yang diamanahkan untuk memimpin di peringkat negeri. Tugas pimpinan lainnya, lama dan baru perlu digembeling untuk merangkul dan memantapkan kekuatan dengan pengawasan rapi olih Timbalan Presiden, Dr. Syed Husin Ali.

Demikianlah harapan kita bersama bagi semua negeri. Janganlah diandaikan tugas penyelaras negeri sebagai sesuatu yang tetap dan tidak harus dirombak.

Secara peribadi saya tidak cenderung untuk menyelaras kegiatan di Sabah dan Sarawak. Malah Wilayah Persekutuan juga mendesak agar saya membantu. Saya kira dgn kedudukan Tan Sri Khalid selaku Menteri Besar Selangor, beliau lebih berupaya melonjakkan kekuatan gelanggang utama parti lebih-lebih lagi dengan jaminan dan dukungan penuh olih bekas pengerusi, saudara Azmin dan YB Tian Chua. Tambahan pula tokoh kanan parti saperti YB Azmin bersama YB Sivarasa dan YB William Leong membantu beliau di Selangor.

Kesediaan saya membantu gerakan di Sabah dan Sarawak telah dijelaskan dalam kenyataan sabelum ini olih Dato’ Salehuddin Hashim (Setiausaha Agung parti). Namun ia tidak dapat meleraikan kegusaran sebahagian yang mengungkit soal suku kaum atau faham kabilah. Saya hargai jaminan mantap dari Jeffry Kitingan (Naib Presiden parti) dan bekas pengerusi perhubungan negeri Sabah, saudara Ansari Abdullah.

Gelanggang parti di Sarawak kini terbuka luas dengan penyertaan ramai anggota dan pimpinan Melayu, Cina, Iban, Bidayuh, Melanau, Kedayan, Orang Ulu, Penan dan lain-lain. Maka penggembelingan tenaga tokoh lama saperti Datin Hafsah, Wan Zainal di samping YB Dominic Ng, YB Gabriel Adit, Baru Bian, Nicholas Bawin, Harrison Ngiau, Abang Zul dan lain-lain perlu didukung.

Cabaran berat, harapan melangit tinggi. Pimpinan dinilai dari sudut iltizam, istiqamah dan semangat tuntas. Ketaatan dan kepatuhan tetap pada perjuangan - samada tatkala didera, dirampas hak, beralih jawatan dan kedudukan. Kekuatan sabenar adalah di bahagian yang kita pimpin - diukur dari segi keanggotaan dan program.

Semuga Allah memberikan kekuatan.

ANWAR IBRAHIM


Respon Anwar ini sebagai mengulas kenyataan media Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail yang disiarkan di blog AnwarIbrahimblog pada 23 Disember 2008.

Dalam kenyataan media yang dibuat pada 19 Disember itu, Presiden PKR telah mengumumkan barisan kepimpinan negeri yang telah diputuskan bersama oleh Ahli Majlis Tertinggi PKR dalam mesyuarat pada 18 Disember di ibu pejabat PKR.

Dalam kenyataan itu Presiden PKR menyatakan senarai nama-nama Pengerusi Perhubungan Negeri yang diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi :

1. Pahang - Dato’ Fauzi Abd Rahman (muka baru)
2. Pulau Pinang - YB Dato’ Zahrain Mohamed Hashim (muka lama)
3. Negeri Sembilan - YB Dato’ Kamarul Baharin Abbas (muka lama)
4. Selangor/Wilayah Persekutuan- YB Tan Sri Dato’ Abd Khalid bin Ibrahim (muka baru)
5. Sabah/Sarawak - YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim (muka baru)
6. Kedah - YB Tuan Haji Ahmad bin Kassim (muka baru)
7. Kelantan - YB Ab Aziz Ab Kadir (muka baru)
8. Perlis - Encik Johari bin Shafie (muka baru)
9. Melaka - Encik Khalid Jaafar (muka baru)
10. Johor - Dr. Zaliha Mustaffa (muka lama)
11. Perak - Encik Osman Abdul Rahman (muka baru)
12. Terengganu - Encik Wan Rahim bin Wan Hamzah (muka baru)

Selepas 8 hari pelantikan, Anwar pula menulis, "Kita tidak bermaksud meremehkan kritikan dan dengan nada sama tidak sekali-kali melekehkan pengurbanan dan sumbangan rakan-rakan pimpinan yang berjasa di peringkat negeri atau Pusat" yang membawa maksud wujudnya kritikan atau suara sumbang terhadap pelantikan itu.

Malah, Anwar sendiri mengakui, kritikan itu dibuat secara secara terbuka dan ditujukan kepadanya atau Azizah selaku Presiden.

Persoalannya kenapa kritikan itu ditujukan kepada dirinya, sedangkan yang membuat kenyataan media itu adalah Presiden PKR, hasil dari mesyuarat bersama Ahli Majlis Tertinggi PKR ?

Sepatutnya sasaran kritikan hanya ditujukan kepada Presiden PKR dan Ahli Majlis Tertinggi PKR lepas, kerana mereka yang didakwa oleh Presiden PKR telah membuat keputusan rombakan tersebut.

Kecuali hanya Anwar Ibrahim (Pemimpin de facto PKR) dengan isterinya Wan Azizah (Presiden PKR) yang membuat keputusan secara autokratik, maka sewajarnya mereka berdua dipersalahkan.

Bagaimana pula peranan Syed Husin Ali, Timbalan Presiden, Azmin Ali, Naib Presiden dan Salahuddin Hashim, Setiausaha Agong, Tian Chua, Ketua Penerangan apakah mereka sebagai boneka sehingga terlepas dari kritikan ?


De facto, autokratik dan diktator

Bermakna jika kritikan hanya ditumpukan kepada Anwar dan Azizah adakah membenarkan dakwaan pihak-pihak tertentu yang mengatakan semua keputusan telah dibuat oleh Anwar dan isterinya dan Ahli Majlis Tertinggi hanya sebagai 'rubber stamp' untuk mengesahkan keputusan yang telah dibuat ?

Kalau ini benar, bermakna cakap Anwar sebelum ini umpama meludah ke langit, beliau menuduh pihak lain autokratik dan diktator, tetapi dirinya lah penganut sebenar autokratik dan diktator!

Kalau tidak benar, kenapakah Anwar sendiri terpaksa membela diri dengan menulis di blognya, menjelaskan rasional rombakan kepimpinan negeri itu ?. Sepatutnya penjelasan itu dibuat sendiri oleh Presiden PKR atau Setiausaha Agong parti. Kenapa Anwar pula yang perlu mengambil alih peranan mereka ?

Apakah ini bermaksud beliau sebagai pemimpin de facto boleh mengatasi semua keputusan-keputusan yang dibuat oleh Presiden PKR atau Ahli Majlis Tertinggi ?

Kalau ini benar, bermakna hanya satu orang yang menjadi pemimpin PKR dan PKR sendiri tidak mempunyai sistem demokrasi yang benar-benar tulin ?

Anwar sendiri diupah Amerika menjadi penceramah 'demokrasi', tetapi dalam pentadbiran partinya sendiri amat miskin nilai demokrasi!


Kritikan dari Perak dan Pahang ?

Anwar menulis kritikan yang ditujukan kepadanya atau Azizah selaku Presiden adalah usaha mengalihkan fakta sebenar seolah-olah keputusan itu dibuat tanpa berunding dengan pimpinan negeri, biro politik atau MPT. Jelas Anwar, "umpamanya ada yang menelah bahawa Pengerusi Perhubungan Negeri Perak, saudara Ismail dipecat, walhal beliau kekal sebagai pengarah pilihanraya negeri. Saudara Zakaria (Pahang) pula diserap ka jentera pilihanraya Pusat"

Anwar menjelaskan Hj Ismail Yusof bukan dipecat tetapi dipindahkan ke jawatan baru Pengarah Pilihanraya Negeri.

Persoalannya kenapa sampai timbul isu 'pecat memecat' di Perak ? Kenapa pula tempat Ismail sebagai pengerusi negeri ditukar kepada Osman Abdul Rahman ?

Kata Anwar, "tokoh berpengalaman akan dipindahkan ka Biro Pusat atau bertindak sebagai penasihat Pimpinan baru berpeluang mendapat pendedahan, memperkenalkan pendakatan baru atau menarik minat kelompok baru"

Tetapi dalam kes Ismail, beliau tidak dipindahkan ke Biro Pusat atau bertindak sebagai penasihat, sebaliknya beliau dipindahkan ke Pengarah Pilihanraya Negeri. Dalam bacaan politik perpindahan jawatan dalam negeri itu dianggap turun pangkat.

Walaupun Anwar mengatakan dalam amalan PKR kebiasaan tokoh yang berpengalaman akan dipindahkan ke pusat atau dilantik sebagai penasihat supaya tokoh baru dapat diberi peluang, tetapi dalam kes Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor menunjukkan amalan sebaliknya.

Pulau Pinang diterajui oleh Dato’ Zahrain Mohamed Hashim. Begitu juga Negeri Sembilan masih diterajui oleh Dato’ Kamarul Baharin Abbas, walhal kedua-duanya muka lama yang dikenali sebagai sahabat terdekat Anwar.

Begitu juga di Selangor, pengerusi asal, Dato’ Dr. Zainal digugurkan dan diganti dengan Dato’ Abd Khalid bin Ibrahim. Malah Dato Khalid diberi tugas Pengerusi perhubungan Wilayah Persekutuan, seolah-olah tiada tokoh yang terhebat di Wilayah kecuali hanya Dato Khalid sahaja.

Bayangkan betapa hebatnya Dato Khalid, sebagai Menteri Besar Selangor, ADUN Ijok, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Pengerusi Negeri Selangor dan Pengerusi Wilayah Persekutuan.

Kenapa tidak Azmin Ali di Wilayah Persekutuan dan Dato Khalid di Selangor, sedangkan sebelum ini Anwar telah lantik Azmin sebagai Pengerusi tidak rasmi di Selangor terutamanya dalam pengurusan tempat-tempat strategik yang dianggap boleh menjana kewangan ?

Di Johor pula Dr Zaleha bukanlah muka baru. Sebelum ini pernah menjadi pengerusi Johor, kemudian diganti dengan Abd Razak Ahmad dan diganti sekali lagi oleh Dr Zaleha.

Kes di Pahang juga unik. Zakaria Hamid yang dianggap tokoh berjasa di PKR secara tiba-tiba diganti dengan tokoh bekas UMNO yang baru setahun jagung menyertai PKR.

Pada tahun 1998, ketika Anwar dipecat, Dato Fauzi Abd Rahman bersama-sama kerajaan mempertahankan hujah rasional kenapa Anwar perlu disingkirkan dari UMNO. Ketika itu juga Zakaria Hamid mempertahankan Anwar dan bersedia bersama-sama perjuangan 'reformasi' Anwar.

Pada 1999, ketika Parti Keadilan ditubuhkan, Zakaria bersama-sama mengembangkan Parti Keadilan di Pahang, sebaliknya Dato Fauzi memperlekehkan Keadilan dan masih kekal dalam UMNO.

Pada 2004, ketika Parti Keadilan bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia menjadi PKR, Zakaria juga menjadi tulang belakang di Pahang, ketika itu Dato Fauzi masih cuci tangan dan tidak membantu PKR Pahang.

Pada 2008, ketika PKR mula menguasai PR dan ura-ura Anwar bakal PM pada 16 September 2008, Dato Fauzi mula muncul dibawa masuk ke dalam PKR oleh Zakaria. Ketika itulah baru kedengaran bunyi-bunyi sokongan dan taat setia kepada Anwar, selepas 10 tahun berlalu.

Dan sebagai ganjaran kesetiaan Zakaria, jawatannya telah digugurkan dan diganti dengan tokoh yang baru menyertai menyertai PKR.

Kalau begini amalannya dalam PKR, tokoh-tokoh lama yang telah berjuang sejak 1998, akan mengalami nasib malang, kerana jasa mereka akan dilupakan setelah munculnya tokoh-tokoh baru menyertai PKR dan lebih lantang mengipas Anwar.


Politik anak beranak di Melaka ?

Pelantikan Khalid Jaafar di Melaka, bukanlah mengejutkan. Khalid dan Azmin adalah pegawai-pegawai Anwar warisan dari UMNO lagi. Ketika itu Khalid adalah bekas Setiausaha Akhbar dan Azmin adalah Setiausaha Sulit.

Sebelum ini Khalid Jaafar pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan Parti Keadilan, tetapi tidak disenangi hingga jawatannya terpaksa diganti dengan orang lain, akhirnya kekal sebagai Pengarah Institut Kajian Dasar (IKD).

Bermakna, meskipun cara berpolitik Khalid Jaafar tidak disukai oleh ramai pihak, tetapi beliau masih disukai oleh Anwar hingga menerajui badan pemikir Anwar, IKD.

