AIDC BLOG: tulisan Ahmad Lutfi Othman
Showing posts with label tulisan Ahmad Lutfi Othman. Show all posts
Showing posts with label tulisan Ahmad Lutfi Othman. Show all posts

Sunday, November 2, 2008

Bolehkah cakap Anwar dipegang?



Bolehkah cakap Anwar dipegang ?


Oleh Ahmad Lutfi Othman

Agak ramai juga yang berkata, Anwar tidak boleh dipegang dengan kata-katanya. Anwar pandai berbelit dan bermain dengan kata-kata. Bagi pihak penyokong Abdullah Badawi pula merasakan selemah-lemah Pak Lah, beliau tidak begitu suka memberi janji-janji kosong dan jaminan tidak berasas, hanya untuk mendapat publisiti. Tuduhan terhadap Anwar ini tentulah tidak patut. Tidak boleh dipegang dengan kata-kata seolah-olah bermaksud menuduh Anwar selalu berbohong.

Kalau seseorang itu tidak boleh dipegang dengan kata-katanya, apa lagi yang boleh mengikatnya. Manusia bukannya ada ekor yang boleh ditarik ekornya. Lainlah dengan kuda, itu pun tidak boleh ditarik ekornya sesuka hati, nanti ditendang buruk padahnya.

Bagaimanapun agak menarik kalau kita perhatikan terjemahan bebas wawancara khas Malaysian Business bersama Anwar Ibrahim selepas beliau dilantik menjadi Menteri Pendidikan :

Apa perasaan saudara mengenai perlantikan baru yang boleh dikatakan sebagai satu bayangan konotasi politik dalam jawatan Menteri Pendidikan ini.

Ia hanya pertukaran tugas. Mengenai konotasi politik, sebenarnya saya tidak tahu-menahu mengenai hal itu. Terdapat orang yang berjaya dari pendidikan tetapi terdapat juga orang yang gagal. Tapi ia satu pertukaran yang menyenangkan. Saya sedang belajar dengan cepat dan saya ingin membuat beberapa perubahan terutamanya dengan mendengar dan bercakap. Saya tidak fikir perancangan dan polisi pendidikan semestinya diputuskan bulat-bulat oleh Kementerian Pendidikan. Ia sepatutnya disepakati oleh para pendidik, ahli akademik dan profesional serta disokong oleh kementerian.

Jadi, saya banyak menghabiskan masa untuk mendengar... dan terdapat banyak isu. Mereka bercakap mengenai kemerosotan mutu akademik, kemerosotan disiplin di sekolah, polisi sistem pendidikan yang lebih liberal, dan ada juga yang bercakap mengenai pendemokrasian di institusi-institusi pengajian tinggi.... la memberi lebih faedah kepada saya secara peribadi.

Seorang tokoh akademik berkata bahawa "sebab utama Akta Universiti (AUKU)diwujudkan ialah kerana adanya orang seperti Anwar Ibrahim". Apa komen saudara ?

Saya tidak fikir itu benar kerana Akta itu diperkenalkan pada tahun 1971 dan dipinda pada 1975. Pada 1971, saya menjadi pemimpin pelajar, 1975 saya dalam tahanan.

Malahan sebelum itu, terdapat beberapa peruntukan ... saya masih ingat lagi dengan jelas...perkara-perkara seperti kelulusan yang bersesuaian, yang mengawal kebebasan akademik : bagaimanapun itu semua tidaklah begitu muktamad seperti perubahan pada tahun 1975. Sekarang ada beberapa hal yang saya tidak setuju.

Terdapat ahli akademik dan pelajar yang menggunakan akta itu untuk menutup kegagalan mereka sendiri. Orang ramai bercakap mengenai kemerosotan mutu akademik, kekurangan penyelidikan, kemerosotan pencapaian pelajar... saya tidak fikir akta itu boleh digunakan untuk mengukur perkara-perkara ini.

Tetapi saya boleh katakan akta itu perlu disemak semula, ia sepatutnya lebih liberal, ahli akademik perlu dibiarkan sendiri untuk menumpukan terhadap penyelidikan dan membuat kenyataan mereka sendiri agar mereka berasa lebih rileks untuk mengeluarkan pandangan mereka dalam isu-isu akademik dan kebangsaan. Begitu juga pelajar-pelajar. Pelajar-pelajar memang secara semulajadi begitu kritikal terhadap pembangunan.

Kita sepatutnya bersikap liberal untuk bertoleransi dan saya tidak fikir kita perlukan peraturan-peraturan yang ketat seperti pindaan 1975. Malahan sekarang pun, saya telah mengarahkan semua Naib Canselor supaya bersikap lebih liberal dalam tafsiran mereka terhadap akta itu sementara satu kajian yang menyeluruh mengenai implikasi semakan itu... peruntukan apa yang perlu dipinda. Saya fikir itu adil.

Orang ramai cenderung untuk melabel saudara sebagai antipembangunan sebelum ini. Bagaimana sekarang?

Lebih baik saya katakan saya seorang yang kritikal terhadap isu-isu kemiskinan, pentadbiran yang lemah dan pecah amanah. Saya tetap seperti dahulu.

Dahulu saudara seorang pengkiritik. Sekarang saudara di pihak kerajaan. Bolehkan saudara menerima dengan lebih baik kedudukan pengkritik dalam masyarakat?

Ya, perlu saling menerima. Pengkritik patut menerima halangan-halangan dan masalah-masalah praktikal, realiti dan tanggungjawab mereka yang berada dalam kerajaan.

Adalah perlu wujud perasaan saling menghormati antara mereka di dalam masyarakat. Bagi diri saya, saya yakin perlu diadakan dialog antara kedua-dua pihak dan saya pernah melakukannya. Contohnya, dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Mereka membuat persediaan rapi dan kami berbincang sepanjang hari mengenai beberapa isu berkaitan. Atau ABIM dan ramai ahli akademik dari universiti. Atau isu-isu seperti kemiskinan dan pemulihan tanah.

Saya telah berbincang dengan ramai orang antaranya... Husin Ali, Jomo, Tengku Shamsul, David Gibons dan dua minggu lepas (sehingga waktu wawancara diadakan) saya telah berbincang dengan ramai profesor..... termasuk yang mengkritik kerajaan.

Bagaimanapun sesetengah orang lebih kritikal. Apa yang anda harapkan? Apakah mereka fikir saya mengubah semuanya yang mereka rasa menekan di dalam akta itu?


la adalah kerana saudara begitu kritikal terhadapnya sebelum ini... Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), contohnya?

Saya tidak fikir begitu. Saya memang menentang perbuatan itu, saya begitu prihatin terhadap cara perlaksanaannya. Saya rasa terdapat penganiayaan ... pemimpin pelajar ... orang ditangkap kerana perbezaan politik. Tetapi, anda tahu, terdapat beberapa masalah yang kami hadapi. Pertamanya, militan komunis yang kita hadapi.

Kemudian mungkin kamu ingin tahu mengapa kami menangkap pemimpin tertentu PAS di bawah ISA?

Ini kerana mereka secara terbuka menggalakkan rusuhan, mereka memanggil kami kafir.

Kritik dari para elit yang liberal menyebut, "bawa mereka ke mahkamah terbuka supaya pengadilan dapat dilakukan". Tetapi bagaimana boleh membawa mereka dibicarakan di mahkamah terbuka dengan beribu-ribu orang berteriak "Allahu Akbar" di luarnya?


Mungkin saudara ingin menerangkan dengan lebih lanjut hubungan antara PAS dan UMNO.

Saya telah bercakap dengan mereka. Mereka takut untuk berbincang dengan kami kerana takut penyokong-penyokong mereka tidak akan menerimanya. Itulah yang terjadi dalam dialog atau muzakarah antara Mahathir dan Yusof Rawa. Mereka tidak boleh menerangkan kepada penyokong-penyokong mereka.

