AIDC BLOG: 2009-02-01

Thursday, February 5, 2009

Biodata Anwar Ibrahim versi Amerika Syarikat



Biodata Anwar Ibrahim versi Amerika Syarikat


Anwar Ibrahim telah dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO pada 1993 dan dilantik Timbalan Perdana Menteri sementara pada masa yang sama berkhidmat sebagai Menteri Kewangan.

Dia juga mempengerusikan Asean-Vietnam Study Group (Kumpulan Kajian Asean-Vietnam), organisasi menyediakan laporan 'Shared Destiny: Southeast Asia in the 21st Century' yang mencadangkan kemasukan Vietnam ke dalam Asean.

Dia dipilih sebagai Chairman of the Development Committee of the IMF-World Bank (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan IMF-Bank Dunia) untuk mesyuarat tahunan 1997.


Anwar Ibrahim (Menteri Kewangan Malaysia) dan Michel Camdessus (Pengarah Urusan IMF -The International Monetary Fund) pada tahun 1990-an. Camdessus yang memilih Anwar menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan IMF-Bank Dunia 1997.

Anwar Ibrahim (Panel Pemikir NED - Yayasan Demokrasi Amerika) bersama Michel Camdessus (bekas Pengerah Urusan IMF), no 2 dari kanan pada 2007, dalam majlis anjuran IMF di Florence, Italy. Anwar menjadi ahli forum dalam Dailog antara agama yang lebih banyak menyokong hujah-hujah Camdessus, bekas Pengerusi Persatuan Kristian

Anwar secara bersama dengan Senator William Cohen mempengerusikan Pacific Dialogue atau Dialog Pasifik (1994-1997). Kumpulan tersebut terlibat dalam mempertimbangkan cabaran yang dihadapi rantau Asia Pasifik pada abad ke-21 dan bagaimana ia dapat mengekalkan keamanan dan kemakmuran.


Anwar Ibrahim (Timbalan Perdana Menteri) dan William Cohen (Setiausaha Pertahanan Amerika) pada tahun 1990-an

Anwar Ibrahim (pensyarah pelawat universiti Amerika) dan William Cohen (The Cohen Group) pada tahun 2005, di Hotel Washington, Amerika.


Persidangan Dialog Pasifik tersebut berjaya dalam mempopularkan “Pacific Charter” atau piagam Pasifik yang memberikan gambaran kepada dunia bahawa tiada berlakunya pertembungan antara tamadun, tetapi lebih kepada "feast of civilizations", yang disifatkan saling bergantungan, demokrasi, penyelesaian kerjasama dan kebangkitan gelombang pembangunan ekonomi yang akan menaikkan semua negara.

Pada 1996, Anwar Ibrahim merupakan penyumbang utama dalam mempromosikan kefahaman antara agama (inter-religious understanding) yang menyebabkan beliau telah diberikan penghormatan oleh Georgetown University, Washington DC sebagai Presidential Medal (Pingat Presiden) dan Doktor Kehormat oleh Ateneo de Manila University, di Filipina.

Universiti Georgetown, sebuah universiti Kristian di Amerika telah memberi anugerah Pingat Presiden kepada Anwar Ibrahim pada tahun 1996 kerana sumbangannya meningkatkan kefahaman antara agama (pluralisme). Pada tahun 2006, Anwar kembali ke universiti ini menjadi pensyarah pelawat di Pusat Persefahaman Muslim dan Kristian, Universiti Georgetown.


The Ateneo de Manila University sebuah universiti Kristian di Filipina beri anugerah Doktor Kehormat kepada Anwar Ibrahim pada tahun 1996 kerana sumbangannya meningkatkan kefahaman antara agama (pluralisme) di Malaysia. Di universiti ini juga merupakan pusat penaja Anwar, Konrad Adeneuar Foundation peringkat Asia Tenggara.


Pada 2 September 1998, Anwar telah dipecat daripada kerajaan dan kemudiannya dilucutkan keahlian partinya dan dipenjarakan pada 20 September di atas tuduhan yang direka-reka. Dia mendapat semula kebebasannya pada 2 September 2004 selepas dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Sekarang dia merupakan ahli Executive Scientific Committee of the Fondazione Laboratorio Mediterraneo (FLM) (Jawatankuasa Eksekutif Saintifik Fondazione Laboratorio Mediterraneo) di Naples. Inisiatif terbesar yang dilancarkan adalah Mediterranean, Europe and Islam: Actors in Dialogue (Mediteranean, Eropah dan Islam : Pelakon dalam Dialog)


AIDC menterjemah biodata Anwar Ibrahim yang disediakan oleh The Society of Publisher in Asia, 2008. Artikel asal klik di sini


Sila klik untuk baca selanjutnya...

Anwar gagal Pengerusi Anti-Korupsi


Anwar gagal Pengerusi Anti-Korupsi


Oleh Yahaya Ismail

Cuba tanya kepada Anwar apakah tindakan yang maha besar dan maha penting yang pernah ia lakukan sebagai pengerusi jawatankuasa anti korupsi dan penyelewengan yang dilantik oleh kabinet? Bila dipecat dari kabinet dan parti dia berkokok mengatakan kerajaan BN korup, mengamalkan nepotisme dan kronisme dan koliusme dan asthma-asma yang lain. Baiklah kita akur dengan kenyataannya. Memang terdapat korupsi kelas gajah dan juga kelas ikan puyu. Memang terdapat amalan kronisme dan nepotisme. Memang ada pilih kasih dan pilih bulu.

Okay apakah yang Anwar lakukan sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut untuk mengurangkan segala kejelekan dan kebobrokan amalan tersebut? Dalam membisu sejuta bahasa? Tidak terdengar satu kes besar mengenai korupsi yang dikemukakan Anwar untuk dihadapkan ke mahkamah. Mengapa jadi begitu? Tak ada kes bertaraf ikan paus ke?

Memang ada beberapa menyalahgunakan kuasa yang dilakukan oleh beberapa orang menteri kabinet baik dalam pemberian saham kepada kaum keluarga dan juga sahabat handai dan juga pemberian projek gergasi yang bernilai beratus juta ringgit kepada pihak tertentu tanpa melalui tender. Sebagai pengerusi jawatankuasa anti korupsi dan penyelewengan tentulah Anwar mempunyai berbagai maklumat dan bukti yang kukuh untuk mengheretkan mereka yang terlibat maklumat dan bukti yang kukuh untuk mengheretkan mereka terlibat ke mahkamah. Tapi mengapa tidak ada satu pun kes yang penting dan besar didedahkan oleh Anwar?

Misalnya adiknya sendiri pernah mendapat saham lebih dari satu juta dari MITI tetapi tidak ada pun siasatan terperinci mengenainya. Apakah Anwar juga mempunyai kepentingan diri bila mana dia tidak bertindak untuk mendedahkan perbuatan nepotisme dan kronisme itu? Apakah kerana adiknya sendiri mendapat faedah dari pemberian saham maka tidak timbul lagi soal kronisme dan nepotisme?

Pelek tetapi benar hanya bila hilang kuasa dan disingkir dari UMNO dan kabinet baru timbul ilham kepada pejuang Islam ini untuk mendedahkan korupsi, penyelewengan, kronisme dan nepotisme dalam kepimpinan Mahathir. Apakah sewaktu dalam kabinet dan UMNO dia tidak bebas menyuarakan rintihan batinnya? Atau dia juga tumpang sekaki dalam berbagai amalan nepotisme dan kronisme sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Seorang pemimpin yang benar-benar berpegang dengan prinsip agama, yang berlagak sebagai pendakwah, yang mengangkat martabat akhlak yang mulia dan nawaitu yang tidak pernah gelong maka ia mestilah berani mengambil tindakan demi kesucian agama dan kebaikan ummah.

Sewaktu dalam kabinet dia boleh bertindak tegas untuk mengurangkan perbuatan-perbuatan rasuah, nepotisme dan kronisme kalau dia mahu dan kalau dia berani. Rupa-rupanya Anwar hanya berani bercakap mengenai korupsi, kronisme dan nepotisme. Bercakap lagi bercakap untuk mengkhayalkan rakyat bahawa dia, Anwar bin Ibrahim, sudah pun bercakap mengenai maudhuk-maudhuk yang digemarinya – korupsi, nepotisme dan kronisme. Hanya bercakap. Nokhtah. Tindakan? Tak ada. Nahi, nahi. Elek. Nol.

Yang sedihnya selepas hilang kuasa baru dia mendedahkan tentang kediaman Perdana Menteri di Putrajaya yang bernilai RM200 juta walaupun, menurut Fauzi Abdul Rahman, timbalan menteri, salah seorang orang kuatnya, berkata harga sebenarnya cuma kira-kira RM17 juta. Bukan RM200 juta seperti didakwa oleh Anwar. Tapi Anwar tidak menjelaskan lebih lanjut lagi bahawa kediaman Perdana Menteri itu merupakan sebuah kompleks pejabat Perdana Menteri dengan segala kelengkapan yang lengkap dengan kediaman rasmi Perdana Menteri. Perlulah difahami bahawa ini kompleks pejabat dan kediaman Perdana Menteri.

Pada masa ini Mahathir yang menjadi Perdana Menteri dan beliau akan menggunakan kompleks tersebut kelak. Sekiranya dia berundur dari politik atau pun orang lain menggantinya maka setiap Perdana Menteri mempunyai hak tinggal di sana. Dengan kata lain ia bukan hak peribadi Mahathir. Malah kalau Anwar tidak dipecat dari kabinet dan parti maka kediaman yang indah itu adalah juga untuknya.

Anwar juga cuba mencemarkan imej Perdana Menteri dengan berkata bahawa Mahathir hendak membeli sebuah kapal terbang yang berharga RM200 juta untuk kegunaannya. Mahathir menjelaskan bahawa kerajaan terpaksa menyewa kapal terbang kepunyaan taikun-taikun tertentu dan juga MAS untuk kegunaan Perdana Menteri dan lawatan-lawatan beliau ke luar negara dan juga untuk kegunaan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Malah kerajaan juga terpaksa menyewa kapal terbang orang lain bila Anwar membuat lawatan ke luar negara dan juga dalam negara.

Anwar sendiri tahu tentang hasrat pembelian kapal terbang jet tersebut kerana dia sendiri yang meluluskan perbelanjaannya. Oleh itu mengapakah dia menuding jari menyalahkan Mahahir dalam perkara ini bila mana Anwar sendiri terlibat dalam kelulusan pembelian dan kewangannya?

Sebenarnya Anwar tidak berani bertindak menghadapkan mana-mana tokoh politik dan kerajaan ke mahkamah atas tuduhan menyalahgunaan kuasa dan korupsi. Alasannya? Dia sendiri menyalahgunakan kuasa sebagai Menteri Kewangan di mana dia dengan sewenang-wenangnya memberi saham yang diperuntukkan kepada Bumiputera yang bernilai berbilion ringgit kepada ketua-ketua bahagian UMNO tertentu, sahabat handainya dan kroni-kroninya.

Selain dari saham dia juga memberikan projek2 yang bernilai beratus-ratus juta ringgit setiap satu kepada orang-orang yang mengampunya. Ada antara kroninya mendapat lesen stockbroking. Oleh itu dia tidak boleh mendabik dada dan menganggap dirinya lebih bersih dari Mahathir ataupun mana-mana menteri dan pemimpin politik dalam UMNO dan BN.

Mereka yang cerdik akan bertanya kalau dulu ada kuasa dan menjadi pengerusi jawatankuasa kabinet anti korupsi dan penyelewengan pun dia hanya banyak bercakap dan bercakap dan bercakap, tanpa tindakan, bagaimanakah dia hendak melaksanakan mimpi reformasinya bila kuasa pocik? Apakah reformasi cuma bersemangatkan kata-kata kosong untuk meyakinkan rakyat bahawa dia, walaupun tanpa kuasa, boleh melaksanakan reformasi!

Apakah dia mempunyai kuasa sakti yang boleh menggerakkan reformasi sosial, politik dan ekonomi walaupun terkeluar dari kabinet? Lazimnya bila seorang pemimpin hilang kuasa politik, terutama sekali kalau dia menjadi seorang menteri, maka janganlah mengharapkan dia boleh melaksanakan berbagai reformasi dalam masyarakat. Kalau reformasi dalam angan-angan itu memang boleh dan memang banyak berlaku termasuklah apa yang dimimpikan Anwar itu.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dia boleh memainkan peranan penting dalam reformasi untuk membaiki imej negara, memberi kesejahteraan yang lebih baik kepada rakyat sekiranya dia membantu melaksanakan dasar dan idea-idea reformasi yang dicetuskan Perdana Menteri. Janganlah nak melebihi tauke atau melawan tauke. Insaflah bahawa dia hanya timbalan dan bukan bos nombor wahid. Tidak siapapun yang boleh menerima sikap seorang timbalan yang cuba menggerhanai ketuanya. Lihat saja sikap dan kedudukan orang nombor dua dalam kerajaan-kerajaan asing. Al-Gore, Naib Presiden Amerika, tidak terlalu menonjol untuk menggerhanai Clinton.

Boleh dikatakan kebanyakan orang nombor dua dalam kerajaan tidak mahu melebihi ketua masing-masing kerana itu adalah adat dan tradisi pemimpin yang menghargai ketua mereka. Sama juga dengan sahabat karib Anwar, Estrada dan Habibie. Waktu mereka menjadi Naib Presiden banyak orang kurang mengenali mereka dan mereka juga tidak menonjolkan diri hingga menggerhanai ketua masing-masing. Tapi Anwar lain dari orang lain. Dia merasakan dirinya sama taraf dengan Perdana Menteri walaupun sedar dia tidak mampu menandingi kebijaksanaan dan keintelektualan Mahathir.

