AIDC BLOG: Memang Ada Konspirasi

Thursday, April 9, 2009

Memang Ada Konspirasi



Oleh Yahaya Ismail

Kini Anwar dengan lantang dan tanpa silu-silu menyatakan ada konspirasi dalam pucuk pimpinan UMNO untuk menyingkirkannya dari arena politik UMNO dan kerajaan. Dia dipecat kerana konspirasi itu. Dia disingkir kerana para konspirator yang didalangi Mahathir takut kepada populariti dan kewibawaannya sebagai pemimpin yang berjiwa Islam dan berpengaruh dalam masyarakat. Mahathir takut Anwar akan menentangnya dalam pemilihan MKT tahun hadapan, demikianlah berita yang meniti dari bibir ke bibir khasnya dari kalangan mereka yang memuja dan memuji Anwar.

Tidak salah Anwar membuat tuduhan begitu setelah dia dipecat dari semua jawatan kabinet dan parti. Dia berhak memberikan buah fikirannya. Yang penting apakah majoriti ahli UMNO dan rakyat Malaysia amnya boleh menerima dengan dada terbuka tuduhannya terhadap Mahathir yang dikatakan mendalangi konspirasi itu? Apakah semua ahli UMNO percaya apa yang dikatakan Anwar? Mengapakah setelah tersingkir dari kabinet dan parti baruAnwar hendak bersuara mengenai konspirasi tetapi tidak sewaktu dalam kerajaan dan UMNO?

Memang ada komplot dalam UMNO untuk menjatuhkan pemimpin tertentu. Tidak siapa pun boleh menafikannya. Yang penting apakah tokoh yang hendak dijatuhkan itu berjaya dijatuhkan? Atau boleh jadi si perancang komplot gagal menjatuhkan tokoh yang ia benci itu? Baiklah kita cuba senaraikan beberapa konspirasi pihak tertentu untuk menjatuhkan beberapa orang pemimpin tertentu dalam parti.



1. Kejatuhan Dollah Badawi

Dollah Badawi terkenal sebagai seorang pemimpin UMNO yang “betoi bendoi”, tak banyak musuh, punyai perhubungan awam yang baik, tidak suka mengata orang dan taat setianya pada perjuangan UMNO. Ini tidak boleh dipertikaikan. Anak seorang alim, Ahmad Badawi dan cucu Haji Abdullah Fahim, ulama yang seangkatan dengan Tok Kenali Kelantan. Kalau Pak Lah bercakap tentang agama orang lebih percaya sebab keturunannya orang ugama. Dia pula mendapat ijazah dalam pengajian Islam dari Universiti Malaya. Sebelum masuk UMNO dia sudah menjadi ketua setiausaha sebuah kementerian dan memang arif tentang seluk belok pentadbiran negara. Dia pernah menjadi menteri pendidikan, pertahanan dan kini menteri luar – semua kementerian yang penting. Pernah menjadi ketua perhubungan UMNO P. Pinang dan diterima baik oleh suku-sakat UMNO di negeri tersebut. Tapi bila Anwar masuk UMNO secara payung terjun suasana politik UMNO P. Pinang menjadi gawat. Akhirnya Pak Lah tersingkir sebagai ketua perhubungan dan Anwar menguasai UMNO P. Pinang sehingga dia dipecat dari parti pada 3 September lalu. Anwar cantas semua penyokong-penyokong Pak Lah di P. Pinang.


2. Kejatuhan Sanusi Jonid

Walaupun Sanusi dan Anwar sama-sama belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar namun kedua-duanya tidak sehaluan. Anwar lebih junior dari Sanusi bukan saja di MMKK tetapi juga dalam kerajaan. Sanusi seorang banker, kaya dengan idea tetapi agak terlalu lantang memberi buah fikirannya yang kadangkala tidak disenangi setengah orang. Pernah menjadi salah seorang naib presiden dan juga setiausaha agung UMNO. Pendek kata, dia kaya dengan pengalaman dan salah seorang pemikir dalam UMNO. Waktu Sanusi menjadi menteri pertanian Anwar dikatakan cuba menyekat berbagai peruntukan bagi kementeriannya.

Tujuannya jelas. Biar Sanusi tinggal air lior dan gusi tetapi tidak berjaya melaksanakan berbagai projek untuk membantu rakyat petani dan nelayan serta penternak. Tapi anak berdarah Aceh ini tidak tahu menyerah kalah. Dia angkat martabat ulam, buah kelapa muda, petai dan jering, tempoyak dan ikan air tawar sebagai makanan ada kelas di hotel lima bintang. Dari hutan rimba dia melahirkan Taman Bukit Cahaya di Shah Alam. Sanusi ada oomph, ada pengaruh dan banyak idea. Anwar tak sukakan orang seperti ini. Lalu dia rancangkan kejatuhan Sanusi di Langkawi. Maka hilanglah jawatan ketua bahagian Langkawi dari tangan Sanusi.

Tapi Mahathir sayangkan Sanusi lalu dilantik sebagai menteri besar Kedah Darul Aman tetapi masih belum aman apabila 22 orang Adun yang didalangi oleh Anwar cuba memprotes perlantikan Sanusi. Akhirnya Mahathir tahu siapa di belakang Adun-adun yang mandom itu. Akibat dari memorandum Adun-adun tersebut dikatakan Anwar terpaksa menamatkan jawatan setiausaha politiknya, Salamon bin Selamat, yang dikatakan menjadi orang suruhan Anwar setelah diarah oleh Mahathir.


3. Kejatuhan Tun Daim di Merbok

Alkisah ini kisah tokoh korporat yang tidak begitu berminat bersilat dan berkuntau dalam politik. Tun Daim pernah menjadi ketua bahagian Merbok merangkap MP Merbok. Dia akrab dengan perdana menteri. Malah menjadi troble shooter untuk PM dalam berbagai bidang politik antarabangsa dan ekonomi negara. Memang banyak orang irihati dengan Daim sebab PM memberi kepercayaan penuh kepada Daim dalam berbagai hal politik dan ekonomi. Daim tak banyak cakap tetapi suka buat kerja di belakang layar. Bila dia berhenti sebagai menteri kewangan PM masih melantiknya sebagai penasihat ekonomi kepada kerajaan walaupun Anwar dilantik menggantikan Daim.

Antara Daim dan Anwar memang jauh perbezaan dari segi pengalaman di bidang korporat, politik dan hubungan antarabangsa. Anwar bekas mudir Yayasan Anda. Daim peguam dan tokoh korporat yang berjaya sebelum berkecimpung dalam politik. Daim pun tak disenangi Anwar kerana PM lebih percaya pada Daim dari dirinya. Lalu dirancang kejatuhan Daim sebahagian ketua bahagian. Dikatakan Anwar memberi lampu hijau kepada Datuk Zainol Abidin Johari (kini menjadi allahyarham) bekas orang kuat Semangat 46 supaya menentang Daim di Merbok.

Dengan kerjasama orang-orang Anwar Zainol Abidin telah berjaya mendapat percalonan yang agak besar walaupun Daim menerima percalonan lebih banyak dari pencabarnya. Tapi Daim bukan gila jawatan. Oleh sebab ada orang lebih kemaruk hendakkan jawatan itu, dan dia tahu Anwar di belakangnya, lalu dia dengan senang hati melepaskan jawatan ketua bahagian. Yang menang orang lain. Bukan Non Johari. Pada Anwar dan juak-juaknya itu satu kemenangan moral kerana orang kepercayaan Mahathir telah menyerah kalah di Merbok.


4. Kejatuhan Rahim Thamby Chik

Rahim dikaitkan dengan gadis di bawah umur. Media yang dikuasai orang-orang Anwar terus menerus mendedahkan segala keburukan Rahim untuk memalukannya. Sebenarnya Rahim diadili oleh media yang dikontrol Anwar. Walaupun Rahim sama sekapal dalam Tim Wawasan namun Anwar mahu menghabiskan kerjaya politik Rahim. Dia hilang jawatan ketua Pemuda dan juga kerusi ketua menteri Melaka gara-gara konspirasi Anwar. Kalau Anwar pernah berkata media tempatan berat sebelah dan memusuhinya tanya pada Anwar apakah dia tidak manipulasikan media tempatan sewaktu kroni-kroninya menguasai Utusan, Berita Harian dan TV3 di masa lalu? Bukankah Rahim jatuh akibat dihakimi oleh media yang dikuasai Anwar pada masa itu? Dia mahu Rahim jatuh kerana dia ingin meletakkan seorang pemimpin ABIM, pensyarah universiti, sebagai ketua menteri yang baru. Tapi rancangannya ini juga gagal.

Anwar juga tidak mahu Rahim kekal sebagai ketua Pemuda Gerakan besar-besaran dibuat melalui media yang dikontrol Anwar dan para juak-juaknya di peringkat bahagian untuk menyingkirkan Rahim. Calon yang ditaja Anwar ialah Zahid Hamidi. Akhirnya Zahid berjaya menewaskan rahim walaupun ada pihak mempertikaikan kemenengan Zahid. Sebagai budak suruhan Anwar Zahid juga terpengaruh dengan reformasi Anwar. Ditahan di bawah ISA dan kini sudah pun meletakkan jawatan sebagai ketua Pemuda.


5. Kejatuhan Rafidah Aziz sebagai ketua wanita

Tidak dapat disangkal bahawa Rafidah seorang menteri yang bijak di bidang ekonomi dan perdagangan. Kalau dibanding dengan Anwar di bidang perdagangan antarabangsa tentulah Anwar terpaksa belajar banyak dari bekas pensyarah ekonomi tersebut. Malangnya Rafidah terlalu over confident bahawa dia akan menang setiap kali ada pertandingan untuk jawatan ketua Wanita,

Dia terlalu sibuk dengan tugas kementeriannya hingga kurang turun padang dan cuba menyelami segala perasaan dan kemahuan anak-anak buahnya. Akibatnya dia menjadi kurang popular dalam Wanita. Lebih-lebih lagi dia dianggap menteri yang pro Mahathir. Maka lahirlah komplot untuk menjatuhkan Rafidah. Timbul nama Zaharah Sulaiman yang disokong Anwar. Melalui kempen dan strategi yang baik Zaharah menang walaupun ada pihak lain mempertikaikan kemenangan Zaharah tersebut.

Nampaknya Zaharah tidak bertindak seperti Zahid yang terlalu banyak makan budi dengan Anwar. Zaharah sedar tentang tanggungjawabnya sebagai ketua Wanita, dan dia cepat-cepat memberi sokongan kepada Mahathir. Yang penting kepada Anwar semua orang kuat Mahathir mesti dijatuhkan satu demi satu supaya memudahkannya untuk meletakkan orang-orang kepercayaannya kelak. Kita tidak tahu apakah Zaharah dapat bertahan sebagai ketua Wanita pada pertandingan tahun depan. Dengar kata Rafidah telah sedar kelemahannya dan kini cuba kembali untuk merebut jawatan ketua Wanita. Nampaknya Zaharah terpaksa berhempas pulas untuk mempertahankan jawatannya kali ini.


6. Kejatuhan Muhammad Muhd Taib

Dia juga pernah menjadi ahli Tim Wawasan dan berjaya menjadi salah seorang naib presiden UMNO. Menteri Besar Selangor yang dinamik dan bijak main politik. Anwar mahukan Solomon Selamat, bekas setiausaha politiknya, menjadi bakal menteri besar dan Mat naik ke Pusat. Mat Taib tak mahu ke Pusat kerana dia boleh menjadi bos di Selangor sebagai MB, lebih bebas dan lebih banyak habuannya baik yang berupa sedekah mahupun cenderahati.

Anwar mahu menjadikan kerajaan Selangor sebagai markas kegiatan politiknya untuk menyebarkan pengaruh ke negeri-negeri lain. Bila gagal memujuk Mat Taib ada cara lain yang digunakan untuk menyingkirkan Adun Batang Kali. Bila Mat Taib tertangkap di airport Brisbane, Australia kerana hendak membawa keluar kira-kira A$1.2 juta maka media tempatan yang dikuasai Anwar terus menerus menganyang Mat Taib. Anwar, selaku pengerusi jawatankuasa tatatertib parti mengambil keputusan menggantung jawatan naib presiden hingga kini. Akibat manipulasi media dan keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa disiplin parti dia terpaksa melepaskan jawatan menteri besar seperti mana yang dialami Rahim.


7. Menghalang Kemasukan ahli-ahli Semangat 46 ke dalam UMNO

Bila Tengku Razaleigh berunding dengan Dr Mahathir tentang pembubaran Semangat 46 dan kembali semula ke dalam pelukan UMNO tidak ada syarat yang terlalu besar diminta oleh bekas presiden Semangat 46. Cuma satu permintaan – terima semua ahli Semangat 46 sebagai ahli-ahli UMNO. Beliau tidak meminta dilantik sebagai salah seorang menteri kabinet. Itu tidak penting. Yang penting kembali bersatu dalam wadah UMNO di bawah pimpinan Mahathir. Jelas dan tidak berliku-liku. Walaupun MKT telah menerima kemasukan bekas ahli Semangat 46 sebagai ahli UMNO banyak ketua bahagian dan cawangan sengaja melengah-lengahkan penerimaan keahlian mereka.

Mereka sengaja melengah-lengahkan kemasukan itu oleh kerana ada muslihat politik tertentu dari pemimpin tertentu. Anwar memang tidak senang dengan kemasukan Ku Li, Rais Yatim, Zainal Abidin Zin dan lain-lain pemimpin bekas Semangat 26 ke dalam UMNO. Dia tahu ketokohan Ku Li lebih menyerlah darinya bukan dari segi pengalaman dalam politik tetapi juga sebagai bekas menteri kewangan dan bekas menteri perdagangan dan perindustrian. Dengan latarbelakang ekonomi beliau pernah menjadi tokoh korporat memimpin Bank Bumiputera dan Petronas. Tentulah seorang bekas mudir Yayasan Anda dengan ijazah am di bidang pengajian Melayu tidak dapat menandingi kematangan, pengalaman dan ketokohan putra raja dari Kelantan.

Lebih-lebih lagi Ku Li pernah bertanding jawatan presiden UMNO pada tahun 1987 dan hanya kalah sebanyak 43 undi. Ibarat pendekar, walaupun jatuh ke tanah namun misai belum lagi mencicah bumi. Anwar masih belum diuji kemampuannya menentang presiden parti. Tapi dia telah menjadi timbalan presiden parti, dan dia dikatakan memberi arahan kepada berbagai ketua bahagian agar jangan menerima pendaftaran agar jangan menerima pendaftaran ahli-ahli dari Semangat 46. Akibat dari kelewatan menerima kemasukan mereka mahu Ku Li terus memberitahu presiden tentang kelewatan itu.

Presiden pun tahu ada dalang yang menghalangnya. Dia ialah Anwar.


8. Kejatuhan Ghafar Baba sebagai timbalan presiden


Banyak orang tahu bagaimana Ghafar Baba “Kena main” oleh Anwar. Anwar telah menyatakan dalam akhbar dia tidak akan menentang Ghafar Baba sebagai timbalan presiden sebab menghormati Ghafar sebagai tokoh veteran. Ghafar barangkali khayal dengan janji Anwar. Tidak dibuat persediaan secukupnya untuk mempertahankan jawatan parti itu kerana siapakah gerangan yang mahu menentang Ghafar setelah Anwar membuat kenyataan itu?

Tapi dalam diam-diam orang-orang Anwar telah mengatur strategi untuk menggulingkan orang tua itu. Dia pun telah memberitahu Mahathir dia tak akan tentang Ghafar.

Rupa-rupanya itu satu helah untuk mengabui mata Ghafar dan juga Mahathir. Dia adakan roadshow mula dari Pulau Pinang dan menjelajah ke negeri-negeri lain untuk mempengaruhi para pemimpin dan ketua-ketua bahagian berpihak kepadanya. Sepuluh undi bonus membawa pukulan maut kepada Ghafar. Sebelum para perwakilan bersidang di PWTC untuk menentukan jawatankuasa MKT yang baru pada tahun 1993 orang ramai sudahtahu Ghafar kalah mempertahankan jawatan timbalan presiden. Dia c cuma menerima percalonan dari tujuh bahagian sahaja. Lagi sekali strategi politik Anwar berjaya menumpas seorang pemimpin veteran yang berjawatan timbalan presiden. Maka jadilah Anwar sebagai timbalan presiden parti sehingga dipecat pada 2 September lalu.


9. Kejatuhan Datuk Haji Suhaimi Kamaruddin

Bila Anwar disintuklimau oleh Mahathir sebagai timbalan menteri pada tahun 1982 dia mula merancang strategi politik untuk mendapat kedudukan penting dalam UMNO di peringkat Majlis Tertinggi. Caranya ialah menentang Haji Suhaimi Kamaruddin yang menjadi ketua Pemuda di waktu itu. Anwar menang dengan majoriti yang tipis saja tetapi dengan kemenangan itu dia terus dududuk sebagai salah seorang tokoh Pemuda di Majlis Tertinggi. Lonjakannya terus menjadi pemimpin Pemuda tanpa mengenali hati budi “budaya UMNO” dengan lebih mendalam menimbulkan reaksi kurang senang di kalangan ahli-ahli UMNO. Kem

enangannya secara mendadak sebagai ketua Pemuda dianggap kerana dia menjadi anak mas Mahathir. Banyak juga yang berpendapat dia akan menggunakan Pemuda untuk menjadi penyokongnya kelak seperti mana yang terjadi kepada ABIM sewaktu dia menjadi pemimpinnya. Apakah Anwar akan “mengabimkan” Pemuda terlebih dahulu sebelum “mengabimkan” UMNO seperti yang dibisik-bisikkan oleh setengah golongan dalam UMNO?

Sebenarnya dia tidak mengabimkan Pemuda kerana berjaya menjadikan Pemuda sebagai kubu kuatnya. Dia banyak meletakkan orang-orangnya dalam Pemuda bukan saja di dalam exco tetapi juga di peringkat bahagian dan negeri. Banyak juak-juak Anwar dalam Pemuda dan kejayaan Zahid sebagai ketua Pemuda adalah atas dukungan juak-juak Anwar di samping sebahagian besar dari perwakilan.


10. Konspirasi Menjatuhkan Mahathir

Setelah membina kekuatan dan jaringan dalam UMNO Anwar berasa terlalu yakin bahawa dia boleh menumbangkan Mahathir. Dia menjadi mabuk kuasa selepas berjaya menumbangkan Ghafar Baba untuk merebut jawatan timbalan presiden UMNO pada tahun 1993.

kini semua sudah tersedia untuk dia melakukan tindakan yang akhir sebelum mencium kerusi presiden parti yang akan memberi ruang kepadanya menjadi perdana menteri kelak. Media Barat sudah pun memberi laporan yang menyenangkan Anwar.

Barat menjilat dan menatang Anwar sebagai bakal perdana menteri yang ditunggu-tunggu. Malah dua bulan dilantik sebagai pemangku perdana menteri oleh Mahathir sudah menampakkan belang dan nafsu gelojoh anak lelaki Ceruk Tok Kun ini. Asiaweek membuat laporan khas mengenai kehebatan Anwar sebagai pemangku perdana menteri selama dua bulan dan Anwar memberi kebebasan kepada wartawan majalah mingguan tersebut untuk melihat kehidupannya sebagai sebuah keluarga yang baik dan bermaruah Islam. Time pula menjulang dan menggilap Anwar sebagai pemimpin yang berwibawa dalam berita utamanya. CNN dan CNBC seringkali memberi laporan yang pro Anwar dan mengecam Mahathir.

Di samping mempunyai sokongan yang agak kuat di peringkat bahagian melalui pemberian pink forms (saham) dan juga projek dan kedudukan dalam berbagai syarikat tertentu kepada orang-orang penting di peringkat bahagian untuk menjamin sokongan terhadapnya dia juga memberi projek yang bernilai ratusan juta ringgit kepada kroni-kroninya. Kroni-kroni inilah yang menjadi financiers untuk memperjuangkan Anwar dalam bidang politik. Mereka terhutang budi kepada Anwar dan inilah masanya bagi mereka membalas budi baik Anwar itu.

Jadi janganlah hairan bin terkejut kalau ada di kalangan penunjuk-penunjuk perasaan yang membuat kacau bilau di Dataran Malaysia dan di Masjid Negara yang dibayar oleh pihak tertentu untuk menyokong Anwar.

Sepertimana yang saya nyatakan dalam buku Anwar Ibrahim Ya Atau Tidak? Dia, Anwar, nampaknya begitu gelojoh sekali untuk menjadi perdana menteri dan sudah hilang pertimbangan yang rasional. Dia sudah lupa segala kebaikan Mahathir yang setiap perhimpunan agung UMNO dia tidak malu-malu memuja dan memuja Mahathir sambil menyatakan dia banyak belajar dan terhutang budi kepada PM. Rupa-rupanya puji-pujian itu hanya mainan bibir dan lidah yang tak bertulang serta nawaitu yang gelong.

Menurut seorang wartawan yang menghadiri sidang akhbar di Sri Perdana baru-baru ini PM menjelaskan kepada wartawan-wartawan tempatan bahawa Anwar banyak bercakap tak serupa bikin. Waktu merasmikan bangunan UMNO di Pulau Pinang Anwar dengan muka yang bersungguh-sungguh, dengan kata-kata yang tersusun indah menyatakan perhubungan UMNO P.Pinang dengan sebulat suara menyokong kepimpinan Mahathir sebagai presiden parti. Mahathir bertanya kepada Dollah Badawi yang duduk ditepinya bilakah perhubungan UMNO P.Pinang mesyuarat mengambil keputusan tersebut? Kata Dollah Anwar tak panggil pun mesyuarat! Sekali lagi Anwar bohong saya, kata PM kepada para wartawan tempatan.