Saya ke Pulau Pinang untuk mengatur perjumpaan terakhir, kesemuanya mesti secara diam-diam, secara rahsia. Kenapa? Kerana mereka tidak boleh menerangkan perkara ini kepada penyokong-penyokong mereka.

Kenapa mereka perlu begitu takut untuk berjumpa kami? Kit Siang boleh datang dan berjumpa kami bila-bila masa ... walaupun hakikatnya beliau memang penentang kuat kerajaan. Tetapi mereka tidak boleh, kerana mereka telah memberitahu penyokong-penyokong mereka bahawa kami kafir, kami membelakangkan Islam. Mereka seolah-olah akan bergaduh.


Adakah saudara dianggap boleh diterima oleh PAS?

(Terhenti sebentar) ... Saya tidak fikir begitu. Saya bertolak ansur dengan mereka. Saya kata... anda boleh berbincang dengan saya, anda boleh tidak bersetuju dengan saya... tidak mengapa ... cuma jangan berbunuh sesama sendiri. Itulah keseluruhan idea, intipati utama dialog itu.


Bagaimana dengan status UMNO sekarang, perpecahan antara Dr Mahathir dan Datuk Musa?

Iya, ini memang amat malang, ia sesuatu yang tragis. Saya tidak mahu membuat sebarang andaian mengenainya ... tetapi saya mengekalkan hubungan baik dengan kedua-duanya.

Bagaimana dengan krisis Sabah dan PBS?

Ia suatu situasi yang sukar. Dalam pilihan raya yang baru berlangsung, masyarakat bukan Melayu secara umumnya menyokong PBS tetapi orang Melayu berasa tidak patut menyokong PBS pada saat Islam sedang berkembang di Sabah ... kerana tiada wakil Islam yang mencukupi dalam PBS ketika itu. Bagaimanapun, kita terperangkap. Jadi, adalah bagus ... biarkan rakyat membuat keputusan ... dengan meyakinkan mereka mendapat dua pertiga majoriti bersama wakil Islam.

Jadi, pada senario sekarang ini, tiada siapa boleh berkata, dengan membenarkan PBS memasuki Barisan, kita telah mengabaikan orang Islam di Sabah. Itulah dilema kita. Apabila anda berada di dalam kerajaan, anda kena mengambil berat kedua-duanya.


Terdapat persepsi meluas mungkin oleh akhbar luar, bahawa pentadbiran kerajaan ini telah mendapat kritikan dalam pelbagai isu seperti rasuah dan ketidakcekapan pentadbiran, perkara yang sama pernah saudara kritik sebelum ini. Apa komen saudara?

Anda perlu lebih khusus. Saya tidak nafikan terdapat rasuah. Tetapi terdapat banyak tuduhan yang tidak tepat. Ahli perniagaan yang gagal mendapat tender atau kontrak biasanya akan menuduh mereka yang mendapatnya melakukan rasuah. Dalam keadaan ini, adalah sukar untuk mengira bagaimana rasuah itu berlaku.

Bagaimanapun, saya percaya kempen-kempen menentang rasuah perlu dipertingkatkan. Saya percaya Badan Pencegah Rasuah perlu diperkuatkan. Ini tidak bermaksud kami begitu bertolak ansur atau rileks terhadap perbuatan rasuah. Apa yang pihak media luar negara cuba ambil tahu, situasinya agak kompleks.

Memang Dr Mahathir seorang yang kritikal, beliau telah menunjukkan sikap tidak setuju terhadap banyak polisi Barat.

Apabila mereka mengkritik penerapan nilai-nilai Islam, beliau mengingatkan mereka tentang Spanish Inquisition .... Apabila tiba hal perdagangan, beliau meminta mereka untuk bertanggungjawab terhadap perlindungan kepada perusahaan dalam negeri.

Terdapat banyak kritikan, yang kebanyakannya telah membangkitkan perasaan bermusuhan dengan media luar negara yang kemudian mereka menjadi begitu mahir terhadap apa yang berlaku di Malaysia. Tetapi saya rasa media perlu bersikap lebih liberal. Kerajaan perlu bersikap lebih bertolak ansur.


Encik Anwar, secara jujur, adakah saudara percaya bahawa sesetengah rencana oleh Asia Wall Street Journal baru-baru ini adalah sebahagian daripada kempen yang dibuat untuk menjatuhkan kerajaan?

Sengaja dibuat, saya tidak pasti tetapi perasaan untuk menentang kerajaan sudah tentu ada ... terhadap beberapa rancangan. Pertama, kita adalah kerajaan yang kuat di antara negara-negara Dunia Ketiga dengan satu reputasi pencapaian kemajuan.

Pada masa yang sama kita mengambil pendirian untuk berdikari dari Barat. Dan kita telah mengambil beberapa rancangan yang tidak menyerupai ciri-ciri Barat.

Salah satu daripadanya ialah Rancangan Penerapan Nilai-nilai Islam. Oleh itu, pada pendapat mereka rancangan itu mestilah kasar dan menekan ... kerana mereka tidak tahu apa yang sedang berlaku. Mereka melabelkan kesemuanya Islamik .... Saya telah membaca banyak majalah dan surat khabar - dari Amerika Syarikat hingga ke Australia -dan akan dapat dilihat kebencian mereka ... bagaimana mereka telah menerima maklumat yang salah.

la sama ada kita tidak bertolak ansur atau fanatik atau membuat perkara-perkara ini untuk meredakan kebangkitan Islam di negara ini. Mereka tidak boleh memahami kedudukan sebenar apa yang kita buat di sini... yang sebenarnya tidak langsung menafikan kedudukan bukan Islam di negara ini.

Ambil kes BMF sebagai contoh. Saya menyifatkannya sebagai satu peristiwa yang tragik ... satu daripada skandal membabitkan wang dalam jumlah terbesar pernah berlaku dalam abad ini di negara ini. Tetapi kami tidak duduk diam. Satu siasatan menyeluruh dijalankan dan laporannya diumumkan kepada masyarakat.

Boleh anda namakan negara-negara Dunia Ketiga yang lain yang bersedia untuk melakukannya? Sudah tentu ada sebilangan yang tidak berpuas hati. Mengapa? Kerana mereka ingin melihat Perdana Menteri dan menteri-menteri kanan yang lain untuk terlibat sama ... kerana mereka telah mempunyai kedudukan politik dan itulah yang berlaku ... beberapa pemimpin terlibat dalam rasuah dan mereka perlu dilibatkan sama walaupun mereka tidak mempunyai sebarang bukti untuk menyokong pendirian atau tuduhan mereka itu.

Saya tidak berminat dengan kedudukan politik. Saya lebih berminat dengan kebenaran dan mereka yang bertanggungjawab dihukum. Saya tidak peduli jika beberapa individu atau golongan tertentu pergi sama ada secara berpuas hati atau tidak.


Tetapi bagaimana pula layanan terhadap Tan Sri Ahmad Noordin? Ramai orang rasa beliau telah difitnah.

Kita memang berterima kasih kepadanya. Saya secara personal berterima kasih kepada Tan Sri Ahmad Noordin ... beliau telah melakukan kerja yang cemerlang. Tetapi terdapat juga masalah ... orang ramai menjadi begitu emosional dengan isu itu. Dokumen itu bukan satu hukuman, ia hanya satu laporan. Mengapa orang ramai tidak boleh menerima keadaan itu?

Sama ada Ahmad Noordin atau penyokong-penyokongnya atau para pengkritik tidak patut memikirkan laporan itu sebagai begitu sempurna. Ini tidak bermakna semua tuduhan itu benar. Ia hanya laporan akauntan. Terdapat beberapa kenyataan tidak tepat dari beberapa menteri. Tetapi adakah ini bermakna kerajaan secara moralnya telah merosot atau bercakap tanpa prinsip?

Anda perlu memberi penghargaan pada tempatnya... kami menunaikan janji kami... kami menerbitkan laporan itu. Tetapi kami mengambil masa, kami perlu pastikan bahawa ia adalah sahih dan betul terhadap semua tuduhan yang dilemparkan. Dan tiada siapa dapat menafikan bahawa ... ramai orang yang tidak bersalah tetapi menerima akibat yang tidak baik.

Sama juga keadaannya kerajaan yang ingin menghukum mereka yang bertanggungjawab dan melindungi mereka yang tidak bersalah. Ia dilakukan bukanlah sekadar atas desakan ramai atau tekanan dari pihak tertentu.

Encik Anwar, soalan yang terakhir. Sekarang ini, seolah-olah wujud perasaan meragui kerajaan secara umum. Mengapa?

Mungkin ahli-ahli perniagaan. Mereka seolah-olah meragui kerajaan sekarang, tetapi tiga tahun lalu, mereka adalah orang suruhan kepada kebanyakan ahli politik. Mereka tidak bercakap mengenai prinsip-prinsip, tiada soal moral terbabit. Apa yang penting ialah apa yang mereka dapat, bila tidak dapat, mereka mengutuk.

Saya bukannya ingin membela mana-mana individu atau sikap melampau yang mereka lakukan, tetapi saya rasa seseorang perlu diberi peluang yang adil untuk menerangkan kedudukan sebenar. la bukan sekadar apa yang masyarakat rasakan secara umum, tetapi satu kebenaran. Siapa mereka ini dan apakah yang mereka perkatakan?

Apa yang mereka perkatakan adalah mengenai tender atau mutu kontrak, kalau mereka mendapat tanah atau sesuatu yang mereka perolehi dari seseorang, lalu mereka menyokong orang itu.

Perkara-perkara seperti itu adalah dahsyat. Saya sendiri susah hati. Anda tahu apa sebabnya? Saya tiada kaitan langsung dengan kontrak atau tender. Saya menolak untuk dikaitkan dengan itu semua, dalam Kementerian Pertanian dan sekarang. Orang datang berjumpa saya untuk mendapat kontrak .... Saya kata, pergi jumpa pegawai yang berkaitan.

Kalau mereka merayu, saya akan beri perhatian dengan bertanya jawatankuasa yang berkaitan, lembaga berkaitan tender. Jika mereka tuduh terdapat rasuah, saya kaji dan jika benar berlaku, saya serahkan kepada pihak BPR untuk membuat keputusan. Sekarang tersebar luas soal meragui kerajaan datang dari siapa?

Saya pergi banyak tempat dan saya tidak fikir ia datang dari kampung-kampung. Sudah tentu terdapat pengaruh PAS, tetapi kebanyakan pembangkang di bandar. Kemudian, mungkin golongan elit yang liberal. Mereka memang sentiasa mengkritik: Ketika saya di kampus, saya pernah bersama mereka dalam keadaan tertentu. Beritahu saya, akta mana yang mereka pernah setujui, beritahu kami rancangan mana yang popular, beritahu kami Perdana Menteri mana yang mereka sukai atau sokong? Tetapi mereka lebih lantang sekarang. Kerana Dr. Mahathir bersikap liberal. Jadi, orang berasa lebih bebas untuk mengeluarkan pendapat mereka.

Sekarang, golongan yang lebih kritikal selain dari golongan ini ialah ahli-ahli perniagaan, ataupun mereka yang bermasalah dan kebanyakannya dibuat sendiri. Lihat senarai pinjaman mereka dengan beberapa bank. Mereka menyusahkan diri mereka sendiri dan meminta kerajaan untuk menjamin mereka. Saya tidak berkata semua tuduhan itu tidak adil. Terdapat sungutan yang berasas, tetapi secara keseluruhan, ini adalah kerana mereka tidak mendapat kontrak. Apa yang kami lakukan? Kami tidak mempunyai banyak kontrak lagi sekarang.


Nota : Rencana ini ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman dalam buku "Anwar lawan Ghafar ?", Penerbitan Pemuda, 1993. Sekarang beliau merupakan ketua pengarang Harakah.


Sila klik untuk baca selanjutnya...

Bagaimana lelaki beriman boleh tersungkur?




Bagaimana lelaki beriman boleh tersungkur ?


Oleh Ahmad Lutfi Othman

Godaan terbesar kepada lelaki adalah wanita. Iman seorang lelaki mungkin dapat dipertahankan berdepan dengan pangkat, kuasa, wang dan harta tetapi ia bisa luntur apabila berdada dengan keajaiban wanita. Wanita boleh merayu, merengek manja, memujuk, menggoda, membelai dan merangsang nafsu syahwat. Berbanding dengan godaan yang lain, khususnya dua “ta” yang lain, iaitu takhta dan harta, hanya wanita “benda yang hidup dan boleh berkomunikasi dua hala”, sedangkan harta, kereta, rumah, wang dan semua yang lain adalah benda mati dan kaku.

Justeru, Allah mengingatkan, jangan dekati zina, yakni jangan tercebur dalam kancah yang boleh menarik kepada perzinaan. Misalnya, pergaulan bebas, hubungan tanpa batas, suka mendekati majlis yang melalaikan, berkawan dengan golongan fasik, leka dengan hiburan yang menyuburkan syahwat.

Namun, ramai yang mengalpakan peringatan Allah ini, termasuk mereka yang nampak menghayati amalan hidup Muslim. Jangan siapa menyangka dia insan yang tetap teguh imannya walaupun digoda kiri dan kanan, depan dan belakang, oleh wanita jelita, apalagi yang ganas nafsu seksnya.

Ingatan jangan dekati zina ditujukan kepada semua orang, lelaki dan wanita, walau apa pun latar belakangnya, tanpa sebarang pengecualian. Sesungguhnya fitnah wanita tidak boleh dipandang ringan. Nafsu lelaki cukup senang dan mudah untuk diransang, tidak kira lelaki itu beriman atau tidak, kuat beribadat atau hebat ilmunya. Tiada lelaki yang kebal daripada tipu daya syaitan ketika bersama wanita bukan muhrim di tempat sunyi.

Bukankah yang ketiga di antara lelaki dan wanita dalam keadaan seumpama itu adalah syaitan? Lelaki beriman juga tidak boleh mendakwa dirinya terselamat daripada godaan syaitan, lalu dengan berani mendekati kancah perzinaan bagi menguji keimanannya. Jangan sengaja cari nahas untuk terjebak dalam perangkap wanita.

Seorang lelaki yang beriman tetapi ketika berzina sudah tercabut iman dari dadanya. Lupa diri, lupa anak, lupa isteri, lupa Tuhan, walaupun kemudiannya bertaubat, mereka bersalah, memohon keampunan dari Illahi. Sememangnya mudah menyesal selepas melakukan perbuatan terkutuk, tetapi yang lebih sukar ialah menjarakkan diri sejauh-jauhnya daripada tarikan zina. Pergaulan lelaki perempuan harus dibataskan.

Ini bukan peringatan kuno tetapi pengisytiharan keramat. Jangan hanya kerana merasa dekat dan mesra, misalnya sesama teman sepejabat, keluarga angkat atau sahabat tempat mengadu masalah, maka batasan pergaulan tidak dihiraukan lagi. Syaitan tidak pernah lupa untuk memarakkan lagi nafsu kejantinaan dan lambakan syahwat yang tidak akan merasa puas dengan apa yang ada. Sesungguhnya akan perindahkan apa yang ada pada wanita yang bukan hak kita, termasuk isteri sahabat sendiri, walaupun hakikatnya isteri di rumah sebenarnya lebih cantik, bersopan dan tidak jemu-jemu melayan si suami.

Maka isteri dilihat serba tidak kena, menyakitkan mata memandang, manakala wanita bukan muhrim dilihat sebagai penggoda yang mendebarkan jantung dan menggetarkan perasaan.

Malah, perlakuan sumbang lebih mudah terangsang dengan pasangan yang dianggap seperti saudara sendiri kerana mereka tidak lagi bimbang dengan masyarakat sekeliling. Mungkin ketika itu, jika dilihat orang mereka berdua-duaan atau berkelakuan yang mencurigakan, ia tidak membawa umpat keji persekitaran.

Misalnya si lelaki A yang menganggap pasangan suami isteri B-C seperti keluarga sendiri, dan umur mereka dijarakkan seperti adik dan abang, kalaupun tidak seperti ayah dan anak. Si isteri C dilihat cukup manja dengan lelaki A tetapi suami B pula tidak pernah menaruh rasa syak wasangka. Timbul saja sikit masalah rumahtangga, C akan meminta nasihat daripada A, sehingga seolah-olah tiada lagi rahsia antara mereka. Ya, hubungan mereka seperti abang adik, atau ayah dengan anak, jadi untuk apa dicurigakan. Lelaki A boleh keluar masuk rumah B-C walaupun ketika suami B tidak di rumah. Jiran-jiran pun tidak menganggapnya sebagai tingkah laku luar batasan kerana mengenali hubungan mereka bagai saudara mara.

Bagi saya, keadaan seperti inilah yang lebih memudah-kan berlakunya hubungan sulit antara lelaki A dan isteri C sehingga terjerumus melakukan zina, terutama bagi mereka yang dekat dengan agama.

Muqadimah ini saya dahulukan sebelum mengulas lebih panjang tuduhan skandal biseksual yang dilemparkan kepada Anwar Ibrahim, seorang tokoh yang dilihat dan dianggap masih kuat penghayatan agama dan murni akhlaknya, walaupun selepas 16 tahun menyertai UMNO, suatu parti sekular pragmatis yang tidak selari dengan perjuangan ABIM yang diasaskannya dulu.

Namun ia tidak bermaksud untuk membenarkan segala tuduhan itu, yang bagi sesetengah pihak tidak masuk akal dilakukan oleh orang seperti Anwar, malah oleh lelaki sedia diketahui buruk akhlaknya. Mungkin berzina tidak begitu memeranjatkan, tetapi tuduhan homoseksual dan melanggan pelacur tidak dapat untuk disandarkan dengan imej keperibadian Anwar selama ini.

Berbanding dengan tokoh-tokoh UMNO lain, akhlak dan perilaku Anwar dilihat masih terpelihara dan kurang diperkatakan tentang aspek negatifnya. Malah itulah kelebihan Anwar, yang diwarisi sejak beliau memimpinj pergerakan mahasiswa, belia dan ABIM.

Pernah Anwar, khususnya ketika menjadi Presiden ABIM, dianggap lelaki mithali, yang kelihatan suci di tengah kegawatan sosial dan kepincangan akhlak ketika itu. Penyertaannya dalam UMNO, yang pernah dikecam hebat pendokong gerakan Islam, masih berupaya mengekalkan imej bersihnya walaupun beliau sering menjadi sasaran utama tuduhan surat layang. Kata banyak orang, Anwar juga "kotor” seperti pemimpin UMNO yang lain, tetapi kehebatannya ialah beliau tetap berjaya menampakkan imej bersihnya, bersih dalam kotor.

"Wajah malaikatnya menutup nafsu syaitanannya," dakwa seorang pemimpin muda UMNO. Mungkin kehebatan perhubungan awam dan kepetahannya berpidato sehingga seringkali dilihat menyampaikan khutbah Jumaat menyebabkan Anwar kekal dengan imej Islamiknya.

Namun begitu Anwar dikatakan mudah mesra dan ramah walaupun dengan orang yang baru dikenalinya, termasuk golongan wanita. Anwar juga suka bergurau senda, manja, pandai mengambil hati, bijak berdiplomasi dan membuatkan orang yang menemuinya merasakan merekalah yang paling rapat dan intim dengan Anwar. Penampilannya memang diakui menarik bagi wanita.

”Kalau pemimpin ABIM berjumpa Anwar, mereka merasakan merekalah yang paling dekat dengan Anwar. Kalau Vincent Tan ataupun Dato' Nalla berjumpanya, mereka juga merasakan merekalah yang paling mesra dilayan Anwar," kata seorang tokoh akademik yang mengenali Anwar agak rapat khususnya sebelum Anwar menyertai UMNO.

Ada sumber menyebut, hatta pemimpin PAS sendiri masih mempunyai hubungan baik dengan Anwar. Begitu juga dengan tokoh-tokoh ulamak terkemuka tanahair misalnya Dr Haron Din, Anwar sentiasa mempastikan hubungan dengan mereka sentiasa dijalin erat.

Saban tahun, terutama di bulan Ramadhan, secara rasmi Anwar menjemput ulamak tersohor ini ke kementeriannya, untuk menyampaikan ceramah. Ini belum dikira ulamak luar negara berwibawa, seperti Dr Yusof al-Qardhawi, yang dikira lebih rapat dengan Anwar berbanding pemimpin gerakan Islam tanahair.

Malah Anwar digeruni oleh pemimpin UMNO kerana tegasannya dalam isu moral dan korupsi. Ramai membayangkan, jika Anwar menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, barisan kepemimpinan parti yang terbabit dalam salah laku akan tersisih dan diketepikan.

Komitmennya dengan penghayatan agama membuatkan mereka yang curang kecut perut hinggakan penyingkiran Rahim Tamby Chik satu waktu dulu dikaitkan dengan langkah pembersihan Anwar terhadap tokoh-tokoh yang bankrap moralnya.

Ayat yang selalu Anwar lafaz ialah : " tiada kompromi dengan isu kebejatan akhlak masalah rasuah."

Penyokong-penyokongnya mendakwa, terutama bila berdepan dengan ahli-ahli PAS, bahawa Anwar akan membersihkan parti itu daripada pemimpin yang rosak akhlak, kaki perempuan, menyalahgunakan kuasa, mengamalkan rasuah, hanyut dalam kapitalismel suku-sakat.

Pernah dalam isu calon Presiden Amerika, Gary Hart yang terpaksa mengundur diri kerana dibabitkan dengan perempuan simpanannya, Anwar yang ketika itu menjadi Menteri Pendidikan menegaskan: "1 share the view that leaders should have high morals in order to lead the people. The people should know something about the private lives on those who seek public office to ensure that they vote in the right people. The issue regarding Gary Hart is not so much about his sexual life but more about his credibility as a leader"

Pandangan ini menyanggah sesetengah tanggapan bahawa kehidupan peribadi seseorang adalah haknya dan tidak perlu dijadikan isu selagi mana ia tidak menganggu kelancaran tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

Malang sekali, tokoh yang diharap menerajui reformasi ini hampir tertiarap dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan. Meskipun ia masih belum dibuktikan di mahkamah tetapi imej baiknya selama ini sudah cukup tercemar.

Malah kedudukan Anwar, bukan sekadar disamakan, malah lebih buruk daripada apa yang dialami Rahim Tamby Chik.

"Kalaupun betul Anwar difitnah, mengapa pula dipilih fitnah tentang seks?" soal seorang pemimpin muda parti pembangkang.

"Sekiranya kehidupan Anwar selama ini langsung tidak boleh dikaitkan dengan skandal biseksual, tentunya amat sukar untuk memerangkap Anwar sehingga boleh meyakinkan publik. Betul... Mahathir berkuasa atas segala-galanya, termasuk menguasai mahkamah, polis dan media, tapi Mahathir tidak boleh mengadakan benda yang langsung tidak wujud. Satu hari nanti, betapa ditutup sekalipun, kebenaran akan terserlah juga. Begitu juga dengan kebatilan, meskipun cuba ditudung, tetapi seperti bangkai, akhirnya tercium juga baunya yang busuk itu."