Kalau dia benar-benar jujur untuk melaksanakan berbagai reformasi yang bermain dalam kepalanya besar kemungkinan Mahathir akan menerima idea-ideanya yang baik itu. Bukankah dia anak mas Mahathir? Mengapakah Mahathir sanggup melantiknya sebagai pengerusi jawatankuasa anti rasuah dan penyelewengan sekiranya Mahathir tidak yakin dengan kemampuannya? Ini bukan sebarang jawatankuasa. Ia ada oomph, ada kesan mendalam kepada kerajaan dan juga kepimpinan parti. Bahawa Mahathir sanggup menubuhkan jawatankuasa tersebut membuktikan kepada rakyat dia terbuka dan tidak gentar menghadapi apa saja tindakan yang dianggap wajar oleh jawatankuasa itu.

Soalnya kalau kuasa untuk bertindak ada di tangan mengapa pula Anwar tidak bertindak untuk membendung korupsi, nepotisme dan kronisme dalam kerajaan? Siapakah harus disalahkan? Mahathir dan ahli-ahli kabinetnya ataupun Anwar sendiri? Tanyalah pada diri sendiri dan tanyalah kepada Anwar mengapakah dia tidak membuat reformasi untuk mengurangkan korupsi, nepotisme dan kronisme sewaktu menjadi pengerusi jawatankuasa tersebut?

Anwar juga harus jujur dan telus dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang menteri. Benar atau tidak sewaktu dia menjadi pengerusi jawatankuasa KLIA dan Putrajaya dia banyak memberikan projek bernilai beratus-ratus juta kepada kroni-kroninya tanpa tender? Benar atau tidak ada antara projek-projek yang diberi kepada kroni-kroninya itu melambung tinggi harganya melebihi dari anggaran perbelanjaan yang sebenarnya. Benar atau tidak projek-projek yang diberikan kepada kroni-kroninya itu bernilai sekitar RM3,800 juta semuanya?

Tentulah banyak rakyat dan geng reformasi tidak tahu kisah dalaman kerana mereka lebih terpukau dengan slogan-slogan kosong dan retorika-retorika yang gemerincik dengan elusan kata-kata yang bergema, keprihatinan terhadap golongan miskin dan daif, serta kata-kata besar ala buntal tentang reformasi, keadilan dan ketaqwaan serta lontaran kata-kata yang membawa kebencian seperti amalan kronisme, nepotisme, koluisme dan lain-lain “isma” yang bergelema.

Tapi kalau Anwar jujur dan benar-benar bertaqwa sila senaraikan nama-nama kroninya yang mendapat berbagai projek gergasi di KLIA dan Putrajaya dan nyatakan harganya sekali. Biar rakyat yang cerdik dan pakar yang berpengalaman membuat penilaian apakah wajar harga yang dibayar untuk berbagai projek tersebut.

Ingatlah ini wang rakyat yang dibelanjakan. Sekiranya berlaku penyelewengan dalam pemberian projek bermakna rakyat dan generasi akan datang terpaksa membayar segala hutang negara. Inilah risiko yang dihadapi rakyat yang kebanyakan rakyat tidak tahu. Sekiranya Anwar melakukan penyelewengan dalam pemberian berbagai projek kepada kroni-kroninya untuk KLIA dan Putrajaya maka bagaimanakah dia hendak mengecam Mahathir dan menteri-menteri lain tentang penyelewengan? Seperti kata peribahasa Melayu mengata dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih!

Memang Anwar mempunyai kuasa untuk bertindak terhadap penyelewengan di peringkat atasan sebagai pengerusi jawatankuasa anti korupsi dan penyelewengan tersebut tetapi dia tidak ada keberanian untuk bertindak tegas. Sebenarnya kewibawaannya sebagai pemimpin sudah terjejas kerana dia tidak ada tanggungjawab moral untuk bertindak menghapuskan penyelewengan. Bila ditepuk bantal menjadi kembung tapi isi di dalam hanya angin yang kosong!

AIDC memetik buku tulisan Yahaya Ismail bertajuk "62 Dalil Mengapa Reformasi Anwar Gagal", Penerbitan Usaha Teguh Sdn Bhd, Petaling Jaya, 1999.



Sila klik untuk baca selanjutnya...