Menurut Anwar, Khalid Jaafar mempunyai fikiran bagus, sebab itu jawatan paling sesuai adalah Pengarah badan pemikir Anwar. Hingga ada yang berkata, untuk mengenali pemikiran Anwar, maka kenalilah pemikiran Khalid Jaafar.

Sebagai membuktikan kesayangan Anwar kepada Khalid Jaafar, beliau telah dibawa bersama oleh Anwar ketika melawat Paul Wolfowitz di Pentagon pada 2005. Hanya Khalid Jaafar dan Azmin Ali dibawa Anwar memasuki pusat pentadbiran CIA itu !

Sebelum Khalid Jaafar menjadi Pengerusi Melaka, tempatnya disandang oleh kakaknya Zainon Jaafar. Bermakna masih kekal dalam lingkungan sama, politik kepimpinan anak beranak.


Kenapa Anwar dilantik penyelaras Sabah dan Sarawak ?

Kes Sabah dan Sarawak amat menarik. Mula-mula Anwar menulis begini, "secara peribadi saya tidak cenderung untuk menyelaras kegiatan di Sabah dan Sarawak". Bunyi ayat seperti tidak sudi menjadi penyelaras Sabah dan Sarawak.

Kemudian Anwar menulis lagi, "kesediaan saya membantu gerakan di Sabah dan Sarawak telah dijelaskan dalam kenyataan sabelum ini olih Dato’ Salehuddin Hashim (Setiausaha Agung parti)"

Bermakna Anwar telah menyatakan kesediaannya menjadi penyeleras Sabah dan Sarawak dan rasional beliau memegang jawatan kedua-dua negeri itu telah dijelaskan secara terperinci oleh Setiausaha Agong PKR.

Setiausaha Agung terpaksa memberi perjelasan panjang lebar kerana terdapat ketidakpuasan hati sesetengah pihak kenapa Anwar perlu memegang kedua-dua jawatan sekaligus di Sabah dan Sarawak. Kenapa Sabah dan Sarawak, kenapa tidak negeri-negeri lain atau kenapa tidak Anwar tidak memegang apa-apa jawatan kecuali Ketua de facto sahaja ?

Anwar sendiri mengakui bukan setakat Sabah dan Sarawak sahaja memerlukan bantuannya, "malah Wilayah Persekutuan juga mendesak agar saya membantu", tulisnya.

Barangkali benar kata Anwar, bukan setakat Wilayah Persekutuan memerlukan bantuannya, malah Kedah, Kelantan dan Terengganu juga perlukan bantuannya kerana Johari Abdul (Kedah), Nik Mahmud Nik Hassan (Kedah) terpaksa dipindah ke pusat untuk mengurangkan krisis dalaman di negeri. Begitu juga kes Terengganu, selain daripada Abdul Rahman Yusof (anak tempatan dan pejuang asal keadilan yang telah dipinggirkan), negeri itu terpaksa dihantar tokoh dari negeri lain menjadi pengerusinya, termasuk Mustafa Kamil Ayub dari Perak.

Namun penjelasan Setiausaha Agung PKR itu ditulis Anwar kurang menyakinkan. Tulis Anwar, "namun ia tidak dapat meleraikan kegusaran sebahagian yang mengungkit soal suku kaum atau faham kabilah. Saya hargai jaminan mantap dari Jeffry Kitingan (Naib Presiden parti) dan bekas pengerusi perhubungan negeri Sabah, saudara Ansari Abdullah"

Dalam kes Sarawak Anwar pula menulis, "gelanggang parti di Sarawak kini terbuka luas dengan penyertaan ramai anggota dan pimpinan Melayu, Cina, Iban, Bidayuh, Melanau, Kedayan, Orang Ulu, Penan dan lain-lain. Maka penggembelingan tenaga tokoh lama saperti Datin Hafsah, Wan Zainal di samping YB Dominic Ng, YB Gabriel Adit, Baru Bian, Nicholas Bawin, Harrison Ngiau, Abang Zul dan lain-lain perlu didukung"

Adakah penjelasn Anwar ini membawa maksud tokoh-tokoh tempatan baik di Sabah atau Sarawak gagal memimpin negerinya sendiri ?

Seandainya PKR percaya kepada tokoh tempatan, kenapa tidak dikekalkan Ansari Abdullah sebagai Pengerusi Sabah dan Dominic Ng sebagai Pengerusi Sarawak serta kenapakah perlu dilantik orang Semenanjung menjadi penyelaras Sabah dan Sarawak ?


AIDC
25 Disember

0 comments: