Jakarta, PAB-Online, 30 Agos 2008 : Terdedahnya campurtangan badan Lembaga dana asing dalam pembentukan Undang-Undang Minyak dan Gas (Migas) telah memudaratkan rakyat membuktikan penjajahan bentuk baru (neokolonialisme) wujud di negara ini .
Kerana itu, kerajaan dan DPR (Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia ) harus membatalkan segera perjanjian undang-undang tersebut. Jika tidak, Indonesia akan jatuh ke lembah kerjasama “penjajahan” yang lebih serius dan akan tertinggal ke belakang dalam era globalisasi.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Gabungan Anti-Hutang, Dani Setiawan dan Pengarah Yayasan Lembaga Bantuan Hukum Indonesia (YLBHI), Patra M Zein, ketika dihubungi secara berasingan di Jakarta, Sabtu (30/8).
“DPR mesti bertindak segera. Minyak dan gas bukan hanya kerana perbezaan harga, tetapi juga berkait dengan melanggar peraturan perlembagaan secara sistematik. Para korporat ingin menjadikan Indonesia di bawah tekanan pihak asing secara terus menerus,” kata Dani.
Dia menambah, Jawatankuasa Khas Penyelidikan DPR juga harus memanggil segera kesemua pihak Lembaga dana asing Amerika Syarikat iaitu USAID (United States Agency for International Development) , Bank Dunia (World Bank), dan Bank Pembangunan Asia (Asian Development Bank-ADB).
Ketiga lembaga dana asing itu telah campur tangan dalam bidang ekonomi, sehingga sektor minyak dan gas menyebabkan rakyat semakin sengsara.
Konspirasi jahat lembaga dana asing itu bermula pada 1998–1999 dengan menggunakan label reformasi di sektor tenaga.
USAID dan ADB berkerjasama untuk membuat draf undang-undang Minyak dan Gas, sedangkan Bank Dunia memberikan pinjaman untuk sektor reformasi tenaga sahaja, serta menguatkuasakan semua peraturan liberalisasi yang menguntungkan pihak mereka.
Dani menjelaskan, dalam dokumen USAID yang boleh dilihat dilaman rasminya, menyebutkan secara jelas bagaimana peranan USAID sebagai dana bilateral utama dan Asian Development Bank (ADB) yang memberikan pinjaman untuk melakukan "reformasi sektor tenaga" di Indonesia.
Peranannya tidak setakat membuat undang-undang Minyak dan Gas, USAID, ADB dan Bank Dunia juga turut serta menyediakan cadangan harga tenaga dan menghapuskan subsidi serta menyediakan analisis teknikal unjuran ekonomi mikro dan makro sektor tenaga itu.
“Dokumen tersebut dengan jelas menyebutkan bahawa USAID helped draft new oil and gas policy legislation submitted to Parliament in October 2000, maka jelaslah semakin besar pengaruh asing khususnya USAID dalam pembuatan undang-undang Minyak dan Gas bernombor 22/2001,” katanya.
Menurutnya, liberalisasi Minyak dan Gas juga telah dirancang oleh Bank Dunia sejak badan itu melakukan penyelidikan minyak dan gas di Indonesia pada Jun 2000. Penyelidikan tersebut mencadangkan agar draf Undang-undang Minyak dan Gas yang dikemukakan pada parlimen tahun 1999 hendaklah berlandaskan semangat pertandingan bebas, berorientasi pasaran bebas, menghilangkan campurtangan kerajaan, serta konsisten menurut peraturan-peraturan antarabangsa.
Kemudian dilanjutkan lagi pada program energy and mining development, Loan No. 4712-IND tahun 2003 melalui pinjaman hutang luar negara sebanyak US$ 141 juta untuk "Java Bali Power Sector Restructuring and Strengthening Project" serta mendorong kerajaan menghilangkan subsidi BBM (bahan bakar minyak) secara berperingkat-peringkat.
“Tujuan projek yang akan berakhir pada bulan Disember 2008 ini, adalah untuk mendorong kerajaan menghilangkan subsidi BBM serta membangun tapak sektor tenaga secara komersil,” katanya.
Penghapusan subsidi mengakibatkan naiknya harga keperluan asas yang ditanggung oleh masyarakat, sedangkan projek gas juga ditandatangani dengan pinjaman Bank Dunia akan menimbulkan kesan kenaikan harga gas untuk sektor rumah tangga.
Tambahan pula rakyat miskin Indonesia juga harus menanggung beban hutang yang perlu dibayar kembali. Di samping itu, pasaran bebas Minyak dan Gas akan memberikan keuntungan kepada penguasaha-pengusaha asing multinasional yang bergerak di sektor itu.
Patra Zein menjelaskan, pada dasarnya, semua undang-undang di sektor ekonomi tidak memperkasakan Undang-Undang Dasar Indonesia 1945. Undang-undang itu adalah Undang-undang Minyak dan Gas, Undang-undang Tenaga Elektrik, Undang-undang Sumber Air dan Undang-undang Hutan Lindungan.
Undang-undang Minyak dan Gas (yang dibuat oleh lembaga dana asing) bertentangan dengan Undang-undang 1945, kerana menggunakan peraturan kewangan antarabangsa.
“Itu semua memperlihatkan kaedah bagaimana pasaran bebas dilaksanakan secara sistematik. Keuntungan yang seharusnya untuk negara tidak ada sama sekali,” katanya.
Dia menegaskan dengan terdedahnya campur tangan asing ini seharusnya menyedarkan kerajaan dan Dewan Perwakilan Rakyat untuk tidak tunduk kepada peraturan asing.
Penolakan terhadap pengaruh asing tersebut bukan bererti negara ini anti-asing, tetapi untuk melihat siapa yang lebih untung, apakah rakyat Indonesia atau segelintir pemilik modal asing yang berkerjasama dengan pemilik modal dalam negeri.
“Kita bukan anti-asing, tapi persoalannya siapa yang lebih untung dari kerjasama seperti itu. Vietnam dan China tidak anti-asing, tapi kedua negara itu mengambil keuntungan lebih banyak untuk rakyat dalam negara berbanding dengan asing,” katanya.
Nota : AIDC terjemah artikel PAB-Online, 30 Agos 2008. Sumber asal klik di sini
Sila klik untuk baca selanjutnya...