Nota : Rencana di atas ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman, dalam bukunya "Malaysia Tanpa Anwar", Penerbitan Pemuda, 1998. Ahmad Lufti sekarang adalah Ketua Pengarang Harakah.



Sila klik untuk baca selanjutnya...

Friday, September 12, 2008

Anwar dan Teori Konspirasi - Ibrahim Ali


Anwar dan Teori Konspirasi - Ibrahim Ali

Ahmad Lutfi Othman

Nota: Rencana ini dipetik daripada buku yang ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman, Penerbitan Pemuda, 1998. Tajuk asal rencana itu adalah "Ibrahim Ali : Nak Upah Orang Bukan Perkara Mudah". Ahmad Lutfi sekarang ini Ketua Pengarang Harakah.

Macam-macam pandangan yang dikemukakan terhadap isu pemecatan Anwar. Tidak ramai percaya ia hanya disebabkan masalah moral. Orang lebih suka melihatnya sebagai konspirasi politik peringkat tertinggi, termasuk Mahathir, untuk menyingkirkan Anwar. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ibrahim Ali tentunya mempunyai pandangan tersendiri dalam hal ini. Rosmida Abdul Rahman sempat menemubual beliau dipejabatnya, di Bangunan UOA Centre Kuala Lumpur, pada 29 September 1998.

Rosmida : Umumnya tanggapan masyarakat bukan mempertikaikan hak Perdana Menteri untuk melucutkan jawatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan atau hak ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO yang memecat keahlian UMNO Anwar. Mereka sama sekali tidak boleh menerima, kalaupun mungkin disyakki Anwar melakukan salah laku seks yang melampau itu, mengapa ia dihebohkan begitu sekali, khususnya melalui afidavit berkaitan Nallakarupan.

Ibrahim : Masalah yang berkaitan isu Anwar Ibrahim boleh dilihat dari dua sudut. Satu, sudut politik dan lagi satu perundangan. Dalam UMNO, ada kaedah dan peraturan disiplin tersendiri. Maka mana-mana ahli pun tertakluk kepada disiplin ini. Begitu juga dengan parti-parti lain. Parti berhak mengambil disiplin ke atas mana-mana ahli yang difikirkan perlu diambil tindakan. Lebih-lebih lagi yang boleh menjejaskan atau merosakkan nama baik parti.

Begitu juga kita sebagai warganegara, rakyat atau masyarakat, yang hidup dalam sebuah negara yang mempunyai undang-undang. Dalam hal ini, rakyat juga tidak terkecuali dalam undang-undang, hatta raja pun....tiada siapa yang kebal dengan undang-undang. Begitulah dalam kes Anwar ini. Dari aspek politik, UMNO tidak mengira kedudukan ahli-ahlinya untuk diambil tindakan. Di dalam perlembagaan UMNO pula, jika selepas parti membuat sesuatu keputusan, ia tidak boleh dirujuk kepada mahkamah. Sebabnya, sesiapa yang merujuk kepada mahkamah automatik akan terlucut keahliannya. Mengapa kita buat begitu?

Ini adalah kaedah parti.samalah seperti PAS dan DAP, masing-masing ada disiplin tersendiri. Dalam sesetengah kes, ahli-ahlinya juga dipecat tanpa perlu merujuk terlebih dahulu ke mahkamah. Ini bermakna dalam konteks parti masing-masing ada pertimbangan dan perkiraan sendiri.

Sebab itu ketika Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Presiden dan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin parti, beliau sendiri banyak mengendalikan kes memecat atau menggantung ahli-ahli tanpa merujuk kepada mahkamah. Tiada perbicaraan di mahkamah pun. Samalah prinsip ini yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi terhadap Anwar Ibrahim sekarang.

Begitu juga dari segi perundangan, proses keadilan telah dipatuhi untuk mendakwa Anwar Ibrahim ke mahkamah. Ia berdasarkan laporan lapis dan apabila disiasat terdapat prima facie. Namun kes ini agak lewat ke mahkamah kerana banyak gangguan. Ini kerana ada pihak tertentu cuba hendak menganggu perjalanan proses keadilan di mahkamah.

Contohnya, pihak tertentu mengadakan perhimpunan dan tunjuk perasaan yang boleh ditakrifkan seolah-olah hendak menganggu proses mahkamah. Bagaimanapun Anwar Ibrahim sudah didakwa oleh mahkamah pada pagi ini dengan 10 tuduhan. Cuma tinggal lagi, isu yang sering dipersoalkan, mengapa Anwar dipecat oleh Dr. Mahathir dan Majlis Tertinggi UMNO? Ramai yang mempertikaikan tentang saksi. Sebab itu dalam soal ini pelbagai pertanyaan dan persoalan timbul. Walaupun kita mempunyai undang-undang dan peraturan, tetapi kebijaksanaan juga penting dalam menangani setiap isu.

Bukankan kes Anwar Ibrahim ini rumit dan pertuduhan terhadapnya amat sukar untuk diterima terhadapnya amat sukar untuk diterima oleh masyarakat, bahawa orang seperti Anwar boleh melakukannya.

Ya. Memanglah Anwar Ibrahim seorang Timbalan Presiden UMNO dan juga Timbalan Perdana Menteri dan menggunakan label Islam sudah begitu lama. Dia sering bercakap soal moral dan akhlak, malah mempunyai pengaruh dan kedudukan. Sudah tentulah perkara ini sesuatu yang rumit. Hendak menjalankan proses undang-undang pun rumit. Malah untuk meyakinkan orang, lagilah rumit.

Namun kita melihat Dr. Mahathir sebagai seorang pemimpin parti dan kerajaan tentunya mempunyai maklumat dan bukti. Begitu juga kalau perkara yang sama dihadapi Presiden PAS. Dia tahu ahlinya buat salah. Dan sebagai Presiden, dia berhak mengambil tindakan menyelamatkan partinya, tanpa perlu merujuk ke mahkamah. Begitu juga dengan Dr. Mahathir, sebagai Perdana Menteri, beliau berkuasa untuk memecat atau melantik mana-mana menteri kabinetnya. Hatta Timbalan Perdana Menteri sekalipun.

Pemecatan dan perlantikan kabinet ini bukan perkara baru. Ketika zaman Tunku Abdul Rahman, beliau memecat Aziz Ishak, seorang tokoh popular ketika itu. Tun Hussien Onn pula memecat dan mendakwa Dato’ Harun Idris yang cukup popular. Kemudian pada era Dr. Mahathir, kes Anwar ini bukan baru. Naib Presiden UMNO, Muhammad Taib diminta berhenti sebagai Menteri Besar Selangor.

Manakala Rahim Thamby Chik dinasihatkan bercuti sebagai Ketua Pemuda UMNO dan berundur dari jawatan Ketua Menteri Melaka. Dan Dr. Mahathir sendiri tahu rakyat sering mendaulatkan konsep bersih, cekap dan amanah. Tetapi masalahnya sekarang, semasa kerajaan menerapkan konsep tersebut, ada pula gangguan. Walhal kuasa pemecatan dan perlantikan oleh Perdana Menteri berlaku di mana sahaja. Contohnya, di Rusia, Presidennya bukan sahaja memecat Perdana Menteri, tetapi seluruh anggota kabinetnya.

Di New Zealand, seorang Perdana Menteri wanita memecat timbalannya, seorang lelaki. Sultan Brunei memecat adiknya sendiri yang menjadi Menteri Kewangan. Dalam hal ini, ia tidak melibatkan perbicaraan apa pun.

Apakah seorang Perdana Menteri boleh begitu mudah sekali memecat timbalannya?

Dalam kes Anwar Ibrahim ini, bukannya Perdana Menteri sengaja suka-suka hendak memecatnya. Dr. Mahathir tahu Anwar Ibrahim ada kes. Ia hasil siasatan polis dari buku 50 Dalil, misalnya kes meliwat.

Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri telah menasihatkan Anwar supaya meletakkan jawatan. Jika Anwar letak jawatan tidak timbul soal beliau dipecat. Mengapa Perdana Menteri menyuruh Anwar letak jawatan? Ini kerana Anwar sudah ada kes di tangan polis dan jabatan peguam negara. Apabila dihadapkan ke mahkamah, dan Anwar tidak dipecat atau meletakkan jawatan secara sukarela, imej kerajaan dan UMNO tercemar. Sebab yang dibicarakan ketika itu ialah seorang TPM merangkap Menteri Kewangan dan Timbalan Presiden UMNO.

Cuba kita lihat kes Muhammad Taib. Beliau memberi kerjasama. Apabila Perdana Menteri meminta letak jawatan beliau akur. Begitu juga dengan Rahim Thamby Chik, dia tetap akur. Tetapi Anwar enggan bekerjasama. Bagi membolehkan beliau membersihkan dirinya di mahkamah tanpa membabitkan nama baik kerajaan dan UMNO, maka Perdana Menteri wajar memecatnya. Apabila pemecatan dibuat, Dr. Mahathir mesti membuktikan kepada rakyat mengapa Anwar dipecat. Waktu inilah afidavit dikeluarkan.

Bagi saya, tindakan yang Dr. Mahathir mesti membuktikan kepada rakyat mengapa Anwar dipecat. Waktu inilah afidavit dikeluarkan. Bagi saya, tindakan yang Dr. Mahathir lakukan ini adalah betul.

Bagi mereka yang mempunyai kepentingan tertentu dan ada sentimen politik yang tinggi maka dikeluarkan pelbagai pandangan dan tafsiran. Justeru, dipersoalkan proses keadilan, kebebasan mahkamah dan kehadiran saksi. Cuba kaji dengan teliti sejauhmana proses perundangan dijalankan.

Bagi saya, sepatutnya Anwar yang digelar pemimpin Islam berwibawa sepatutnya sepatutnya menunjukkan teladan ketika menghadapi musibah. Jika yakin dirinya bersih, Anwar tidak perlu gelabah. Beliau tidak perlu mengeruhkan suasana. Jika seseorang itu tidak bersalah dan memiliki iman yang kuat, dia akan tetap mendapat perlindungan dari Allah. Suatu hari, kebenaran pasti akan berpihak kepadanya.

Itulah janji Allah. Sebagai orang Islam, sudah tentu kita yakin dengannya, apatah lagi orang seperti Anwar. Jika iman kita kukuh dan kita di pihak yang benar, datanglah apa sahaja fitnah yang melanda, ia dapat dirongkai dengan baik. Tapi Anwar nampaknya bertindak sesuka hati sebelum dihadapkan ke mahkamah.

Dan Anwar menuduh kerajaan ini zalim, sedangkan sistem itulah yang beliau pertahankan selama 16 tahun ini. Begitu juga sistem mahkamah kita, pelbagai perkara dibangkitkan. Memang diakui ada kelemahannya, misalnya kes membabitkan Lim Guan Eng.

Jika betullah tuduhan UMNO melindungi pemimpin-pemimpinnya dan undang-undang hanya untuk orang tertentu, tetapi kini jelas pemimpin tertinggi UMNO juga dihadapkan ke mahkamah. Buktinya, antara lain, kes Sahar Arpan dan Waad Mansur. Mereka adalah anggota Exco kerajaan negeri. Dulu orang kata ikan bilis saja yang kena, ikan jerung terlepas. Anwar sendiri pernah cakap perkara ini. Sekarang apabila jerung sudah kena, mereka kata kita tak adil pula. Kemudian dituduh macam-macam. Saya beritahu secara ikhlas, sebagai seorang kawan yang kenal Anwar begitu lama, saya rasa hilang hormat langsung terhadapnya. Bukan masalah betul atau tidak dari segi tuduhan.

Tetapi hilang hormat saya kerana cara dan tindakan Anwar. Beliau banyak melakukan perkara yang betul-betul bertentangan. Saya boleh tunjukkan pelbagai bukti, misalnya soal menegakkan keadilan dalam parti. Bukankah Anwar bekas Pengerusi Jawatankuasa Disiplin UMNO?

Beliau yang mengendalikan kes wang akaun wanita UMNO yang dikatakan hilang sehingga Anwar mengambil keputusan memecat Zainab Abu Bakar sebagai timbalan menteri dan ahli UMNO begitu sahaja. Tanpa ada sebarang pembelaan. Anwar tidak merujuk ke mahkamah walhal ia melibatkan kes duit. Begitu juga amalan politik dalam UMNO, penyokong kuatnya, walaupun dan terdapat tuduhan mereka, namun Anwar membiarkannya. Jelas, beliau benar-benar hipokrit. Saya kenal beliau sudah 30 tahun.

Kemudian soal nepotisme, saya boleh senaraikan adik-beradik Anwar, siapa Rani Ibrahim, Idrus Ibrahim, Rosli Ibrahim, Marzuki Ibrahim, malah bapanya Dato’ Ibrahim, dan juga bapa mertuanya sekali. Memanglah bapanya dulu berniaga sikit-sikit, tapi tak sehebat hari ini. Apakah saudara-saudaranya yang mengaut kekayaan itu memperolehinya begitu sahaja atau berdasarkan kemampuan sendiri, tanpa menggunakan platform Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri?

Begitu juga dengan kroni Anwar, yang pernah bekerja di pejabatnya. Di manakah mereka sekarang? Ramai yang menjadi ahli korporat terkemuka walaupun tanpa pengalaman dan nilai keusahawanan tulen. Ada yang bergelar timbalan menteri. Misalnya, dulu siapa Kamaruddin Jaafar? Sekarang menjadi pengerusi beberapa syarikat terkemuka. Ahli-ahli yang UMNO, yang sudah berpuluh tahun berniaga, tidak sampai ke situ pun.

Sekarang masyarakat menpersoalkan rekod lama Mahathir mengenai sikapnya terhadap salah laku seks di kalangan pemimpin UMNO selama ini. Bukankah Dr. Mahathir boleh bertolak ansur dalam hal ini? Tiba-tiba saja kelihatan imej Dr. Mahathir berpegang teguh soal akhlak dan moral. Masyarakat jadi keliru.

Keliru macam mana? Dalam kes Rahim Tamby Chik, beliau telah dihukum dan dilucutkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka. Adakah selama ini Rahim dibawa balik sebagai Ketua Menteri Melaka?

Bagi saya, isu Anwar senang sahaja, tak perlulah cerita kes liwat dan pertuduhan yang lain. Apabila Anwar berkawan dengan Nalla, seorang taukeh judi, ia sudah cukup menghilangkan rasa hormat saya kepadanya.

Masyarakat pula begitu mudah menerima ia sebagai konspirasi politik. Bagi Anwar, apabila kesan terbongkar tentulah beliau akan mempertahankan dirinya dengan apa juga kaedah dan pendekatan. Takkan Anwar nak mengaku beliau berbuat jahat. Selama ini bergegar membaca khutbah, bercakap Islam, menyentuh soal moral.

Di Kelantan pun ada orang-orang yang mengaji agama mempergunakan anak murid untuk tujuan tersebut. Kalau nak sentuh bab liwat, ia bukan cerita baru. Tambah-tambah orang yang bercakap Islam tetapi mempunyai moral yang rendah. Selama ini masyarakat menganggap Anwar bersih dan tiada cacat celanya.

Bukankah kita diperingatkan Allah, bahawa tabiat manusia ini, mula-mula kelihatan baik tetapi apabila diberi kuasa pangkat, harta dan darjat sudah mula jadi gila. Mungkin Kementerian Kewangan itu berpuaka! Di situlah tempat menguruskan segala kewangan negara.

Berdasarkan pengalaman Dato’ yang pernah berhadapan dengan kes Tengku Razaleigh yang tersingkir dari UMNO pada tahun 1987, begitu juga dengan pemecatan Anwar sekarang, apa kaitan kes-kes ini.

Berbeza. Seperti Tengku Razaleigh Hamzah, beliau lawan Dr. Mahathir di dalam parti melalui pemilihan. Seterusnya mengalami kekalahan. Ada pihak membawa kes tersebut du mahkamah. Kemudian UMNO diisytiharkan tidak sah. Beliau tidak dibenarkan masuk UMNO ketika itu.

Maka Ku Li guna cara lain, mengisytiharkan parti baru. Beliau sendiri ada gagasan baru iaitu Angkatan Perpaduan Ummah dan saya sendiri turut terlibat pada awalnya. Dan kita kemukakan agenda. Dan kita lakukan mengikut proses undang-undang.

Kita tak suruh budak-budak muda tunjuk perasaan macam Anwar suruh. Menjerit-jerit di masjid, apatah lagi tuduhan pula kes meliwat. Kemudian melaung-laung takbir untuk bela Anwar. Perubahan sikap Anwar selepas dipecat cukup ketara, antaranya gelojoh dan emosional.

Anwar sendiri selalu memberitahu, apabila ditimpa musibah kita kena besabar dan berdoa banyak-banyak dengan Allah. Sepatutnya jika perkara ini fitnah, tidak perlulah menjerit-jerit.

Malah beliau boleh lakukan perjumpaan dengan Majlis Tertinggi memberitahu bahawa beliau tak puas hati. Kalau dah tak ada cara lain sangat, bersumpahlah secara Islam. Saya pelik, mengapa Anwar berasa takut untuk pergi ke mahkamah? Sama ada ia fitnah atau tidak, biar mahkamah tentukan. Orang lain pun pernah pergi mahkamah.

Apakah Anwar fikir dirinya istimewa sangat. Selepas mahkamah putuskan Anwar benar-benar dizalimi dengan fitnah yang hina itu, masa itu, hendak bakar bangunan di Kuala Lumpur, bakarlah (ketawa)!

Sebenarnya, apakah peristiwa yang berlaku dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, pada 3 September 1998. Bagaimana reaksi awal Anwar? Adakah pemecatan Anwar berdasarkan keputusan Dr. Mahathir semata-mata tanpa sanggahan dari anggota mesyuarat, khususnya penyokong Anwar?

Sebenarnya pemecatan tersebut berdasarkan keputusan Majlis Tertinggi. Begini....mesyuarat Majlis Tertinggi dipanggil selepas sehari Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Apabila mesyuarat, sudah tentu pengerusi mesyuarat adalah Presiden parti.

Ia dihadiri oleh semua ahli Majlis Tertinggi, cuma dua orang sahaja tidak hadir iaitu Dato’ Abdullah Badawi yang berada di luar negara dan Nazri Aziz pula sedang bercuti. Maka Presiden pun membentangkan hal-hal berkaitan Anwar. Dan Anwar berada di sebelah kanan Presiden.

Dr. Mahathir menceritakan bagaimana beliau mula mendidik, membentuk dan menjaga Anwar kerana Anwar adalah penggantinya kelak. Semua cerita sedap-sedap belaka. Anwar naik dalam UMNO macam roket, pijak semua kepala orang (ketawa). Orang lain berpeluh berbelas-belas tahun....macam Ku Li.

Dr. Mahathir dulu pun pernah kena pecat selama dua tahun. Dr. Mahathir bercakap lebih kurang satu jam lebih. Kemudian barulah beliau bentangkan segala pertuduhan terhadap Anwar. Presiden ada mengatakan : ”Saya yakin Anwar ada kes meliwat.”
Kes lain tidak mengapa, tetapi kes meliwat, bagi Dr. Mahathir, amat berat. Katanya lagi, orang begini tidak boleh jadi Perdana Menteri.

Selain Dr. Mahthir memberi keterangan, maka Anwar diberi peluang bercakap. Anwar tidak menyebut kes tuduhan tersebut, sebaliknya mengatakan ia adalah konspirasi dan fitnah, dengan gaya penuh emosi sambil menumbuk-numbuk meja. Anwar bercakap selama satu jam.

Apakah hujah utama Anwar untuk mempertahankan dirinya dari pertuduhan tersebut?
Tidak ada! Anwar asyik menyebut konspirasi tak habis-habis. Kemudian perbincangan dibuka kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi pula. Pada awalnya orang lain diam, sayalah orang yang mula-mula bercakap.

Saya tegur Anwar : ”Apa you anwar? Angkuh dan sombong. Cara Dr. Mahathir layan you begitu baik sekali. Jawablah tuduhan tersebut dengan baik. Kalau begini caranya, you bukan pemimpinlah Anwar. Semua orang boleh tumbuk meja. Jangan ingat you seorang saja nak tunjuk garang. Saya pun garang juga.”

Apa lagi, saya pun tumbuk meja jugalah (ketawa). Saya nak dengar juga kalau-kalau Anwar nak bersumpah atau menjawab satu persatu pertuduhan terhadapnya. Tetapi Anwar menjawab dengan cukup rasional. Kemudian kenyataan-kenyataan beliau banyak bertentangan.

Pernah Anwar menyebut dengan kawan-kawannya bahawa beliau pernah pergi dua kali ke Tivoli Villa. Di dalam Majlis Tertinggi pula Anwar kata, dia tidak pernah pijak pun, walaupun sekali. Apabila Anwar tamat bercerita dan ahli lain habis bercakap, Dr. Mahathir suruh Anwar gulung pula ucapannya. Sebelum itu ada yang mencadangkan Anwar dipecat, digantung keahlian atau diberi cuti.

Akhir sekali, penggulungan dari Dr. Mahathir, dan beliau bertanya kepada Anwar, sama ada hendak tunggu atau keluar dari bilik mesyuarat itu. Anwar kata hendak keluar. Dan Dr. Mahathir membuat keputusan mengikut majoriti mengundi. Majoriti bersetuju Anwar dipecat sebagai ahli.

Tetapi berdasarkan beberapa cadangan tadi, maka undian dijalankan sekali lagi untuk mendapat keputusan yang tepat. Ini bermakna sebanyak dua kali undian dilakukan. Apa yang tidak adilnya? Dr. Mahathir dipecat dahulu tidak berpeluang membela diri. Zainab Abu Bakar dipecat begitu juga, tiada pembelaan diri.

Maknanya, Anwar diberi peluang membela diri secukupnya?

Ya. Anwar diberi peluang membela diri. Apa yang beliau hendak bising-bising selama ini? Saya tak tahulah nak cakap. Barulah saya tahu yang Anwar ini batu, bukannya permata. Namun yang mengecewakan hujahnya tiada berkaitan lansung dengan tuduhan.

Bagaimana reaksi Anwar apabila Dr. Mahathir membentangkan pertuduhannya?
Terlalu jelas....Memang nampak kebimbingan, panik dan keresahannya ketara. Saya sendiri melihat dari body language, Anwar memang dalam keadaan betul-betul gelisah. Sepatutnya Anwar tidak boleh menyalahkan dirinya sendiri. Anwar mengatakan, melalui kenyataannya, bahawa semua saksi dibayar. Anwar boleh kata apa sahajalah. Takkanlah orang buat salah hendak mengaku salah.

Reaksi Mahathir?

Kecewa dan sedih. Harapannya hancur. Beliau yang mendidik sepanjang pembabitan Anwar di dalam UMNO selama 16 tahun. Lagipun Mahathir sendiri sudah berumur 73 tahun, hanya menunggu masa untuk berhenti sahaja. Tiba-tiba Anwar buat hal sedemikian rupa. Sudah tentu Mahathir teramat sedih.

Bagaimana penerimaan dari ahli Majlis Tertinggi pula, adakah pada peringkat awalnya menemui kesukaran untuk menerima hal ini?

Masalahnya begini, sebelum ini tidak pernah lagi kita mendengar kes liwat. Kalau kes skandal perempuan tu biasalah. Lagipun skandal begini bukan perkara baru. Berlainan dalam kes ini, perkara meliwat belum berlaku di kalangan pemimpin. Kedua pula, tuduhan tersebut berlaku ke atas Anwar Ibrahim.

Saya amat faham, bagaimana sukarnya untuk masyarakat menerima perkara ini. Oleh yang demikian, berdasarkan bukti dan penerangan yang telah dilakukan dan respons Anwar yang mengecewakan, maka mereka buatlah penilaian sendiri.

Sejauhmana ketepatan maklumat yang diperolehi oleh Dr. Mahathir sehingga beliau betul-betul yakin terhadap salah laku Anwar Ibrahim?

Ya. Dr. Mahathir menceritakan bagaimana beliau memperolehi maklumat kepada Majlis Tertinggi. Sememangnya beliau sendiri ragu dengan siasatan memaksa beliau memanggil pihak-pihak yang terlibat pula dapat menjawab dengan baik dan betul. Antara saksi-saksi itu ialah Azizan Abu Bakar, bekas pemandu Anwar Ibrahim, pemandu Dato’ Nalla, Umi Hafilda Ali dan saksi yang lain.

Desas-desus mengatakan saks-saksi ini diupah?

Itulah...macam kes Sukma dan Dr. Munawar, orang kata diupah. Tolong ingat sikit.....nak upah orang bukan perkara mudah. Kalau nak hidup dengan hasil upah orang jangan ingat dapat hidup senang! Soal maruah, imej, harga diri nak letak mana? Lagi satu, masyarakat sering mengatakan konspirasi. Ingat nak rancang konspirasi? Ingat mudah Dr. Mahathir panggil Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara, Pengarah Siasatan Jenayah, seterusnya pegawai-pegawai polis yang terlibat?

Pegawai polis yang menyiasat adalah Musa Hassan? Beliau anak Ustaz Hassan Azahari dan abang kepada Fuad Hassan. Kalau nak tahu, Fuad Hassan adalah penyokong kuat Anwar tetapi beliau seorang sahaja yang tidak pergi ke rumah Anwar. Kemudian keluarlah pelbagai akhbar mengatakan lima, enam orang saksi tersebut diupah dengan tujuan menjatuhkan Anwar. Ingat sekarang? Jangan ingat kerja mengupah perkara senang. Tak mudahlah!

Bagaimana yang dikatakan konspirasi?

Konspirasi sebenarnya, bagi saya, orang bawah, dia tidak perlukan konspirasi. Contohnya, jika Mahathir tidak perlukan Anwar lagi, beliau tidak perlu ada konspirasi. Contohnya, jika Mahathir tidak perlukan konspirasi. Dia ada kuasa untuk pecat Anwar bila-bila masa. Tetapi jika Anwar yang melakukan konspirasi, ia mungkin betul. Misalnya, bagaimana beliau menjatuhkan Tun Ghafar. Tetapi siapa yang nampak perkara begini?

Umumnya curiga tentang proses keadilan yang dilaksanakan, misalnya dalam kes mahkamah membabitkan adik angkat Anwar Sukma dan bekas penulis ucapannya. Dr. Munawar. Daripada pengakuan bersalah mereka, cara bagaimana dipilih peguambela, hujah peguambela yang mengelirukan, dan macam-macam lagi.

Memanglah. Sebab kedua-duanya mengaku. Asalnya saya difahamkan, Dr. Munawar ditangkap atas tuduhan disyaki sebagai agen tali barut luar. Apabila disoalsiasat, saya dapat tahu, Dr. Munawar sendiri secara sukarela mendedahkan perkara liwatnya dengan Anwar. Apabila beliau sudah mengaku dan tandatangan, kemudian Dr. Munawar didakwa ke mahkamah. Beliau mengaku, jadi tidak ada bicara.

Khabarnya Dato’ mula rapat dengan Anwar, ketika zaman kebangkitan pelajar di kampus awal tahun 70-an dulu. Kehebatan Anwar lebih menyinar apabila ditahan ISA pada tahun 1974 kerana memperjuangkan isu kemiskinan rakyat bawahan. Apakah kehebatan Anwar dari kacamata Dato’?

Ikhlas saya beritahu, memang saya cukup mengagumi Anwar Ibrahim daripada zaman pelajar sehinggalah beliau bergiat dalam ABIM. Walaupun saya adalah antara individu yang menyokongnya, malah mengakui kehebatannya, tetapi saya bukan ibarat lembu dicucuk hidung. Kadang-kadang kami juga bertentangan pendapat. Saya mengakui pada tahun 1978, berlaku krisis dalam PAS, dan kefahaman politik kami berbeza.

Ketika Allahyarham Dato’ Asri memecat Dato’ Mohamad Nasir sehingga wujudnya penubuhan Berjasa dan jatuhnya PAS di Kelantan. Tetapi Anwar Ibrahim menyokong PAS. Dalam hal ini, beliau geram kepada saya, kononnya, saya tidak mengikut jamaah.

Ia membuktikan, walaupun saya mengakui kebolehan, kewibawaan dan bakat pidato yang dimiliki oleh Anwar, tetapi bukan bermakna saya akan mengikut segala telunjuknya. Bagaimanapun, memang saya kagum dengan kewibawaannya, sebab itu saya sokong beliau. Saya ingin ceritakan secara peribadi, selepas balik dari mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang memecat Anwar, saya buka album dan melihat gambar-gambar bersama Anwar Ibrahim dahulu. Ia memang menyentuh jiwa saya. Saya menangis bila menatap gambarnya. Perkara ini tidak pernah berlaku di dalam hidup saya.

Akhir sekali, bagaimana Dato’ melihat ending percaturan politik dalam UMNO? Mungkin UMNO akan berlaku perpecahan?

Saya tidak nampak apa-apa masalah. Sebab UMNO adalah parti yang sudah matang. Parti UMNO sudah menghadapi pelbagai cabaran dan getir. Kes yang paling baik boleh disebut di sini ialah kes Dato’ Harun. Ketua Pemuda UMNO bela Dato’ Harun, suasananya lebih tegang daripada kes Anwar Ibrahim. Tapi kesudahannya, semua pihak akur dengan undang-undang.

Kemudian isu pindaan perlembagaan yang mahu memansuhkan kekebalan raja-raja Melayu. Ramai orang kata, habislah UMNO kali ini. Cuba tengok, UMNO mantap juga akhirnya. Raja-raja menjadi lebih berdisiplin.

Begitu juga apabila Tengku Razaleigh lawan Dr. Mahathir, sehinggalah UMNO jadi parti haram. Malah UMNO berpecah kepada dua. Betul, UMNO hilang Kelantan dan jatuh ke tangan PAS. Tetapi UMNO masih lagi mantap. Dalam isu yang kita hadapi kini, ia hanya melibatkan Anwar Ibrahim seorang sahaja. Pemimpin pergi pemimpin datang. Patah tumbuh hilang berganti.


Artikel berkaitan

1. DARAH ANWAR DALAM PAS, Ahmad Lutfi Othman, dalam bukunya "Memo Buat Bakal PM", Penerbitan Pemuda, 1993.

2. ANWAR LEBIH GANAS DARIPADA MAHATHIR-MOHAMAD SABU, Ahmad Lutfi Othman dalam buku "Layakkah Anwar Ketuai Reformasi?", Penerbitan Pemuda, 1998

3. BAGAIMANA ANWAR AGIHKAN KEKAYAAN NEGARA?, Ahmad Lutfi Othman, dalam bukunya "Memo Buat Bakal PM", Penerbitan Pemuda, 1993.


Sila klik untuk baca selanjutnya...