DAMANSARA : Masyarakat negara ini patut mengelakkan budaya homoseksual yang diimport dari Barat, kata bekas Timbalan Presiden Keadilan, Dr. Chandra Muzaffar.
Beliau yang juga bekas Profesor di Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya berkata, budaya yang dihalalkan ini di Barat seperti homoseksual dan lesbian, tidak wajar ditiru oleh masyarakat negara ini, walaupun ada segelintir yang mudah terikut-ikut.
“Sesetengah individu dalam masyarakat kita menganggap sesuatu yang datang dari Barat termasuk budaya homoseksual dan lesbian sebagai baik dan mulia. Kita terlalu mengagung-agung dan mendewa-dewakan budaya mereka”.
“Mungkin juga kerana nilai-nilai yang sepatutnya menjadi pegangan kita semakin longgar dan dangkal,” katanya kepada Akhbar Mahasiswa dalam satu temu bual di pejabatnya, baru-baru ini”.
Dr. Chandra berkata, masyarakat Barat hari ini sudah sampai ke peringkat menginstitusikan perkahwinan sejenis.
“Mereka mendirikan rumah tangga walaupun daripada jantina yang sama. Bermakna sama gender. Lelaki-lelaki, perempuan-perempuan. Ada beberapa negara yang menghalalkan dari segi undang-undang,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berpendapat unsur-unsur luar juga banyak yang positif yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya.
“Saya tidak menyalahkan pengaruh luar pada keseluruhannya. Ada unsur-unsur luar yang bagus dan harus kita terima iaitu unsur yang boleh memperbaiki masyarakat kita. Tidak ada salahnya kita belajar daripada dunia luar tentang aspek-aspek industri, teknologi dan seumpamanya,” katanya.
Menyentuh mengenai politik kepartian, Dr. Chandra berkata beliau kini sudah bersara daripada politik kepartian, bagi memberi tumpuan kepada isu antarabangsa yang mempengaruhi kehidupan semua orang.
“Saya terlibat secara langsung mulai 4 April 1999 iaitu ketika penubuhan Parti Keadilan Nasional selama dua tahun setengah. Dan selepas itu terus memutuskan hubungan dengan politik kepartian.
“Penglibatan saya dalam politik kepartian kini hanya sebagai penulis atau pengkaji bidang sains politik iaitu bidang pengkhususan saya,” katanya.
Dr. Chandra kini adalah Presiden Pergerakan Antarabangsa Keadilan Dunia (JUST) iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam membincangkan keadilan sosial dan maruah manusia dalam politik global.
Bekas Pensyarah Sains Politik di Universiti Sains Malaysia (USM) ini adalah seorang yang prolifik. Menulis dan mengedit lebih 18 buah buku dan menulis lebih 500 rencana, khususnya mengenai politik, hubungan etnik dan agama.
AIDC memetik Akhbar Mahasiswa, keluaran Oktober 2004 (Bil. 19)
0 comments:
Post a Comment