Barangkali inilah yang dikatakan bohong sunat untuk menyelamatkan diri sendiri dari mala petaka yang akan menimpa. Dia tahu bahawa Mahathir sudah tahu kilat dalam kilau mainan politik Anwar yang mempunyai konspirasi untuk menumbangkan PM. Sebagai menteri dalam negeri beliau mendapat berbagai maklumat dari pihak cawangan khas dan polis dari masa ke masa. Walaupun berbagai rahsia peribadi Anwar telah sampai ke telinga Mahathir sejak tahun 1993 yang lalu namun PM tidak mahu mempercayainya.

Sebagai seorang doktor yang mempelajari ilmu saikologi dia dapat menganalisa watak Anwar bahawa dia mempunyai “personaliti yang terbelah” (split personality) semacam Dr Jeckell dan Mr Hyde. Dia cuba menolak jauh-jauh segala tuduhan terhadap Anwar sebagai seorang pengamal homoseksual. Dia menganggap itu sebagai fitnha dari mereka yang irihati terhadap Anwar yang bakal mewarisi kerusi perdana menteri merangkap presiden UMNO akan datang. Ini bukan bangkai gajah yang boleh ditutup dengan nyiru raksaka. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke bumi juga.

Walaupun Anwar bukan tupai namun kelincahannya dengan kata-kata yang penuh syahdu, sejak sampai ke tulang sumsum ayat-ayat suci yang disiram dalam ucapan-ucapannya, malangnya tidak dapat menutup belang serakah hobi di luar tabii manusia itu.

Mereka yang tidak gila atau sasau tidak percaya bahawa Mahathir sengaja hendak menyingkir Anwar kerana takut hilang kuasa. Bukankah Mahathir yang menyintuklimau Anwar dan menjadikannya sebagai anak mas dan memberi berbagai peluang serta jawatan penting dalam parti dan kerajaan dalam masa 16 tahun untuk menambahkan pengalaman dan kematangan Anwar sebelum mengambilalih jawatan perdana menteri? Ini niat Mahathir. Semua ahli UMNO dan rakyat jelata tahu Anwar adalah pengganti Mahathir dan bakal PM kelak. Tentulah tidak masuk akal PM bimbang terhadap Anwar justeru itu merancang konspirasi untuk menyingkirkan bekas timbalan perdana menteri itu.

Dari berbagai peristiwa politik yang disebutkan di atas nyatalah Anwar yang banyak melakukan “penyembelihan” politik terhadap musuh-musuh politiknya. Dia begitu bimbang dengan tokoh-tokoh veteran dan yang tidak sebulu dengannya kerana dia sedar mereka lebih berpengalaman dan mempunyai pengaruh yang meluas dalam UMNO. Cuma kelemahan semua tokoh politik yang lain ialah mereka tidak punya prasarana peribadi seperti Anwar untuk mengangkat dirinya sebagai pemimpin nombor wahid. Anwar ada Institut Kajian Dasar yang dipimpin ole Kamaruddin Jaafar, jutawan instant sahabat karib Anwar sejak zaman ABIM dan Yayasan Anda lagi. Mahathir sendiri tidak mempunyai suatu institusi peribadi seperti Anwar untuk menggerakkan massa rakyat dan media, khasnya media asing, untuk menonjolkan dirinya.

Dalam buku saya Anwar Ibrahim Antara Nawaitu Dan Pesta Boria (1993) saya telah meramalkan bahawa Anwar akan menjadi over confident sebagai pemimpin dan dia akan mencabar hatta Mahathir sendiri untuk menguasai kerajaan dan parti. Dia akan menjaja berbagai janji kepada juak-juaknya dan juga kalangan tertentu hanya untuk mendapatkan sokongan mereka supaya dia memperolehi kekuasaan. Sasaran utamanya kini ialah menjatuhkan Mahathir kerana dia merasakan sudah cukup perkasa untuk menggulingkan perdana menteri.

Memang betul ada konspirasi besar dalam UMNO. Kepalanya ialah Anwar sendiri. Justeru itu dia berani mengugut Mahathir dalam perhimpunan agung UMNO yang baru lalu agar berundur dari arena politik. Biar dia menggantikan tempat Mahathir. Malah dia sendiri mengaku kini bahawa dia yang mempengaruhi dan memperalatkan Zahid Hamidi untuk mengecam Mahathir dengan membawa isu kronisme dan nepotisme dalam ucapan ketua Pemuda tersebut. Dengan kata lain, dia akan memperalat siapa saja asalkan tujuannya tercapai. Konsep perjuangan “Tujuan menghalalkan cara” stail komunis dan sosialis itu dipakai Anwar untuk mempercepatkan proses merebut kekuasaan dari Mahathir. Nampaknya nawaitu sebagai pejuang Islam semakin kabur dan selepas pemecatan dari kabinet dan kerajaan Anwar memperlihatkan wataknya yang sebenar – rakus, pendendam, gila kuasa dan sanggup menghancurkan negara demi memperjuangkan kepentingan dirinya.

Sebenarnya Anwar terlalu banyak musuh dalam parti dan kerajaan kerana sikapnya yang mahu membolot kekuasaan dan menghancurkan mereka yang dianggapnya sebagai musuh peribadinya. Akibat sikapnya yang gila kuasa maka mahu tidak mahu pemimpin-pemimpin lain dalam UMNO akan cuba melemahkan kedudukannya secara langsung ataupun tidak langsung.

Banyak pemimpin UMNO yang ditemui berkata sekiranya Anwar menjadi perdana menteri dia akan pastikan semua musuh politiknya tersingkir. Dia akan memilih mereka yang mengampunya dan mendengar kata-katanya. Nepotisme dan kronisme akan lebih ketara lagi kalau Anwar memimpin parti dan kerajaan. Walaupun dia melemparkab berbagai tuduhan yang menyayat hati terhadap PM tentang amalan kronisme dan nepotisme serta korupsi namun dia sendiri tidak dapat membebaskan dirinya dari unsur-unsur tersebut.

Kini Brutus yang pernah Mahathir nyatakan dalam ucapannya di masa lalu dalam perhimpunan agung UMNO sudah jelas kepada umum. Mahathir telah pun tahu Anwar hendak menggulingkannya sejak beberapa tahun yang lalu. Tetapi dia mempunyai keyakinan yang teguh anak muda julung berkeris yang menjadi anak mas PM tidak akan sampai hati hendak menyingkirkannya. Masakan seorang pejuang Islam yang warak, yang menjadi imam dan membaca khutbah sanggup mengkhianati seorang “ayah” yang memberi peluang kepadanya menjadi bakal PM? Hanya orang yang terlalu gila kuasa dan tidak sabar menunggu giliran sahaja yang sanggup menyisihkan orang yang menjemput dan menatangnya dalam kabinet dan parti.

Sebagai “ayah” yang dapat membaca kilat dalam kilau mainan politik Anwar dia Cuma memberi ingatan melalui ucapannya di perhimpunan agung UMNO agar berhati-hati dengan Brutus. Ada Brutus dalam kepimpinan UMNO yang memberi pengertian bahawa ada pemimpin yang sanggup membunuh sahabat baiknya sendiri demi gilakan kekuasaan seperti mana yang diungkapkan dalam drama Shakespeare Julius Caesar.

Dengan lain perkataan, Mahathir sudah dapat mencium konspirasi Anwar yang hendak menjatuhkannya. Sebagai seorang yang kaya dengan pengalaman, matang dan penyabar Mahathir mahu melihat sejauhmana Nakhoda Tenggang moden ini akan menyimpan muslihat politiknya dari pengetahuan pucuk pimpinan parti.

Mahathir tahu segala gerak laku Anwar yang menabur berbagai jenis budi, kedudukan dan kewangan kepada setengah pemimpin di peringkat bahagian. Mahathir juga tahu dia memperkayakan kaum keluarganya dan juga sahabat handainya yang bekerja keras untuk menggerakkan jentera Anwar bila sampai masanya untuk mencabar Mahathir. Ada juga pemimpin-pemimpin lain yang memberi berbagai maklumat mengenai Anwar di samping maklumat yang diperolehi dari pihak keselamatan negara.

Kalau Anwar merancang konspirasi untuk menjatuhkan Mahathir maka orang lain juga merancang komplot untuk menentang Anwar dari menjadi bakal perdana menteri. Dua bulan sebagai pemangku perdana menteri cukup memberi amaran bahawa anak lelaki dari Ceruk Tok Kun ini akan membawa padahyang buruk dalam kepimpinan kerajaan dan UMNO sekiranya dia menjadi perdana menteri kelak. Hubaya-hubaya si Luncai terjun dengan nafsu dan angan-angannya. Tak boleh biarkan! Tak boleh biarkan!

Mengapakah Anwar begitu galak dan tidak sabar-sabar lagi hendak menggulingkan Mahathir? Dia terlalu yakin bahawa Amerika akan membantunya dari belakang. Terang-terangan Anwar berkata ucapannya yang membakar semangat, terutama sekali golongan muda yang terlalu ghairah menyokongnya, bahawa dia mempunyai banyak sahabat luar negara yang akan membantunya. Antara mereka yang dilontarkan kepada orang ramai ialah Madeline Albright, setiausaha negara Amerika dan William Cohen, setiausaha pertahanan Amerika. Kedua-duanya keturunan Yahudi.

Inilah sahabat-sahabat karib Anwar yang mengaku dirinya sebagai pejuang Islam. Oleh itu janganlah hairan bin terkejut kalau Amerika tidak berasa malu menyuarakan sikap bantahannya terhadap penahanan Anwar di bawah ISA. Malah Britain, Kanada, Perancis dan Australia pun nampaknya tidak segan-segan menyuarakan bantahan mereka terhadap penahanan Anwar. Tapi hingga kini (masa saya menulis bab ini pada 1hb Oktober 1998) tidak ada pun kenyataan akhbar atau bantahan dari mana-mana negara Islam yang menyokong Anwar.

Ini bermakna negara-negara Barat yang menggalakkan homoseksual membela Anwar kerana Barat menganggap homoseksual sebagai a way of life yang hidup subur di tengah-tengah masyarakat mereka. Anwar, seorang homoseksual yang pernah menjadi timbalan perdana menteri merangkap menteri kewangan Malaysia merangkap timbalan presiden UMNO, dianggap oleh Barat sebagai mangsa dari prasangka Mahathir terhadap homoseksual.

Barat menganggap Mahathir hanya mencari alasan homoseksual untuk menghalalkannya menahan Anwar di bawah ISA dengan harapan rakyat akan menyebelahi Mahathir. Sebenarnya Barat menyokong Anwar kerana ia mahu menghancurkan kepimpinan Mahathir yang terkenal sebagai anti Barat dan cuba menjadi juara Dunia Ketiga. Mahathir mempunyai pengaruh yang besar di kalangan para pemimpin Dunia Ketga dan kejayaan Malaysia di bidang ekonomi, teknologi, sosial dan sebagainya mengagumi para pemimpin negara-negara sedang membangun.

Malaysia menjadi ilham kepada mereka untuk bekerjasama demi kepentingan Dunia Ketiga. Mahathir sebenarnya berjaya memberi keyakinan kepada para pemimpin Dunia Ketiga bahawa kalau Malaysia boleh membangun dan maju maka, dengan kerjasama negara-negara Dunia Ketiga, mereka juga boleh mencapai kemajuan yang lebih besar dan menjadi suatu force yang bermakna di pentas politik antarabangsa. Untuk keterangan lanjut tentang peranan Mahathir sebagai pemimpin kelas dunia sila baca buku saya Mahathir Lawan Barat (1998).

Anwar sebaliknya tidak begitu tertarik dengan perjuangan Mahathir untuk menjadi juara Dunia Ketiga. Mahathir menentang kekuasaan Barat yang sudah lama menjajah dan menguasai dunia sejak ratusan tahun hingga sekarang. Mengapa bersusah payah berjuang dan berkorban untuk Dunia Ketiga yang rata-rata miskin dan melarat? Lebih baik berbaik-baik dengan Barat, berjiwa liberal dan menghirup budaya dan ilmu serta bimbingan dari Barat yang sudah maju.

Anwar mengambil kesempatan untuk menonjolkan dirinya sebagai seorang pemimpiun yang boleh menghayati degup dan rasa budaya Barat yang liberal itu, yang lebih diplomasinya serta seiring jalan dengan cita-cita politik Barat.

Barat, terutama sekali Amerika, berbaik-baik dengan Anwar memuji dan menjulang kepimpinannya kerana Rumah Putih dan CIA tahu kelemahan bekas timbalan perdana menteri yang homoseksual. CIA dan siapa saja yang ada kepentingan di Malaysia akan cuba memerangkap Anwar untuk menjadi budak suruhan mereka oleh kerana dia takut rahsia homoseksualnya terbongkar. Sebenarnya Barat, khasnya Amerika, bukan berminat untuk mengangkat martabat Anwar sebagai pemimpin Malaysia yang tersohor. Mereka hanya mahu menghancurkan kepimpinan Mahathir dan menggantikan dengan Anwar yang terperangkap dalam dunia homoseksual itu. Banyak orang berpendapat sekiranya Anwar menjadi perdana menteri maka masa depan Malaysia akan hancur dan menjadi negara boneka Amerika.

Yang penting kepada Anwar melenyapkan kepimpinan dan pengaruh Mahathir dalam kerajaan dan masyarakat. Untuk melaksanakan tujuannya yang jahat itu dia sanggup bersahabat dengan siapa saja yang sanggup membantunya hatta dengan syaitan sekali pun sekiranya dia boleh manfaatkan khidmat syaitan. Kalau CIA hendak membantunya bagi mencapai matlamatnya dia tidak ambil pusing. Yang penting dia mesti menjadi perdana menteri dengan cara apa saja. Jangan bicara tentang akhlak yang mulia serta seruan Islam untuk mencarijalan Allah supaya perjuangan menjadi berkat dan membawa kebahagiaan. Islam hanya untuk mainan dalam kerakusan memburu kuasa.

Justeru itu tindak-tanduk Anwar menghasut rakyat dan kaum belia yang mudah diperdaya dengan slogan-slogan yang berbau Islam setelah hilang jawatan membayangkan dia bukan lagi seorang pejuang yang bertanggungjawab dan berhemah tinggi tetapi seorang yang rakus, pendendam, tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral. Ingat kisah Sang Rajuna Tapa yang menjadi pembelot negara Temasik dan membuka pintu istana kepada penyerang-penyerang asing dari Majapahit seperti yang diabadikan dalam Sejarah Melayu?

Ada juga kuasa asing yang dapat menjatuhkan sebuah kerajaan Islam melalui agama. Misalnya peranan orientalis C. Snouck Hurgronje, berbangsa Belanda, yang arif mengenai Islam, beragama Islam, fasih berbahasa Arab dan terkenal sebagai seorang pengarang mengenai hal ehwal Islam. Salah sebuah karyanya yang terkenal ialah The Achenese, dua jilid dan diterbitkan di Leiden, 1906. dia datang ke Acheh pada awal abad kedua puluh untuk kononnya mengkaji Islam di negeri kesultanan Acheh tersebut.

Sultan Acheh dan para pembesar negara tertarik dengan ilmu agama dan kewarakan sarjana Islam berbangsa Belanda tersebut. Lalu dia diambil sebagai salah seorang menantu kepada kesultanan Acheh. Akhirnya “ulama” Belanda ini tahu segala kekuatan dan kelemahan dalam kepimpinan kesultanan Acheh setelah tinggal bersama-sama keluarga istana tersebut bertahun-tahun. Akhirnya dia kembali ke negeri Belanda di mana dia mendedahkan segala rahsia ketahanan Acheh. Pada tahun 1912 tentera Belanda menggempurkan Acheh dan berjaya menghancurkan kerajaan Islam tersebut akibat peranan “ulama” Belanda yang disanjung tinggi dan dipercayai oleh kesultanan Acheh.

Janganlah hairan bin terkejut kalau ada musuh asing yang menggunakan pengintip yang berjubah, berjanggut dan berserban untuk memukau dan meyakinkan pihak tertentu tentang kealimannya supaya dapat diterima oleh masyarakat amnya dan pihak berkuasa khasnya. Memang wujud manusia berpura-pura seperti Snouch Hurgronje yang memperdagangkan agama untuk kepentingan diri dan pihak lain. Justeru itu kita harus berhati-hati terhadap mereka yang memakai berbagai jenis topeng, termasuk topeng agama, untuk mencari kekuasaan dan menghancurkan kerajaan yang dipilih rakyat.

Jangan pula ada pembelot negara di bumi yang bertuah ini hanya kerana gila kuasa, gila jawatan hingga sanggup menjadi budak suruhan kuasa asing. Sebagai patriot kita tidak boleh membiarkan siapa saja yang menjadi talibarut asing atau sebagai budak suruhan asing memperjudikan nasib dan maruah bangsa, agama dan negara. Kita harus menentang siapa saja yang cuba menggugat kepimpinan sekarang yang sedang menghadapi henyakan dan ancaman dari luar dan juga dalam negara kita sendiri.

Para pemimpin Barat lebih suka melihat kepimpinan Malaysia yang lemah supaya mereka dapat menguasai politik, eokonomi dan lain-lain khazanah kekayaan di bumi ini. Pemimpin yang lemah lebih mudah menyesuaikan diri, jiwa dan dasarnya menurut kemahuan orang asing. Barat tahu Mahathir sukar diperkotak-katikkankerana dia mempunyai visi, intelek, kegigihan serta kewibawaan yang sukar ditandingi orang lain. Dengan Mahathir Barat terpaksa akur tentang kebolehan dan kecekapannya dan intelek super bagus.

Walaupun Mahathir juga ada kelemahannya namun kelemahannya yang sedikit itu tidak dapat menggugat sumbangannya yang besar dan bermakna untuk negara, agama dan bangsa. Orang ramai menghormati Mahathir kerana dia tidak berpura-pura, tidak mengada-ngada, tidak hipokrit. Malangnya Anwar lebih banyak kelemahan dirinya dari Mahathir yang boleh dieksploitasikan oleh kuasa asing. Mahathir suka berdepan dan menyerang dari depan. Anwar sebaliknya tidak suka berhadapan tetapi suka mencari jalan belakang yang dianggapnya lebih selamat dan lebih tertutup.

Kini jelas kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa Anwar Ibrahim inilah yang banyak mencetuskan permusuhan dan masalah dalam kepimpinan parti dan kerajaan hingga menimbulkan ketegangan politik sekarang. Oleh kerana dia takut rahsia peribadinya sebagai homoseksual itu didedah dalam mahkamah dia sanggup melakukan hasutan dan menimbulkan huru-hara serta perpecahan dalam UMNO demi menjaga kepentingan dirinya.

Dia sanggup melihat negara kita lemah dikuasai oleh anasir-anasir asing asalkan Mahathir jatuh. Malah dia berbangga dengan sahabat-sahabatnya yang terdiri dari Madeline Albright dan William Cohen, dua tokoh Yahudi dalam kerajaan Clinton, untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa, Anwar bin Ibrahim, berasal dari Ceruk Tok Kun, boleh menggoncang kepimpinan Mahathir dengan sokongan kuasa asing. Hanya pemimpin yang tidak bermaruah, tidak ada harga diri, yang lemah dan bukan seorang patriot yang sanggup mengkhianati rakyat di bumi Malaysia ini.

Mahathir tidak perlu menjadi panglima konspirasi untuk menjatuhkan Anwar. Anwar tidak penting. Yang penting maruah bangsa, agama dan negara. Yang diutamakan ialah generasi muda dan anak cucu kita tidak menjadi pengemis di tanahair mereka sendiri. Ini bumi bertuah yang diberkati Allah dengan kekayaan, kedamaian serta toleransi antara kaum yang cukup membanggakan kalau dibanding dengan negara-negara berbilang kaum di dunia ini. Sejak beliau menjadi perdana menteri pada tahun 1981, dalam masa 17 tahun, dia telah berjaya mereformasikan masyarakat berbilang kaum di negara kita.

Sebenarnya Anwar patut melalui proses reformasi diri. Jangan salah gunakan ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith Nabi untuk menutup kemungkaran diri. Seluruh dunia tahu dia seorang homoseksual melalui CNN dan CNBC dan lain-lain media cetak Barat yang menyanjung tinggi kepimpinannya. Pada Barat homoseksual okay, tak salah, tak dianggap tidak bermoral. Tapi Anwar orang Islam, mengangkat diri sebagai pejuang Islam, kononnya memperjuangkan akhlak mulia dan mahu melahirkan manusia syumul. Kepada Islam homoseksual dilarang keras, dilaknati Allah. Majoriti rakyat Malaysia tidak mahu dipimpin oleh seorang homoseksual. UMNO pun tak rela dipimpin oleh homoseksual.

Justeru itu Anwar mesti berfikir panjang apakah mahu kekal sebagai homoseksual atau meninggalkan hobi yang terkutuk itu dan kembali dalam pelukan Islam yang sebenar? Anda tidak boleh mencampuradukkan dunia homoseksualiti dengan perjuangan Islam kerana kedua-duanya tidak seia dan sekata. Pilih antara satu. Dan buatlah reformasi diri terlebih dahulu.

AIDC memetik buku tulisan Yahaya Ismail bertajuk "Anwar & Nalla – Seks + Judi & Konspirasil", Penerbitan Usaha Teguh Sdn Bhd, Petaling Jaya, 1998.



0 comments: