AIDC BLOG: PENGIKUT ANWAR LEBIH TAKSUB DARIPADA PENGIKUT ASHAARI

Thursday, September 18, 2008

PENGIKUT ANWAR LEBIH TAKSUB DARIPADA PENGIKUT ASHAARI


PENGIKUT ANWAR LEBIH TAKSUB DARIPADA PENGIKUT ASHAARI

Ahmad Lutfi Othman

Nota : Rencana ini ditulis oleh Subky Latif, dipetik dari buku "Buku Bertemu Ruas" kelolaan Ahmad Lutfi Othman, Penerbitan Pemuda, 1994. Sekarang beliau Ketua Pengarang Harakah

Satu perkara yang ditonjolkan dalam usaha kerajaan memerangi Arqam dan meruntuhkan personaliti pemimpinnya, Ustaz Ashaari Mohamad ialah soal fanatik dan taksub. Ketaatan dan sokongan pengikut-pengikut Arqam yang agak tinggi itu disifatkan sebagai satu sikap taksub dan taksub itu tidak sesuai langsung dengan Islam.

Saya tidak berhajat untuk menafikan segala tuduhan taksub itu kerana perkara itu boleh diputuskan oleh setiap orang yang mengikuti perkembangan. Jika orang bersetuju yang pengikut Arqam itu taksub, bukanlah kerana mereka telah diyakinkan oleh Pusat Islam dan Majlis Fatwa Kebangsaan, tetapi mereka boleh membuat perbandingan sama ada UMNO bercakap mengenainya atau tidak.

Saya pun bersetuju bahawa taksub itu suatu sikap yang tidak betul. Tetapi kalau amalan taksub itu ada di negara ini, ia bukanlah menjadi sifat dan masalah pengikut Arqam sahaja, malah ia juga adalah masalah dan penyakit yang ada pada UMNO dan badan belia Islam yang memiliki seorang “syeikh”.

Betapa adanya orang yang sanggup mati mempertahankan Dr. Mahathir dan akan berbuat apa saja bagi mempertahankan kedudukan Dr. Mahathir juga satu masalah yang besar dalam UMNO sekarang. Adanya orang yang berpendirian betapa susahnya negara kalau tidak ada Dr. Mahathir, malah maju mundur Malaysia bergantung juga kepada kepimpinan Dr. Mahathir adalah satu bentuk taksub yang menjadi barah UMNO sekarang.

Bukankah itu satu sikap taksub? Dalam semua pilihan raya sekarang gambar Dr. Mahathir mesti dipamerkan. Malah dalam pilihan raya kecil, gambar beliau lebih banyak dari gambar calon. Bukankah ia satu dorongan taksub?

Usaha mendewa-dewakan Dr. Mahathir hingga menamakan beliau Wira Dunia Ketiga dan berbagai-bagai lagi adalah satu perbuatan yang boleh menanamkan sifat taksub dan ia diusahakan oleh orang-orang yang memang taksub dengannya.

Sikitkah bilangan imam-imam dan ustaz-ustaz yang mencium tangan Dr. Mahathir pada hal sikap dan pendirian beliau dalam hal-hal yang membabitkan isu agama diketahui umum. Mereka sendiri tahu. Tapi mengapa mereka mencium tangannya dan memujanya?

Ia adalah disebabkan oleh pendewaan dan taksub kepadanya. Pendewaan dan taksub itu bukan sekadar orang kampung yang tua yang sekolag atap dulu saja. Maka saya terbaca sebuah makalah mengenai simposium kebudayaan Melayu antarabangsa beberapa tahun lalu yang disampaikanoleh seorang yang dianggap cendiakiawan Islam muda di negara ini, berijazah doktor falsafah, menganggap Dr. Mahathir seorang pemimpin Islam yang hebat malah layak jadi khalifah.

Orang tahu kehebatan pimpinan beliau, tetapi untuk melayakkannya sebagai khalifah adalah suatu yang payah untuk disepakatkan. Tidak dinafikan ada orang fanatik terhadapnya akan beranggapan demikian. Tetapi kalau seorang ilmuan Islam bertaraf doktor falsafah pun beranggapan demikian, apakah ahli ilmuan itu bukan seorang yang taksub?

Terlalu banyak lagi contoh-contoh yang boleh diberikan bagi menyokong betapa Dr. Mahathir didewakan dan beliau pun suka orang mendewa-dewakan beliau.

Sementara itu kisah sekitar seorang syeikh yang tak perlu namanya disebutkan adalah juga menyimpan dan merebut orang-orang yang fanatik atau taksub kepadanya. Dia juga dikelilingi oleh orang-orang yang taksub.

Orang-orang yang mengelilingi syeikh ini juga terdiri dari orang hebat-hebat. Orang-orang berpendidikan agama, cendiakiawan Islam, profesor dan orang kaya-raya. Mereka fasih hadis dan firman. Mereka tekun berusrah dan membawa buku-buku karangan ahli fikir Islam dunia. Pendek kata orang yang tidak membaca tidak ramai bersamanya.

Orang-orang ini semua tidak akan menerima pandangan lain yang bertentangan dengan kemahuan syeikhnya. Politik wang itu adalah kotor. Semua orang tahu. Syeikh juga benci akan amalan itu. Malah syeikh ikut menentangnya.

Tetapi apabila syeikh berkata bahawa amalan itu suatu realiti dan tidak dapat dielak untuk mencapai matlamat, maka yang keji itu dibenarkan. Maka pada ketika yang sama syeikh juga main duit. Kenyanglah tembolok setengah orang-orang yang terlalu sayangkan syeikh tadi.

Guru-guru Islam itu tahu bahawa Israel itu musuh. Mereka bersama-sama menentang Anwar Sadat yang mengiktiraf Israel dulu. Tetapi sekarang Israel bertambah kuat.

Rakan-rakan syeikh tidak lagi bersuara menentang Israel. Israel hampir diiktiraf sekarang. Penyokong-penyokong syeikh tentunya masih tidak senang dengan Yahudi. Tetapi kerana syeikh bisu, bisu belaka mereka.

Syeikh belum berhajat untuk menjadi panglima Imam Mahadi dan belum terfikir untuk menjadi Imam mahadi tetapi diyakini kalau syeikh ditakdirkan gila lalu berkata dia khadam Imam Mahadi, nescaya sebilangan dari orang-orang syeikh tadi akan gila macam gila orang-orang lain juga.

Ada sesetengah orang menunggu akan datangnya Imam Mahadi. Tetapi ramai pula orang taksub tadi tidak tidur siang malam menunggu bilakah syeikh nak jadi orang yang paling besar dalam dunia.

Kalau cara menjadi orang besar itu boleh dicapai melalui orang besar yang ada mati dulu, maka mereka mungkin berdoa supaya segeralah orang besar mati. Kalau caranya terpaksa tunggu dan patuh kepada orang yang ada selagi dia ada, maka semuanya tidak menentang segala keburukan yang berlaku bagi memastikan tiada halangan bagi syeikh menggantikan orang besar.

Bukankah ini satu taksub yang berbahaya juga? Cuma orang-orang yang taksub tadi berjaya menyembunyikan taksubnya dalam berbagai-bagai baju. Tetapi jelas mereka tidak sedar yang mereka taksub dan tidak akan mengakui yang sifat taksub sudah membelenggunya.

Mereka merasa senang mengatakan orang lain yang taksub. Dengan membidas orang lain taksub, mereka fikir mereka tidak taksub. Bezanya mereka berduit dan berpelajaran tinggi, berpangkat profesor dan sebagainya, tetapi profesor yang taksub.

0 comments: